Saturday, January 23, 2010

Enam ditahan berhubung kes mayat amah dalam bonet

KUALA LUMPUR: Polis menahan enam orang, termasuk ejen pembantu rumah, majikan, rakan majikan dan pemandu teksi bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang pembantu rumah warga Indonesia yang mayatnya dibawa dalam bonet kereta dari Melaka ke sini, dua hari lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, berkata mereka ditahan secara berasingan di beberapa lokasi di Kuala Lumpur dan Melaka.

"Mereka berumur dalam lingkungan 20-an dan 50-an," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya polis mendapatkan perintah reman terhadap mereka untuk membantu siasatan mengenai punca kematian pembantu rumah itu.

Awal pagi semalam, dua wanita ditahan selepas membuat laporan polis di pondok polis Hospital Kuala Lumpur (HKL) berhubung kematian itu.

Pembantu rumah berusia 30-an itu dipercayai meninggal dunia kerana sakit tenat di rumah majikannya di Melaka Tengah.
Difahamkan majikan simati sering mengadu kepada agensi pekerja asing berhubung masalah kesihatan pembantu rumah itu tetapi tiada tindakan diambil oleh agensi itu.

Dua wanita yang ditahan itu adalah seorang petugas agensi pekerja asing dan seorang jururawat sebuah hospital swasta yang bergegas ke rumah berkenaan sejurus dimaklumkan oleh majikan mengenai kematian itu.

Menurut polis, akibat panik mereka kemudian dipercayai memasukkan mayat pembantu rumah itu ke dalam bonet kereta dan membawanya ke HKL pada jam 6 petang Khamis.

Setelah menghantar mayat ke Jabatan Forensik HKL, mereka ke sebuah kedai keranda di Jalan Pahang bagi mendapatkan khidmat penghantaran pulang jenazah ke Indonesia.
Bagaimanapun, agensi pengambilan pekerja asing itu tidak dapat menguruskan masalah itu kerana kedua-dua wanita tidak membawa sebarang dokumen yang diperlukan.

Mereka kemudiannya pergi ke Pejabat Kedutaan Indonesia pada jam 8.30 malam dan dinasihatkan supaya membuat laporan polis yang kemudiannya disahkan oleh Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman dan kes diserahkan kepada polis Melaka. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...