Friday, January 8, 2010

Amah Bawah 21 Tahun Dilarang Bekerja Di Malaysia

PETALING JAYA: Pembantu rumah warga Indonesia berusia 21 tahun ke bawah yang didapati bekerja di negara ini adalah menyalahi undang-undang Imigresen Malaysia dan Peraturan Kementerian Tenaga Buruh Indonesia.

Pembantu rumah warga Indonesia (kiri) ditahan anggota polis selepas disyaki membakar rumah majikannya sebelum melarikan diri bersama wang tunai lebih RM500 dan dua buah komputer di Taman Murni Indah, Telaga Daing dekat Kuala Terengganu, kelmarin. Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi, pembantu rumah yang baru berusia 14 tahun dan berasal dari Palembang itu dipercayai membakar bilik tidur anak majikannya dan bahagian dapur rumah tersebut sebelum melarikan diri melalui pintu belakang. -Foto BERNAMA

Pengarah Lembaga Pengkajian Masalah Sosial Pekerja Indonesia di Malaysia, Khairuddin Harahap menegaskan, sesiapa yang membawa pembantu rumah warga Indonesia bawah umur 21 tahun boleh dikategorikan sebagai jenayah memperdagangkan manusia.

Sambil merujuk kepada kes pembantu berusia 14 tahun yang didapati bekerja di Kuala Terengganu kelmarin, beliau berkata, syarat utama borang permohonan pembantu rumah jelas menyatakan seseorang pembantu rumah itu harus berumur 21 tahun dan ke atas.

"Kalau tidak, permohonan itu tidak akan diluluskan. Pembantu rumah itu tidak boleh keluar negara (Indonesia).

"Mereka boleh ditangkap oleh polis Indonesia dan Malaysia," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Beliau mengulas kejadian seorang pembantu rumah warga Indonesia berusia 14 tahun yang ditahan kerana membakar rumah majikannya di Taman Murni Indah, Telaga Daing di Seberang Takir, Kuala Terengganu kelmarin.

Pembantu rumah itu dikatakan bertindak demikian akibat tidak berpuas hati dimarahi majikannya.
Polis sedang menyiasat umur sebenar pembantu rumah berkenaan kerana pasportnya mencatatkan dia dilahirkan pada tahun 1987 dan berasal dari Medan sedangkan majikannya mendakwa umur gadis berkenaan baru mencecah 14 tahun.

Suspek ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan. Kes tersebut masih disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api dan Seksyen 381 kanun yang sama kerana mencuri harta majikan.

Ditanya sama ada terdapat banyak pembantu rumah bawah umur bekerja di negara ini, Khairuddin menolak andaian tersebut.

Malah beliau menyifatkan insiden terbaru sebagai kes terpencil dan mengesyaki pembantu rumah terbabit tidak dibawa masuk oleh agen-agen rasmi.

"Agensi-agensi pembantu rumah warga Indonesia sedia maklum tentang peraturan pembantu rumah wajib berumur sekurang-kurangnya 21 tahun.

"Kerajaan Indonesia mengenakan cagaran sebanyak 1 juta Rupiah (RM300,000) terhadap agensi-agensi yang membekalkan pembantu rumah warga Indonesia ke negara ini," jelas beliau yang juga Pengarah Kajian Sosiologi Indonesia di negara ini.

Jelasnya, agensi-agensi itu tahu wang cagaran akan dirampas sementara lesen ditarik balik jika membekalkan pembantu rumah bawah umur.

Beliau menambah terdapat kira-kira 250,000 pembantu rumah warga Indonesia di negara ini. - Mstar online

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...