Saturday, January 30, 2010

3 warga Iran seludup dadah RM500,000 diberkas

SHAH ALAM 29 Jan. - Tiga warga Iran ditahan setelah cuba menyeludup 266 biji kapsul dadah dipercayai syabu bernilai RM500,000 melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Isnin lalu.

Lebih memeranjatkan, mereka sanggup menelan semua dadah itu dan juga berjaya melepasi pemeriksaan keselamatan pihak Kastam dan Imigresen di pintu keluar KLIA.

Mereka bagaimanapun ditahan polis di kaunter teksi lapangan terbang itu setelah dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga lelaki yang berusia dalam lingkungan 40-an itu masing-masing menelan 100 biji, 60 biji dan 106 biji kapsul.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, semua kapsul tersebut dipercayai ditelan dalam tempoh lebih daripada 24 jam sebelum mereka ditahan.

Katanya, polis terpaksa mengambil masa selama empat hari untuk mengeluarkan semua kapsul itu daripada tubuh suspek-suspek dengan bantuan pengamal perubatan di Hospital Serdang.

Beliau berkata, berat keseluruhan kapsul-kapsul dadah bersaiz sebesar belimbing buluh itu ialah 1.9 kilogram.

"Suspek-suspek ini tiba ke negara ini dari Dubai, Isnin lalu pada pukul 6 petang dan berjaya melepasi pemeriksaan keselamatan di KLIA.

"Bagaimanapun, setelah mendapati keadaan suspek mencurigakan, mereka dibawa ke hospital untuk menjalani ujian X-ray dan kita mendapati terdapat objek pelik di dalam badan mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Nordin, penahanan tiga suspek berkenaan adalah antara kejayaan pihak keselamatan negara dalam menghalang penyeludupan dadah antarabangsa menggunakan kaedah 'kurier manusia.'

"Selain dadah, kita turut menemui wang tunai RM1,250, 81,000 riyal Iran (RM28) dan AS$785 (RM2,681) bersama-sama mereka," jelasnya.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, dadah itu dihasilkan di sebuah makmal haram di Afghanistan atau Pakistan untuk diseludup masuk bagi pasaran di negara ini.

Malah tambah beliau, siasatan turut merangkumi pihak yang akan ditemui oleh suspek-suspek di Kuala Lumpur untuk menyerahkan kapsul syabu tersebut.

Nordin berkata, ketiga-tiga suspek kini ditahan reman sehingga Isnin depan untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan lain, Nordin memberitahu Jabatan Narkotik Selangor telah mencatatkan 14,096 kes tangkapan dan seramai 18,077 orang ditahan atas kesalahan dadah sepanjang tahun lalu.

Beliau berkata, jumlah tersebut meningkat berbanding pada 2008 iaitu 11,907 kes tangkapan dengan 15,084 orang yang ditahan.

"Tahun lalu juga menyaksikan sebanyak 502.25 kilogram dadah dirampas berbanding rampasan pada tahun sebelumnya 23.52 kilogram.

"Jenis dadah yang paling banyak dirampas ialah ganja. Kesemua dadah yang dirampas pada tahun lalu bernilai sebanyak RM20 juta," ujarnya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...