Friday, January 15, 2010

Ganja: Dua buruh Indonesia dipenjara 10 tahun, 10 sebatan


PUASARUDDIN Pasaribu dan Azhari Jamal di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 14 Jan. - Dua buruh kontrak warga Indonesia dihukum penjara 10 tahun dan sebatan 10 kali oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan memiliki 941 gram kanabis dua tahun lalu.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki memerintahkan hukuman penjara terhadap Puasaruddin Pasaribu dan Azhari Jamal yang keduanya berusia 36 tahun, berkuat kuasa dari tarikh mereka ditangkap pada 9 Jun 2008.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, walaupun keadilan terbaik perlu disertai belas kasihan, masyarakat terlebih dahulu dilindungi daripada jenayah penyalahgunaan dadah.

Katanya, gejala penyalahgunaan dadah yang sukar dibendung bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi di seluruh dunia termasuk di Indonesia.

Puasaruddin dan Azhari yang sebelum ini didakwa mengedar kanabis berkenaan menukar pengakuan kepada bersalah selepas ditawarkan pertuduhan pilihan.

Mengikut pertuduhan pilihan, kedua-duanya yang berasal dari Tanjung Balai dan Batu Bara, Sumatera didakwa memiliki 941 gram kanabis di Stesen Bas, Jalan Persiaran, Raja Muda, Pelabuhan Klang di sini pada pukul 6.15 petang, 9 Jun 2008.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan minimum 10 kali.

Mengikut fakta kes, Puasaruddin dilihat berada di tepi tandas awam berhadapan stesen bas dalam keadaan mencurigakan sebelum menyerahkan beg sandang berwarna kuning kepada Azhari.

Hasil pemeriksaan selepas kedua-duanya ditahan, polis mendapati beg itu mengandungi satu ketulan mampat daun-daun kering yang disahkan sebagai ganja.

Puasaruddin diwakili peguam Ghazali Taib manakala Azhari diwakili peguam Suzanawati Ismail. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...