Thursday, January 21, 2010

Amah lari malam selepas tiga bulan


KRUBONG - Niat murni seorang suami membantu isteri yang sarat mengandung dengan mengambil khidmat pembantu rumah lebur apabila pembantu terbabit, warga Indonesia berasal dari Acheh, tiba-tiba lenyap dari rumah setelah berkhidmat tidak sampai tiga bulan.

Suami terbabit, Mohd Affindy Abdullah, 37, dari Taman Krubung Perdana berkata, kejadian disedari kira-kira jam 6 pagi sewaktu bangun tidur.

“Pada mulanya saya tidak syak sesuatu kerana ingatkan dia menjemur pakaian di luar rumah. Apabila saya memanggil, tiada suara menyahut menyebabkan saya memeriksa biliknya.

“Saya terkejut bila mendapati pakaian dalam almari dikosongkan kecuali pasport miliknya yang kini berada dalam simpanan saya,” katanya ketika menghubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Mohd Affindy berkata, berikutan kejadian, dia membuat satu laporan polis mengenai kehilangan pembantu rumah terbabit yang dikenali sebagai Rosmanidar.

Beliau berkata, dia tidak menyangka pengalaman pertama menggunakan khidmat pembantu rumah warga asing berdepan masalah sedemikian.

“Hasrat saya menggunakan khidmat pembantu rumah bagi membantu urusan penjagaan tiga anak yang bersekolah selain isteri, Che Rohana Abdul Bahid, 30, yang bakal melahirkan anak keempat kami pada bila-bila masa sahaja.

“Selalunya saya terbaca di akhbar tentang pembantu rumah lari daripada majikan, tetapi hari ini saya pula yang mengalaminya. Saya benar-benar tidak menyangka,” katanya.

Paling dikesali menurut Mohd Affindy, ejen yang menguruskan kemasukan pembantu rumah berkenaan mengambil sikap lepas tangan meskipun beberapa kali cuba dihubungi.

“Saya mendapatkan pembantu rumah berusia lingkungan 30an daripada seorang ejen bergerak yang beroperasi di Pulau Pinang setelah diperkenalkan adik ipar dengan bayaran RM5,500.

“Saya yakin sebab kebanyakan rakannya menggunakan khidmat ejen yang sama dan percaya tiada sebarang masalah timbul. Tetapi tidak sangka jadi begini,” katanya.

Menurutnya, setelah kejadian itu, dia sendiri cuba menghubungi ejen di Indonesia yang berpusat di Medan tetapi gagal mendapat kerjasama.

“Pada mulanya ejen di Medan berjanji menyiasat hal berkenaan, tetapi apabila menghubungi mereka kali kedua, sampai sekarang panggilan saya tidak dijawab.

“Nasib sama diterima apabila saya cuba menghubungi ejen di Pulau Pinang. Mereka juga tidak menjawab panggilan saya” katanya.

Mohd Affindy berkata, dia mengesyaki wujud pakatan antara ejen di Indonesia dan Malaysia untuk mendapatkan keuntungan dengan cara mudah.

“Nak kesal pun tak berguna, kerana kejadian dah berlaku, tetapi sekurang-kurangnya peristiwa ini menjadi iktibar kepada semua supaya lebih berhati-hati apabila mendapatkan khidmat pembantu rumah asing.

“Kalau boleh dapatkan khidmat daripada agensi yang mempunyai alamat tetap supaya senang dihubungi apabila ada sebarang masalah,” katanya. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...