Wednesday, December 29, 2010

Pemandu Kontena Yang Diberhentikan Perlu Buat Aduan Kepada Jabatan Tenaga Kerja

Para pemandu lori kontena di Pelabuhan Klang yang mendakwa diberhentikan kerja tanpa alasan kukuh oleh majikan diminta membuat laporan segera kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berkata ini bagi membolehkan JTK membuat siasatan dan mengambil tindakan awal sekiranya aduan yang dibuat terbukti benar.

"Saya minta pihak berkenaan agar melaporkannya kepada JTK berhampiran dan kita akan siasat sepenuhnya.

"Kalau betul ada tindakan yang tak adil, kita akan ambil tindakan ke atas majikan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat dua hala dengan Menteri Tenaga Kerja dan Pengangkutan Nepal Muhammad Aftab Alam di sini, hari Selasa.

Beliau mengulas laporan media berhubung nasib 49 pemandu lori kontena syarikat Multimodal Freight Sdn Bhd (MMF) di Pelabuhan Klang yang mendakwa diberhentikan kerja tanpa sebarang alasan kukuh oleh syarikat. - BERNAMA

Malaysia Tidak Halang Pekerja Ramai Dari Nepal - Dr S.subramaniam

Malaysia tidak menghalang kedatangan lebih ramai pekerja domestik Nepal ke negara ini, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam.

Bagaimanapun, katanya, pihak berkuasa Nepal mesti menentukan pekerja berkenaan sesuai bekerja di Malaysia dari segi bahasa, kemahiran dan lain-lain.

"Jika mereka boleh membuat persediaan itu, dan majikan kita sedia mengambil mereka, maka tidak ada masalah," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat bilateral dengan Menteri Buruh dan Pengangkutan Nepal Muhammad Aftab Alam di sini hari Selasa.

Subramaniam berkata sehingga kini terdapat kira-kira 175,810 rakyat Nepal bekerja di Malaysia dan 84 peratus daripada mereka adalah pekerja domestik.

Beliau juga berkata kerajaan masih meneliti memorandum persefahaman (MoU) mengenai pengambilan tenaga kerja Nepal.

Sementara itu, Muhammad Aftab berkata Nepal ingin menghantar lebih ramai pekerja mahir dan profesionalnya ke Malaysia dan meluaskan lagi sektor pekerjaan mereka.

"Kami telah bincangkan beberapa isu seperti MoU, sektor kesihatan, pembuatan dan latihan vokasional," katanya.

Mengenai mesyuarat yang berlangsung kira-kira sejam petang ini, Subramaniam berkata mereka telah bertukar-tukar pandangan untuk melancarkan lagi sistem pengambilan pekerja asing khasnya yang melibatkan agen dari kedua-dua buah negara.

Ia termasuk langkah-langkah mengurangkan kos untuk membawa masuk pekerja asing serta isu kebajikan.

Muhammad Aftab dan delegasinya berada di Malaysia bagi menghadiri sambutan 50 tahun hubungan diplomatik kedua-dua negara. - BERNAMA

Tukang Urut, Pelacur Warga Asing Ditahan

Kegiatan maksiat melibatkan gadis warga asing kini bukan sahaja terhad kepada pusat-pusat hiburan malah turut melibatkan pusat refleksologi.
 
Ini terbukti apabila sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman menyerbu sebuah pusat urut kaki di Metro Perdana, Kepong malam tadi.
TUKANG urut dan pelacur warga asing diambil keterangan oleh polis selepas serbuan di sebuah pusat refleksologi di Kepong, Kuala Lumpur, malam semalam.

Dalam serbuan pukul 11 malam itu, polis menahan 10 wanita warga asing iaitu empat Vietnam dan bakinya China yang berusia antara 19 dan 34 tahun.

Kesemua mereka dipercayai bekerja sebagai tukang urut dan pelacur di premis itu.

Tiga daripada wanita terbabit didapati tidak memiliki pasport manakala yang selebihnya masuk ke negara ini dengan pas lawatan sosial.

Turut ditahan, tiga pelanggan dan empat pekerja premis berusia dalam lingkungan 20-an hingga 50-an.

Pegawai Operasi D7 Bukit Aman, Cif Inspektor Wiryanty Abd. Wahid berkata, premis tersebut memiliki lesen perkhidmatan urut kaki yang sah namun dikesan menawarkan perkhidmatan 'tambahan'.

"Risikan polis mendapati pusat itu menawarkan perkhidmatan popular iaitu urutan badan ke badan (B2B), seks oral dan juga seks.

"Pelanggan dikenakan caj sebanyak RM80 untuk seks oral, RM160 satu sesi seks dan RM130 untuk B2B," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Tinjauan Utusan Malaysia di premis tersebut mendapati ruang disediakan luas sehingga boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu urutan kaki dan badan.

Premis itu juga kelihatan seperti pusat refleksologi biasa kerana bahagian khas untuk urutan B2B dan lain-lain perkhidmatan 'tambahan' dilakukan secara tersembunyi. - UTUSAN

Warga Indonesia Dipenjara Sebulan, Denda RM10,000 Kerana Cuba Rasuah Pegawai APMM

Seorang peniaga buah-buahan warga Indonesia dihukum penjara sebulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini Selasa kerana kesalahan cuba memberi suapan RM400 kepada seorang pegawai penguatkuasa Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), 10 hari lepas.

Suapan itu bagi tujuan mendorong pegawai penguatkuasa APMM Mohd Faudzi Fadzil yang membuat pemeriksaan di atas feri penumpang Boeing Sky King II di perairan Pelabuhan Klang dekat sini tidak mengambil tindakan ke atasnya yang cuba menyeludup keluar kira-kira 4,000 keping daging burger yang menyalahi akta kastam.

Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob membuat keputusan itu selepas Erlianto, 40, mengaku salah melakukan perbuatan itu di atas feri berkenaan di antara 10 pagi dan 2.45 petang, 18 Dis lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan atau yang mana lebih tinggi.

Di dalam rayuannya, Erlianto memohon supaya hukuman diringankan kerana dia perlu menyara ibunya yang sakit dan dua anak saudaranya yang yatim piatu di Indonesia.

Bagaimanapun, pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Ahmad Mazni Noh memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman setimpal dengan kesalahannya. - BERNAMA

Sunday, December 26, 2010

Warga Asing Gembira Sambut Krismas Di Malaysia Dalam Suasana Aman

Warga negara asing yang menyambut Krismas di Malaysia pada Sabtu, melahirkan rasa gembira kerana dapat menyambut perayaan itu dalam suasana aman, bebas dan penuh kesederhanaan.

Tinjauan Bernama mendapati warga negara asing beragama Kristian terutamanya pembantu rumah dari Filipina bertumpu di St John Cathedral di Bukit Nanas di sini sewal pukul 7 pagi untuk upacara sembahayang.

Sepertimana tahun sebelumnya kesempatan ini digunakan oleh sebahagian daripada mereka untuk menjual pelbagai barangan di perkarangan gereja Katholik itu sehingga suasana bagaikan sebuah pesta.

Daniel Ansley, 50, warga negara Filipina yang datang ke Malaysia untuk melawat sahabat handai berkata walaupun sambutan Krismas di sini tidak semeriah di negaranya, namun masih gembira dapat merayakan perayaan tersebut dengan baik.

Katanya, walaupun agama Kristian bukan agama yang dianuti oleh majoriti rakyat Malaysia, penganut agama lain sangat menghormati agama Kristian dan perayaan Krisman berjalan dengan amat baik.

Austin Corcoran, 56, dari United Kingdom pula berpendapat, perayaan Krismas di negara ini sangat unik dan sedikit berbeza jika dibandingkan dengan negara asalnya.

Beliau bersama isterinya Elizabeth yang pertama kali berada di negara ini berkata keunikan tersebut termasuklah penjaja di tepi jalan yang menjual barangan dan makanan sempena perayaan Krismas yang menurutnya sangat meriah.

"Perayaan di sini lebih sibuk dari Sheffield, UK di mana saya datang, kerana pada kebiasaannya orang tinggal di rumah dengan keluarga pada siang hari, mungkin kerana cuaca di sana semasa Christmas sangat sejuk," katanya.

Elizabeth Greogio, 42, warga Malaysia yang telah menetap di Belanda sejak 30 tahun berkata, Malaysia merupakan sebuah negara yang sangat aman dan sentiasa mengalu-alukan kedatangan warga negara luar.

"Malaysia adalah sebuah negara bebas dan sangat indah dan saya gembira berada di sini untuk meraikan Krismas," katanya. - BERNAMA

Imigresen Pulau Pinang Tahan 47 GRO Leka Layan Pengunjung Raikan Krismas

Jabatan Imigresen Pulau Pinang menahan 47 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga China dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Jones di sini Sabtu awal pagi.

Pengarahnya, Abdul Qadir Siddiq Ahmad berkata turut ditahan dalam operasi 'Ops Sayang' itu seorang lelaki berusia 28 tahun yang menjadi pengurus pusat hiburan berkenaan dan seorang lelaki warga Myanmar.

Beliau berkata tujuh pegawai dan anggota Jabatan Imigresen serta 19 pegawai dan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Pulau Pinang terlibat dalam operasi yang bermula 12.45 pagi hingga 4 pagi itu.

"Semasa serbuan, kesemua GRO berkenaan yang memakai pakaian serba merah bagi meraikan sambutan Krismas, sedang leka melayan pelanggan di premis hiburan terbabit," katanya pada sidang akhbar pada Sabtu.

Turut hadir Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk Latifah Md Yatim.

Abdul Qadir berkata semua GRO berusia 20-an itu ditahan kerana menyalah guna pas lawatan sosial, selain menjalankan aktiviti tidak bermoral, manakala lelaki warga tempatan disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana memberi pelindungan kepada pekerja asing tanpa izin.

Beliau berkata pusat hiburan itu juga pernah diserbu awal tahun ini dan beberapa kali pada tahun lepas.

Sementara itu, Latifah berkata serbuan itu hasil maklumat awam dan risikan dalaman pihaknya sejak beberapa minggu lepas di premis terbabit.

"Kita dapat maklumat berhubung GRO bekerja di situ dan memaklumkan kepada pihak Imigresen, sebelum turut menyertai operasi itu bagi memantau jika wujud unsur-unsur rasuah," katanya.

Beliau berkata kerjasama sedemikan akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan tidak berlaku kegiatan rasuah ketika operasi dijalankan pihak berkuasa. - BERNAMA

Saturday, December 25, 2010

24 GRO Warga Asing Ditahan

PULAU PINANG 24 Dis. - Walaupun pernah diserbu lebih 21 kali, sebuah pusat hiburan eksklusif di sini terus berdegil apabila masih menjalankan aktiviti tidak bermoral.
Sebahagian daripada 24 GRO warga asing ditahan dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan eksklusif di Persiaran Gurney, Pulau Pinang, semalam.
Hasil serbuan polis di pusat hiburan itu yang terletak di Persiaran Gurney di sini pada pukul 11.10 malam tadi, seramai 24 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing ditahan.

'Ops Noda' itu dijalankan oleh sepasukan anggota polis di Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memberitahu, wanita itu terdiri daripada 23 warga China dan seorang warga Vietnam.

"Kesemua mereka berusia lingkungan 20 hingga 30-an. Seorang penjaga pusat hiburan tersebut turut ditahan bagi membantu siasatan.

"Ketika pemeriksaan dijalankan, kita mendapati kesemua GRO berkenaan menjalankan aktiviti tidak bermoral dan menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja," katanya.

Kong Meng memberitahu, semua wanita yang ditahan itu akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63 kerana menyalahgunakan pas perjalanan manakala pemilik premis hiburan berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 55B akta yang sama.

Sebelum ini, pada 4 Disember lalu, seramai 42 wanita warga asing dari China, Thailand, Indonesia dan Vietnam turut ditahan di premis yang sama. - UTUSAN

Geng Pecah Kilang Warga Vietnam Diberkas

Polis yakin berjaya menyelesaikan lima kes pecah kilang di sekitar daerah ini apabila memberkas lima warga Vietnam dalam satu sekatan di persimpangan lampu isyarat di Bukit Pasir di sini semalam.
 
Dalam kejadian pukul 4.40 pagi itu, kesemua suspek yang berusia antara 19 hingga 30 tahun itu yang menaiki sebuah teksi cuba melarikan diri namun tindakan pantas polis berjaya menangkap mereka.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, kumpulan itu dipercayai terlibat dalam jenayah pecah kilang di daerah ini sejak tiga bulan lalu dan pemeriksaan mendapati mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.

"Bagaimanapun, pemandu teksi warga tempatan itu tidak ditahan, namun pemeriksaan dalam kenderaan tersebut menemui pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk melakukan jenayah antaranya dua mesin pemotong besi, gunting, pemutar skru, spanar, sarung tangan, penutup mulut dan cermin mata.

"Selepas soal siasat dibuat, suspek membawa pihak polis ke sebuah rumah di Taman Ria yang menjadi tempat simpanan barang samun merangkumi komponen komputer daripada kilang yang dicuri," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mohamad Nasir berkata, kesemua barangan tersebut dianggarkan bernilai RM20,000 dan kumpulan itu turut mengaku telah menyamun wang tunai sebanyak RM100,000 sepanjang tiga bulan lalu, namun kesemua wang itu telah habis dibelanjakan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan pihaknya kini turut memburu beberapa lagi suspek yang masih lagi bebas, katanya.

Dalam serbuan di Taman Ria itu, polis juga menahan tujuh lagi warga Vietnam termasuk seorang wanita yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Dalam kes berasingan, Mohamad Nasir memberitahu, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM70,000 dalam serbuan di sebuah rumah yang dijadikan sebagai makmal di Jalan Daud di sini awal pagi ini.

Menurutnya, dalam serbuan pukul 5.30 pagi itu, pihaknya menahan dua lelaki berusia 25 dan 27 tahun selain merampas wang tunai berjumlah RM1,400 serta sebuah kereta Proton Perdana yang dilaporkan hilang di Larkin, Johor Bahru pada 2008.

"Setelah diperiksa, polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM70,000 yang merangkumi pil ekstasi, ketamin, syabu serta peralatan untuk memproses dadah," katanya sambil memberitahu kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - UTUSAN

Saturday, October 23, 2010

Rumah urut diserbu polis raih pendapatan RM2,000 sehari

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Sebuah rumah urut di Taman Danau Desa di sini hanya memiliki tujuh tukang urut wanita, namun kecantikan paras rupa dan bentuk badan mereka membolehkan premis itu meraih pendapatan lebih RM2,000 setiap hari.

Kegiatan tidak bermoral di premis itu yang turut menyediakan khidmat urutan batin bagaimanapun tidak kekal lama selepas diserbu polis malam tadi.

Serbuan dilakukan oleh pasukan polis Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) kira-kira pukul 10 malam.

Pegawai Turus D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Razali Abu Samah berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat penduduk sekitar yang bimbang dengan kewujudan rumah urut itu sejak lima hari lalu.

Menurutnya, dengan menggunakan tukang urut wanita berusia 20 hingga 30 tahun, premis tersebut mampu meraih pendapatan lumayan.

"Ini terbukti apabila kita merampas wang tunai RM2,000 yang dipercayai hasil kegiatan tidak bermoral. Selain itu tujuh tukang urut yang terdiri daripada wanita warga China dan Vietnam turut ditahan," katanya.

"Mereka yang ditahan ialah empat warga China dan tiga warga Vietnam kerana menyalahguna pas lawatan sosial," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini awal pagi ini.

Razali menambah, turut ditahan ialah lima lelaki warga tempatan termasuk dua pelanggan.

"Hasil siasatan awal, kita dapati premis tersebut mengenakan bayaran RM60 untuk urutan biasa dan jika pelanggan mahu merasai urutan istimewa mereka dikenakan sebanyak RM100.

"Urutan istimewa itu ialah urutan batin yang akan dilakukan terhadap pelanggan dalam keadaan berbogel," jelasnya.

Katanya, kesemua tukang urut yang ditahan akan dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63. - Utusan

Saturday, October 16, 2010

Wahid didapati tidak bersalah

WAHID melambai tangan selepas dibebaskan daripada tuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – “Saya bersyukur, proses mencari keadilan di mahkamah kini selesai.” Demikian luahan bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Mohd. Don selepas Mahkamah Sesyen di sini semalam melepas dan membebaskannya daripada tuduhan menerima suapan RM60,000 bagi urusan pengeluaran visa kemasukan pekerja asing, dua tahun lalu.

Wahid, 57, yang akan menyambut hari ulang tahun kelahirannya pada November ini juga mengucapkan terima kasih kepada ahli keluarga yang memberikan sokongan sepanjang perbicaraan kes itu.

Terdahulu, Hakim Rosbiahanin Ariffin memutuskan Wahid tidak bersalah selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes tersebut.

Wahid didakwa di Mahkamah Se- syen di sini pada 19 Ogos 2008 atas tuduhan menerima suapan RM60,000 bagi mempercepatkan kelulusan permohonan visa 4,337 pekerja Bangladesh untuk masuk ke negara ini.

Dia didakwa menerima rasuah tersebut daripada ahli perniagaan, Datuk Low Chang Hian di kediamannya di No. 3167, Jalan Lembah Ledang persimpangan Jalan Duta di sini kira-kira pukul 10.15 malam 10 Julai 2008.

Berdasarkan pertuduhan, wang suapan itu merupakan sebahagian daripada pembayaran upah bagi mempercepatkan proses permohonan Visa Dengan Rujukan (VDR) bagi warga Bangladesh terbabit. - Kosmo

'Police' warga asing samun pelancong Jepun

KUALA LUMPUR 15 Okt. - Dengan hanya menunjukkan sekeping kertas tertera perkataan 'police', sekumpulan penjenayah dipercayai warga asing memperdayakan pelancong untuk memeriksa mereka sebelum disamun.

Kegiatan penjenayah itu terbongkar apabila beberapa pelancong asing yang menjadi mangsa mereka membuat laporan polis.

Suspek yang menaiki kereta biasanya berkeliaran di kawasan tumpuan utama pelancong di ibu negara untuk mencari mangsa sebelum memperdaya dan menyamun mereka.

Sumber polis berkata, kejadian samun terbaru dilakukan suspek berlaku pukul 5.30 petang semalam, membabitkan seorang pelancong dari Jepun.

Beliau berkata, pelancong yang merupakan seorang ahli perniagaan itu dihampiri suspek semasa berjalan bersama rakannya di Jalan Parlimen berhampiran Tugu Negara.

"Lelaki Jepun berusia 52 tahun itu diminta oleh suspek yang mengaku sebagai polis pelancong supaya membenarkan dia memeriksa pelancong itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sumber berkata, selepas membuat pemeriksaan, suspek menyerahkan kembali pasport dan dompet mangsa sebelum beredar.

Beliau berkata, mangsa yang curiga dengan tindakan suspek segera memeriksa dompetnya dan terkejut apabila mendapati mata wang yen bernilai kira-kira RM4,800 di dalam dompetnya sudah lesap.

Katanya, mangsa yang menyedari dia sudah ditipu dan disamun kemudian melaporkan kejadian jenayah itu di Unit Polis Pelancong di Jalan Ampang di sini. - Utusan

Tukang urut bogel antara 12 ditahan

PETALING JAYA 15 Okt. - Seorang tukang urut warga tempatan yang sedang mengurut pelanggannya dalam keadaan bogel antara 12 wanita yang ditahan dalam serbuan di dua premis rumah urut di Kota Damansara di sini malam tadi.

Dua serbuan serentak di Dataran Sunway, Kota Damansara itu dilakukan oleh Bahagian Judi, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada pukul 10.30 malam.

Pegawai Operasi D7, Cif Inspektor Wiryanty Abd. Wahid memberitahu, dalam serbuan di premis pertama, pihaknya menahan seramai lima tukang urut termasuk empat warga asing.

"Ketika serbuan, terdapat seorang tukang urut warga tempatan sedang melakukan urutan batin dalam keadaan bogel.

"Empat tukang urut warga asing yang mempunyai pas lawatan sosial pula sedang menunggu pelanggan masing-masing," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan itu malam tadi.

Beliau menambah, turut ditahan, seorang pelanggan warga tempatan dan seorang perempuan dipercayai penjaga premis tersebut.

Dalam serbuan terhadap premis kedua yang terletak berhampiran, Wiryanty memberitahu, polis menahan tujuh tukang urut warga asing.

"Selain itu kami juga menahan seorang lelaki yang merupakan penjaga premis itu selain seorang pelanggan yang sedang menikmati urutan batin," ujarnya.

Katanya, tukang urut warga asing yang ditahan terdiri daripada warga China, Indonesia, dan Thailand.

Jelasnya, kesemua tukang urut yang ditahan berusia antara 20 hingga 50 tahun.

Katanya, selain menyalahgunakan pas lawatan sosial, terdapat tukang urut yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri selain dokumen perjalanan yang sah. - Utusan

Thursday, October 14, 2010

Tujuh staf Imigresen ditahan ISA

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Polis menahan sembilan individu termasuk tujuh kakitangan Jabatan Imigresen di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana terlibat dalam kegiatan sindiket penyeludupan warga asing yang pihak berkuasa percaya mampu menggugat keselamatan negara.

Penahanan kesemua suspek yang dilakukan dalam operasi besar-besaran selama tiga hari bermula Ahad lalu itu turut melibatkan dua warga asing yang bagaimanapun tidak didedahkan identiti negaranya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, penahanan sembilan individu itu sekali gus berjaya membongkar dan mengekang aktiviti sindiket berkenaan daripada terus berleluasa.

"Pihak polis memandang serius terhadap kegiatan sindiket ini kerana aktiviti pembolosan yang dilakukan telah menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan di pintu-pintu masuk negara.

"Kegiatan ini juga bukan sahaja boleh mengancam keselamatan negara malah di rantau ini sekiranya ia dibiarkan terus berleluasa. Jangan sesekali membiarkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk melakukan jenayah berat merentasi sempadan khususnya aktiviti keganasan, penyeludupan senjata api dan dadah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Pendedahan polis itu jelas satu tamparan besar kepada Jabatan Imigresen apabila baru-baru ini, tujuh pegawainya ditahan dan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penglibatan dalam penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.

Ismail menambah, tindakan polis ini juga selaras hasrat kerajaan untuk membuktikan kepada masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia komited dalam usaha memerangi kegiatan penyeludupan manusia.

"Malah ini merupakan satu langkah untuk menghalang sebarang cubaan menjadikan negara ini sebagai 'transit point' bagi kegiatan tersebut," ujarnya.

Minggu lalu, SPRM menahan dua pegawai Imigresen di jeti Port Dickson kerana dipercayai menyeludup PATI ke negara ini yang dikatakan meraih pendapatan sehingga RM33,600 seminggu.

Selang dua hari kemudian, SPRM menahan seorang pegawai Imigresen dan tujuh individu kerana dipercayai terlibat menyeludup masuk PATI melalui jeti Pulau Ketam setelah menerima suapan dikenali sebagai 'wang tunjuk' daripada kapten kapal.

Ia disusuli dengan penahanan empat anggota termasuk seorang wanita. - Utusan

Friday, October 8, 2010

Pegawai SPRM tidak cukup pantau pegawai Imigresen

KUALA LUMPUR 6 Okt. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak memiliki jumlah kakitangan mencukupi untuk ditempatkan di setiap pintu masuk utama di negara ini seperti dicadangkan Jabatan Imigresen sebelum ini.

Bagaimanapun, cadangan itu dilihat amat baik untuk menangani penyelewengan kuasa di kalangan kakitangan agensi penguat kuasa itu.

Pengarah Siasatan SPRM, Mustafar Ali berkata, pihaknya akan tetap membincangkan cadangan itu dengan Jabatan Imigresen untuk mencari jalan terbaik bagi mengatasi masalah salah laku kakitangan agensi berkenaan.

“Kedua-dua pihak telah memberi kenyataan dalam media dan kita akan duduk bersama membincangkan perkara itu dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, beliau menyatakan SPRM menyambut baik cadangan Jabatan Imigresen agar pegawai-pegawainya ditempatkan di pintu-pintu masuk ke negara ini bagi mengekang amalan rasuah.

Isu ini timbul apabila beberapa pegawai Imigresen ditahan SPRM kerana dipercayai menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk ke negara ini melalui beberapa pintu pelabuhan antaranya di Jeti Pulau Ketam, Selangor dan Jeti Port Dickson, Negeri Sembilan.

Apa yang mengejutkan, dua daripada pegawai Imigresen yang ditahan di Negeri Sembilan itu dikatakan meraih pendapatan sehingga RM33,600 seminggu.

Menurut Mustafar, pihaknya juga bersedia menempatkan kakitangan mereka di pintu-pintu masuk lapangan terbang sekiranya mempunyai jumlah anggota yang mencukupi.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, pengawasan dan penyeliaan dalaman di setiap jabatan itu lebih penting.

“Kita mungkin tidak mampu menempatkan anggota di setiap pintu masuk sama ada di sempadan mahupun di lapangan terbang sekiranya bilangan anggota tidak mencukupi walaupun cadangan tersebut sebenarnya sangat baik,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Pemaju tidak serik diserbu Imigresen guna PATI

KUALA LUMPUR 6 Okt. – Walaupun tapak pembinaan di Jalan Genting Klang di sini pernah diserbu oleh Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan tiga bulan lalu, namun pihak pemaju di situ tidak serik mengulangi kesalahan menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Sebelum ini, penguat kuasa jabatan itu pernah memberkas 140 PATI di tapak pembinaan terbabit namun pemaju sama dikesan masih mengambil pekerja asing secara haram selepas itu.

Perbuatan tidak bertanggungjawab pemaju terbabit menyebabkan penguat kuasa yang sama, sekali lagi menyerbu tapak pembinaan berkenaan pada hari ini dan hasilnya seramai 63 PATI diberkas.

Serbuan itu turut disertai anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Timbalan Pengarah Imigresen Wilayah Persekutuan, Mohamed Yusoff Khan Mohamed Hassan berkata, risikan pihaknya mendapati masih terdapat PATI bekerja di tapak pembinaan berkenaan meskipun sudah diserbu sebelum ini.

“Kita sudah melakukan operasi di kawasan ini tiga bulan lalu dan menahan 140 PATI namun baru-baru ini risikan mendapati majikan di tapak pembinaan terbabit masih mengambil pekerja asing tanpa permit.

“Mungkin dia berbuat demikian kerana mahu menjimatkan kos tetapi perbuatannya itu telah melanggar undang-undang,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Thursday, October 7, 2010

46 GRO Warga Asing Ditahan Dalam Ops Noda

GEORGE TOWN 6 Okt - Seramai 46 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga China dan Vietnam yang dipercayai menawarkan khidmat seks kepada pelanggan ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Lebuh Farquhar di sini Selasa malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Datuk Wan Abdullah Tunku Said berkata dalam serbuan kira-kira pukul 11.40 malam itu polis turut menahan 2 wanita warga tempatan yang bekerja sebagai GRO di situ.

"Daripada jumlah itu, 31 adalah dari China dan 15 warga Vietnam manakala dua rakyat tempatan. Semua mereka berusia antara 20 hingga 30 tahun ditahan ketika sibuk melayan pelanggan masing-masing," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Katanya ada di antara mereka yang ditahan itu tidak memiliki pas perjalanan, melanggar syarat pas lawatan sosial dan syarat premit pekerja.

Beliau berkata dalam Ops Noda itu, polis turut menahan seorang lelaki yang bekerja sebagai penjaga di premis itu dan empat wanita warga tempatan yang bertindak sebagai 'ibu ayam' kepada kesemua gro berkenaan.

"Polis turut memeriksa dan mengambil keterangan 28 pelanggan yang berada di premis hiburan berkenaan," katanya.

Wan Abdullah berkata siasatan lanjut sedang dijalankan terhadap pemilik premis hiburan berkenaan kerana menggaji dan melindungi warganegara asing. - BERNAMA

Tuesday, October 5, 2010

SPRM Pasang 'spy'

Jabatan Imigresen minta SPRM letak pegawai di ‘kawasan panas’

PUTRAJAYA: Dalam usaha membanteras gejala rasuah di semua pintu masuk sempadan negara, Jabatan Imigresen akan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menempatkan pegawainya sebagai pengintip di ‘kawasan panas’ yang dikenal pasti.

Selain di Pulau Ketam dan Port Dickson, Jabatan Imigresen juga mahu anggota SPRM ditempatkan di pintu sempadan di Kukup, Stulang Laut, Batu Pahat, Pasir Gudang di Johor; Padang Besar, Perlis; Rantau Panjang, Kelantan dan Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman, berkata siasatan awal mendapati gejala rasuah banyak berlaku di lokasi yang mengendalikan urusan keluar dan masuk melalui laut, kebanyakannya dari dan ke Indonesia di kawasan tengah dan selatan Semenanjung.

Bagaimanapun, katanya, pintu sempadan darat seperti Padang Besar, Bukit Kayu Hitam dan Rantau Panjang, yang bersempadan dengan Thailand akan tetap dipantau.

“Saya akan berbincang dengan SPRM segera untuk menempatkan anggota suruhanjaya itu di lokasi berkenaan, terutama yang dikategorikan sebagai ‘panas’.

“Langkah itu juga bertujuan memberi ingatan kepada semua kakitangan imigresen agar tidak terbabit dengan rasuah,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Bagaimanapun, beliau tidak menamakan lokasi panas berkenaan.

Abdul Rahman juga menegaskan operasi tangkapan pegawainya oleh SPRM kerana disyaki menerima rasuah di Jeti Pulau Ketam, Selangor dan Port Dickson, Negeri Sembilan, sejak minggu lalu adalah permulaan kepada pemantauan dan gerakan lebih ketat di semua pintu masuk sempadan negara.

Semalam, Berita Harian melaporkan tujuh kakitangan imigresen ditahan SPRM setakat ini, termasuk dua pegawainya di Jeti Port Dickson, Rabu lalu, ketika melakukan transaksi wang tunai RM26,000 dengan sindiket membawa keluar masuk pendatang tanpa izin. Lima lagi ditahan di Jeti Penumpang Pulau Ketam.

Abdul Rahman juga mengingatkan pegawai kanan imigresen di negeri dan penyelia pusat pemeriksaan di pintu masuk sempadan supaya sentiasa memantau anak buah mereka.

“Mereka perlu bertanggungjawab dan peka jika ada anak buah yang hidup mewah di luar kemampuan dan disyaki terbabit dengan rasuah.

“Misalnya, mereka boleh melihat daripada penampilan, cara hidup dan kereta yang dipakai anggota. Jika mereka menggunakan kereta mewah berbanding dengan pendapatan sebenar mereka, mungkin ada sesuatu yang berlaku,” katanya.

Abdul Rahman berkata, selain bekerjasama dengan SPRM, pihaknya juga akan meningkatkan program pendidikan kakitangannya terutama mereka yang kurang lima tahun berkhidmat dan yang lima tahun lagi untuk bersara.

“Ujian pertama terhadap tawaran rasuah adalah lima tahun pertama bekerja, manakala mereka yang lima tahun lagi mahu bersara pula terdorong kepada rasa mahu mengumpul harta sebelum pencen.

“Kedua-dua kumpulan inilah akan menjadi fokus program pendidikan kita,” katanya mengesahkan empat daripada lima pegawai yang ditahan di Pulau Ketam berkhidmat dengan Jabatan Imigresen kurang dua tahun, manakala seorang kakitangan yang ditangkap di Port Dickson berusia dalam lingkungan 50-an.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Rahman juga mengesahkan sudah meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menukar seorang pengarah Jabatan Imigresen negeri. Berita Harian

Monday, October 4, 2010

PAGAR MAKAN PADI : 7 Lagi Ditahan SPRM

Kakitangan imigresen ditangkap ketika lakukan transaksi wang tunai RM26,000 di Port Dickson

KUALA LUMPUR: Tujuh lagi kakitangan imigresen ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk dua pegawainya ketika melakukan transaksi wang tunai sebanyak RM26,000 dengan sindiket membawa keluar masuk pendatang asing tanpa izin, di Jeti Port Dickson.

Dengan penahanan terbaru itu, jumlah keseluruhan kakitangan imigresen yang ditahan setakat ini ialah lapan orang, termasuk enam di Jeti Penumpang Pulau Ketam, Pelabuhan Klang ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah membabitkan sindiket berkenaan.

Daripada jumlah itu, lima anggota jabatan berkenaan yang bertugas di Jeti Penumpang Pulau Ketam, ditahan semalam, manakala seorang ditahan Jumaat lalu kerana disyaki menerima rasuah dan bersubahat dengan sindiket yang menjalankan kegiatan sama.

Sumber memberitahu Berita Harian, semua anggota yang berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan suruhanjaya berkenaan antara jam 3 petang hingga 6 petang di jeti berkenaan serta di sekitar Klang, berikutan siasatan dan intipan lebih setahun SPRM.

Selain itu, dua lagi berusia dalam lingkungan 40 dan 50-an yang ditahan SPRM dengan wang transaksi itu adalah mereka yang bertanggungjawab menyelia operasi di Jeti Port Dickson, Negeri Sembilan.

Kedua-duanya ditahan di sekitar Seremban antara jam 6 petang hingga 9 malam, Rabu lalu bersama seorang individu lain yang bertindak sebagai ‘runner’ untuk transaksi membabitkan sindiket menggunakan jeti yang mengendalikan perjalanan feri ke Dumai tiga kali seminggu.

Sumber itu berkata, pegawai terbabit disyaki mengenakan bayaran RM80 bagi setiap pendatang asing tanpa izin yang keluar masuk dan dipercayai mendapat bayaran mencecah RM20,000 seminggu.

“Siasatan mendapati suspek menugaskan anggota menaiki feri dan melepaskan pendatang yang tidak mempunyai dokumen lengkap turun sedangkan mengikut prosedur, mereka tidak boleh memberi kebenaran mendarat kepada pendatang terbabit.

“SPRM akan membongkar kegiatan rasuah di jeti berkenaan termasuk menyiasat semua anggota. Setakat ini kita sudah merekodkan kenyataan beberapa orang yang mengaku menerima bayaran untuk ‘menutup mulut’,” katanya.

Sumber itu berkata, tempoh reman ketiga-tiga suspek yang tamat hari ini akan disambung bagi melengkapkan siasatan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Hishamuddin Hashim, yang mengesahkan perkara itu ketika dihubungi berkata, beliau akan bertemu Ketua Pengarah Imigresen untuk berbincang mengenai tindakan selanjutnya.

Difahamkan, SPRM akan mencadangkan anggota yang terbabit dalam kegiatan itu dikenakan tindakan tatatertib dan seluruh pasukan imigresen di Jeti Port Dickson dirombak.

Jumaat lalu, SPRM menahan seorang anggota imigresen dan tujuh individu lain bersama wang tunai RM100,000 disyaki rasuah yang diterima daripada pendatang asing di Jeti Penumpang Pulau Ketam, dan beberapa lokasi lain di sekitar Klang. - Berita Harian

Wednesday, September 29, 2010

27 GRO Asing Dicekup Dalam Serbuan Kedua

GEORGE TOWN 29 Sept - Walaupun baru diserbu 24 jam lepas, sebuah pusat hiburan di Jalan Burma di sini tidak serik, malah meneruskan perkhidmatan menawarkan aktiviti tidak bermoral mereka seperti biasa.

Jika dalam serbuan Jabatan Imigresen Isnin lepas seramai 24 wanita asing dari China dan Vietnam ditahan, semalam pasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman pula menahan 27 wanita asing.

Dalam serbuan "Ops Noda" yang bermula kira-kira pukul 11.30 malam tadi hingga 2.30 pagi ini, polis menahan 20 wanita China dan tujuh wanita Vietnam dipercayai bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) di premis itu.

Siasatan awal juga mendapati, pusat hiburan itu menggunakan beberapa ekor anjing untuk mengawal pintu masuk dan pada masa sama turut memasang lampu berwarna merah bagi memberi amaran sekiranya serbuan dilakukan.

Sepanjang serbuan, pelbagai cara dan ragam ditunjukkan GRO di premis itu bagi mengelak dicekup polis malah ada di antara mereka yang bersembunyi dalam sofa yang dibuat khas untuk pekerja wanita asing itu menyembunyikan diri jika premis mereka diserbu pihak berkuasa.

Kesemua wanita asing itu dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk tindakan lanjut. - FoN Online

Saturday, September 25, 2010

Suami Isteri Didakwa Memperdagang & Mencederakan Wanita Indonesia

Sepasang suami isteri sempat bercakap dengan peguam mereka ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen 2 selepas pertuduhan dibaca terhadap mereka kerana mendera dan merogol pembantu rumah rakyat Indonesia di Kompleks Mahkamah Pulau Pinang. 24 Sept. 2010.

GEORGE TOWN 24 Sept - Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan bersama memperdagang seorang pembantu rumah rakyat Indonesia dengan tujuan mengeksploitasi wanita itu. A. Vealu, 41, seorang kontraktor potong rumput dan isterinya S. Poongavanam, 36, bersama beberapa yang lain dituduh memperdagangkan Win Faidaa, 26, di sebuah flat di Jalan Penawar Satu, Sri Wangsa Satu, Jelutong di sini di antara 10 pagi 25 Januari dan 10.30 pagi 13 Sept tahun ini.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan mengikut Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang 2007 yang boleh membawa hukuman penjara antara tiga hingga 20 tahun dan denda.

Hakim Roslan Hamid membenarkan Vealu diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan dua penjamin manakala isterinya pula diikat jamin sebanyak RM30,000 juga dengan dua penjamin.

Roslan turut mengarahkan kedua-dua mereka menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Di mahkamah yang sama, Poongavanam turut didakwa atas kesalahan mendatangkan kecederaan kepada Win Faidaa dengan satu alat iaitu seterika panas dan boleh menyebabkan kecederaan parah atau kematian di tempat sama pada 4 Sept pukul 1 petang.

Poongavanam juga mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas tuduhan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Bagi pertuduhan itu, Roslan membenarkan dia dijamin dengan wang jaminan sebanyak RM40,000 oleh dua penjamin.

Hakim kemudiannya memutuskan kedua-dua kes disebut semula pada 15 Oktober depan. - FoN Online

Pendatang Tanpa Izin Tidak Mengaku Salah Rasuah Polis

BUTTERWORTH 24 Sept - Seorang pendatang tanpa izin warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Butterworth atas dakwaan memberi rasuah kepada seorang anggota polis sebanyak RM2,500.

Tertuduh Radzuan Abdullah dituduh memberi rasuah kepada Lans Koperal Azemir Sidu pada 27 Julai lepas pukul 8.35 malam di bilik siasatan Balai Polis Perai supaya dia tidak dikenakan tindakan undang-undang kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan perjalanan yang sah.

Dia dituduh di bawah Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau mana yang lebih tinggi.

Majistret Ikhmal Hishan Mohd Zainudin menetapkan 25 Okt ini untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Raya SPRM Mohd Wan Lokman Samingan. - FoN Online

Imigresen Tahan 54 Pendatang Asing Bekerja Di Kilang Perkakasan Komputer

JOHOR BAHRU 24 Sept - Jabatan Imigresen menahan 54 pendatang asing atas pelbagai kesalahan dalam serbuan di sebuah kilang membuat perkakasan komputer di Kampung Seri Purnama, berhampiran Pasar Borong Pandan di sini.

Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Johor, Hamzani Abd. Jalil berkata mereka yang ditahan dalam 'Ops Mahir' pada Khamis terdiri daripada 42 lelaki Bangladesh dan 12 wanita Indonesia, yang berumur antara 23 dan 45 tahun.

Beliau berkata antara kesalahan warga asing itu ialah tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, dan menyalahgunakan pas lawatan sosial.

"Kami turut menahan majikan mereka kerana menggaji kesemua warga asing berkenaan. Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Pekan Nenas di Pontian untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan yang sah, Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan sosial dan Seksyen 55B (1) akta yang sama kerana menggaji pekerja asing yang tiada dokumen yang sah. - FoN Online

Tiga Termasuk Dua Warga Vietnam Mengaku Salah Rompak Berkumpulan

IPOH 24 Sept - Seorang warga tempatan dan dua rakyat Vietnam Jumaat mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas kesalahan melakukan rompakan secara berkumpulan di sebuah kedai emas di Seri Manjung, kira-kira 95 kilometer dari sini.

Tertuduh Lee Chun Hin @ Teh Chun Hin, 40, yang merupakan seorang buruh bersama-sama warga Vietnam, Nguyen Dinh Toan, 25, dan Phan Xuan Tu, 29, mengaku bersalah merompak sebuah kedai emas, MJ Jewellery, Lot 15-18, Pasaraya Econsave Seri Manjung pada 3.50 petang, 25 April 2008.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 391 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Mereka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dipinda daripada Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melepaskan tembakan dalam rompakan itu yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pesuruhjaya Kehakiman Choong Siew Khim menetapkan Khamis depan untuk menjatuhkan hukuman.

Pada 24 Jun 2008, ketiga-tiga tertuduh menghadapi pertuduhan asal bersama-sama dua tertuduh lain iaitu warga Vietnam, Nguyen Ngoe Tuan, 24, dan warga tempatan Wong Hock Chan, 32.

Mereka didakwa melakukan kesalahan berjadual iaitu merompak secara berkumpulan dan semasa melakukan rompakan itu, mereka telah melepaskan tembakan dari pistol Glock 19 Austria 9X19 dengan niat untuk menyebabkan kematian dan kecederaan pada waktu dan tempat yang sama.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, mahkamah membebaskan Nguyen Ngoe dan Wong dari pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Choong kemudian mengarahkan ketiga-tiga tertuduh iaitu Lee, Nguyen Dinh dan Phan ditawarkan pertuduhan pindaan selepas saksi memberi keterangan barang kemas yang dirompak itu dijumpai berada dalam simpanan tertuduh.

Sepanjang perbicaraan, mahkamah mendapati tiada saksi dan bukti yang mengesahkan bahawa tembakan daripada senjata api itu dilepaskan oleh tertuduh tetapi polis telah membuktikan bahawa ketiga-tiga tertuduh memiliki barang kemas tersebut, katanya.

Peguam Ding Ngik Eng mewakili Lee, M Thangavello mewakili Nguyen Dinh, Ranjit Singh Sandhu mewakili Phan, Baldeep Dil mewakili Nguyen Ngoe dan Chew Tong Hin mewakili Wong sementara pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Aiza Khairuddin. - FoN Online

Wednesday, September 22, 2010

53 Pendatang Tanpa Izin Ditahan Dalam Ops Sapu Di Kuala Besut

BESUT 22 Sept - Seramai 53 pendatang tanpa izin ditahan dalam Ops Sapu yang dijalankan Jabatan Imigresen Terengganu di sebuah tapak pembinaan projek rumah pangsa dekat Kuala Besut, Selasa.

Mereka yang ditahan dalam operasi kira-kira dua jam bermula pukul 11 pagi itu terdiri daripada rakyat Indonesia, Bangladesh dan Vietnam.

Pengarah Jabatan Imigresen Terengganu Azhar Abd Hamid berkata ketika serbuan dibuat, kesemua mereka termasuk tiga wanita sedang bekerja di tapak pembinaan itu.

"Hasil pemeriksaan mendapati mereka melakukan pelbagai kesalahan termasuk 24 orang menyalahguna pas kerja, 16 tiada dokumen pengenalan diri dan 13 lagi tinggal lebih masa di negara ini," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Beliau berkata operasi itu membabitkan 29 anggota jabatan itu dan 12 anggota Rela.

Kesemua yang ditahan itu dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Ajil, katanya. - FoN Online

Demonstasi Anti-Malaysia Kembali, Kali Ini Isu Pembantu Rumah Didera

JAKARTA 22 Sept - Setelah menyepi sejak dua hari menjelang Aidilfitri baru-baru, kumpulan aktivis masyarakat Indonesia pada Rabu kembali mengadakan demonstrasi anti-Malaysia dengan kali ini membawa isu pembantu rumah dari negara itu yang diseksa dan diperkosa oleh majikan Malaysia.

Dalam cuaca hujan yang lebat dan renyai hari ini, demonstrasi berkonvoi 150 motosikal itu membabitkan kira-kira 300 penunjuk perasaan dari beberapa kumpulan aktivis yang menamakan diri "aliansi pemuda pemudi anti-Malaysia" dengan didominasi anggota kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera).

Dua lagi kumpulan yang turut serta ialah Gerakan Pemuda Daerah dan Relawan Pro Demokrasi.

Sambil membawa bendera Indonesia serta bendera kumpulan masing-masing serta sepanduk "Ganyang Malaysia", mereka membunyikan hon motosikal dan meneriak "Ganyang Malaysia" di hadapan kediaman Duta Besar Malaysia di Patra Kuningan dan di hadapan Kedutaan Besar Malaysia, Kuningan, Jakarta Selatan.

Kedua-dua tempat itu dikawal ketat pasukan Polis Indonesia. Demostrasi dimulai pukul 1.30 petang di hadapan Kediaman Duta Besar Malaysia dan pukul 2 petang di hadapan Kedutaan Besar Malaysia dan berlangsung selama 10 minit di kedua-dua tempat itu.

Dalam pidato masing-masing, mereka mengutuk perbuatan penyeksaan dan pemerkosaan yang dilakukan terhadap pembantu rumah Indonesia oleh majikan di Malaysia dan meminta Duta Besar Malaysia dan rakyat Malaysia meninggalkan Indonesia dalam tempoh dua hari kerana menganggap perbuatan Malaysia yang keterlaluan.

Mereka kemudian meneruskan perjalanan ke kompleks beli-belah Senayan City untuk melakukan tindakan usir atau "sweeping" rakyat Malaysia di situ namun polis telah menghadang mereka kira-kira 100 meter dari pintu utama ke kompleks itu.

Penunjuk perasaan kemudian cuba berunding dengan polis agar membenarkan 65 anggota masuk ke dalam kompleks dan melakukan "sweeping" terhadap warga Malaysia yang mereka yakini berada di dalam, namun permohonan mereka tidak dilayan.

"Kami bukan ingin mencuri, kami bukan ingin mengambil barang di mall tapi kami hanya ingin mengusir warga Malaysia," kata Mustar Bona Ventura, koordinator Bendera.

Kumpulan Bendera yakin Senayan City merupakan simbol yang tepat untuk mewakili Malaysia dan percaya warga Malaysia sering berkunjung ke tempat itu untuk berbelanja kelengkapan sehari-hari.

Isu penderaan pembantu rumah Indonesia bernama Win Faidah oleh majikannya itu turut dikutuk oleh Malaysia.

Menteri Luar Malaysia dalam kenyataan di Putrajaya hari ini menegaskan bahawa kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk penderaan terhadap mana-mana pekerja, tanpa mengira kewarganegaraan atau sektor pekerjaan mereka.

Justeru itu kerajaan serta rakyat Malaysia amat sedih dan terharu di atas kes penderaan terbaru, membabitkan seorang pembantu rumah dikenali Win Faidah yang berasal dari Jawa Timur, Indonesia pada 17 Sept lepas, katanya.

Pembantu rumah berumur 26 tahun itu, dikatakan telah didera secara fizikal dan seksual sejak lebih empat bulan oleh majikannya dan berikutan itu sepasang suami isteri telah ditahan polis pada 19 Sept lalu bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Sebelum memulakan demonstrasi itu, peserta berkenaan berkumpul di hadapan pejabat Bendera di Jalan Diponegoro, yang merupakan pejabat lama Parti Demokrasi Indonesia - Perjuangan (PDI-P) iaitu parti yang dipimpin bekas Presiden Megawati Soekarnoputri.

Beberapa anggota kumpulan Bendera sebelum ini telah bertindak melempar najis manusia ke dalam kawasan Kedutaan Besar Malaysia dalam salah satu demonstrasi sebelum ini mengenai isu penangkapan tiga pegawai penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia oleh Polis Marin Malaysia di sempadan perairan Malaysia-Indonesia berhampiran Kepulauan Riau.

Sebahagian daripada anggota Bendera turut mengotorkan bendera Malaysia dengan najis manusia selain memijak-mijak Jalur Gemilang semasa berdemonstrasi ketika itu.

Para pelaku yang mencemarkan kawasan Kedutaan Besar Malaysia serta Jalur Gemilang dengan najis manusia itu sehingga sekarang tidak dikenakan apa-apa tindakan oleh pihak berkuasa Indonesia. - FoN Online

Indonesia Wajar Percepatkan MoU Mengenai Pembantu Rumah - Papa

KUALA LUMPUR 22 Sept - Kerajaan Indonesia wajar mempercepatkan proses menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Malaysia berkenaan penghantaran pembantu rumah ke negara ini bagi memastikan mereka mendapat perlindungan undang-undang.

Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa) Alwi Bavutty berkata MoU itu akan membolehkan pembantu rumah Indonesia datang ke negara ini secara sah.

"MoU itu adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah seperti pekerja tanpa izin dan kes dera, walaupun jumlah kes tidak tinggi," katanya ketika dihubungi Rabu.

Katanya penangguhan yang berterusan dalam memuktamadkan MoU itu akan menyumbang kepada kemasukan pembantu rumah secara tidak sah selepas republik tersebut menggantung penghantaran amah mereka ke Malaysia pada Jun tahun lepas.

"Ada sesetengah pembantu rumah Indonesia datang ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial dan mereka lebih suka bekerja di sini tanpa mengikut prosedur kerana budaya dan suasana di sini serta jarak yang tidak jauh dengan negara mereka, berbanding negara lain," katanya.

Semalam, Menteri Buruh dan Transmigrasi Indonesia Muhaimin Iskandar dilaporkan berkata pembantu rumah negara itu dilarang pergi ke Malaysia sehingga kerajaan republik dapat memastikan keselamatan mereka.

Kenyataan itu susulan laporan seorang pembantu rumah Indonesia, Winfaedah, 26 didera secara fizikal dan seksual oleh majikannya di Pulau Pinang sebelum ditinggalkan di tepi jalan.

Beliau berkata persatuan itu juga menyokong rancangan di bawah Program Transformasi Ekonomi yang mewajibkan semua pekerja asing dilindungi dengan insurans.

Malah katanya, Papa telah mewujudkan skim insurans khas untuk pembantu rumah dengan perlindungan yang lebih baik selain kadar premium yang lebih rendah berbanding skim-skim lain. - FoN Online

Sunday, September 19, 2010

Geng Afrika dicekup salah guna Internet

BATU PAHAT 18 Sept. - Wanita tempatan kini dikesan bersubahat dengan penyangak dari benua Afrika untuk menipu mangsa di daerah ini dengan menyalahgunakan kemudahan Internet termasuk menerusi laman sosial Facebook.

Suspek yang terdiri daripada dua wanita tempatan, seorang perempuan warga Bostwana dan seorang lelaki Nigeria berusia dalam lingkungan 22 hingga 29 tahun bagaimanapun berjaya dicekup oleh pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd. Fawzi Arsyad berkata, salah seorang mangsa yang merupakan ahli perniagaan wanita berusia 33 tahun kerugian RM81,000 setelah diperdaya oleh suspek yang dikenali menerusi Facebook.

Katanya, mangsa menempah barangan berharga menerusi Internet dan dimaklumkan suspek sendiri akan menghantar barangan itu kepadanya.

Bagaimanapun, katanya, suspek kemudiannya menghubungi mangsa dan memberitahu dia kononnya telah ditahan oleh pihak Imigresen kerana membawa barangan tersebut bersama wang tunai dalam jumlah yang terlalu banyak.

"Selepas itu, suspek akan memperdayakan mangsa dengan memintanya supaya berhubung dengan sindiket yang menyamar sebagai pegawai Imigresen untuk mengesahkan yang suspek telah ditahan.

"Mangsa kemudiannya diminta untuk memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun milik orang tempatan yang telah diberikan bagi mendapatkan barangan yang ditempah," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Difahamkan, wanita tempatan yang ditahan itu menyamar sebagai pegawai Imigresen dan memberikan nombor akaun bank bagi memperdayakan mangsa.

Mohd. Fawzi berkata, pihaknya yakin dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya tiga kes penipuan seperti itu dengan tertangkapnya empat suspek tersebut.

Beliau turut meminta orang ramai agar mendapatkan nasihat polis sekiranya turut mengalami atau ditawarkan untuk berurus niaga seperti dalam modus operandi sindiket itu. - Utusan

Saturday, September 18, 2010

Pembantu Rumah Didera Fizikal, Seksual : Suami Isteri Ditahan

GEORGETOWN 18 Sept. - Polis menahan sepasang suami isteri selepas pembantu rumah warga Indonesia mendakwa didera secara fizikal dan seksual sejak lebih empat bulan lalu dan kemudiannya ditinggalkan di Taman Cenderawasih, Nibong Tebal, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Georgetown, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, mangsa berumur 26 tahun dikenal pasti sebagai Wifainda dari Jawa Timur turut mendakwa dipukul di kepala, tangan dan kakinya dengan tali pinggang.

Katanya, pembantu rumah itu kini dirawat di Hospital Pulau Pinang kerana mengalami kecederaan di tangan dan kaki serta luka melecur di belakang dan dadanya.

Beliau berkata, laporan perubatan menunjukkan terdapat koyakan pada kemaluan pembantu rumah itu dan polis percaya dia mungkin telah dirogol oleh majikannya, seorang kontraktor memotong rumput berumur 41 tahun,

Dipercayai isteri kontraktor itu pula memukul mangsa jika dia enggan memenuhi keperluan seksual majikannya itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan parah dan mengikut Seksyen 376 kanun yang sama iaitu rogol. - FoN Online

Polis Negeri Sembilan Tahan Lapan GRO Warga Asing

SEREMBAN 17 Sept - Lapan wanita warga asing yang dipercayai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) ditahan dalam satu operasi di sebuah pusat hiburan di Taman Ko-Op, Jalan Sungai Ujong di sini, petang Khamis.

Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri ASP Habibi Majinji berkata mereka yang berusia antara 30 dan 45 tahun itu terdiri daripada tujuh warga China dan seorang warga Vietnam.

"Mereka ditahan kerana tidak memiliki permit kerja," katanya di sini, pada Jumaat.

Katanya turut ditahan dalam operasi bermula pukul 5.45 petang itu seorang lelaki berusia 68 tahun yang merupakan penjaga pusat hiburan berkenaan.

Operasi dua jam itu membabitkan seorang pegawai dan tujuh anggota D7 IKP negeri, katanya. - FoN Online

Dua Pelajar Warga Asing Ditahan Terbabit Kegiatan Pecah Rumah

IPOH 17 Sept - Polis menahan dua pelajar lelaki warga asing yang menuntut di sebuah kolej swasta di Sunway Petaling Jaya kerana dipercayai terbabit dalam kejadian pecah rumah di Taman Panorama Perdana di sini Rabu lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Supt Ibrahim Abu Bakar berkata, mereka diberkas pada pukul 10.30 pagi berhampiran rumah tersebut selepas menerima maklumat daripada penduduk di taman perumahan itu.

"Hasil siasatan polis mendapati kedua-dua suspek berusia 30 dan 34 tahun merupakan pelajar di sebuah kolej di Sunway, Petaling Jaya," katanya pada sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Ibrahim berkata polis turut menemui barang kemas, telefon bimbit, jam tangan dan juga wang tunai yang kesemuanya bernilai RM2,328 dipercayai dicuri di rumah itu selain senjata seperti batang besi dan pemutar skru.

Polis belum mengenal pasti suspek dari negara mana dan sedang menyiasat melalui pasport yang dirampas dari mereka.

Beliau berkata polis turut menemui sebuah kereta jenis Proton Pesona yang di sewa untuk melakukan kegiatan itu, katanya.

Siasatan mendapati mereka dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang dan melakukan jenayah pecah rumah di taman perumahan tersebut.

Semasa kejadian tiada mangsa di rumah tersebut dan penduduk berhampiran mendapati kedua-dua suspek dalam keadaan mencurigakan dan bertindak menghubungi pihak polis.

Bertindak atas maklumat itu, polis berjaya memberkas salah seorang suspek yang menyorok di dalam longkang berhampiran rumah tersebut manakala rakan suspek ditahan 15 minit kemudian, katanya.

Katanya kedua-dua suspek direman sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut.

Dalam perkembangan lain polis sedang mencari seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang sejak 10 hari lepas.

Ibrahim berkata lelaki itu, P. Kurusamy, 64, yang tinggal di Bandar Baru, Lahat dilaporkan hilang oleh keluarganya pada 7 Sept lepas.

Polis yang membuat rondaan kemudian menemui seluar, selipar dan motosikal milik mangsa di tepi lombong berhampiran rumahnya, manakala mangsa gagal di temui.

Operasi mencari mangsa di dalam lombong juga tidak berhasil sehingga hari ini dan polis meminta kerjasama orang ramai yang mengenali atau mengetahui di mana mangsa berada supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di nombor telefon 05-2542222 untuk membantu siasatan, katanya. - FoN Online

Fungsi Depot Tahanan Imigresen KLIA Semakin Bertambah

SEPANG 17 Sept - Fungsi Depot Tahanan Imigresen KLIA semakin bertambah selain dari fungsi asalnya iaitu sebagai penempatan sementara kepada warga asing yang tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang tidak dibenarkan memasuki negara ini atas sebab-sebab tertentu.

Fungsi tambahannya ketika ini termasuklah tempat tahanan pengusiran di mana tahanan menunggu penerbangan; tahanan case-file di mana tahanan melanggar Akta Imigresen dan tempat tahanan pekerja asing sementara dituntut oleh majikan.

Sebelum ini ia juga berfungsi bagi menempatkan mangsa Transit Pemerdagangan Orang, namun telah dipindahkan ke Rumah Perlindungan Tanjung Kling, Melaka.

Fungsi tersebut dijelaskan oleh Komadan depot itu, Delber S kepada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Mahmood Adam yang membuat lawatan ke depot itu di sini pada Jumaat.

Menurut Delber punca permasalahan di depot tersebut turut dikenal pasti, antaranya infrastruktur keselamatan tidak dinaiktaraf apabila fungsi berubah.

"Struktur pentadbiran operasi harian juga tidak kukuh, SOP (Prosedur Standard Operasi) keselamatan tidak diamalkan lansung, set minda anggota tidak berubah dan budaya kerja yang tidak sihat," katanya yang memulakan tugas sebagai Komandan depot itu pada 4 Ogos lalu.

Pelantikan beliau dibuat tiga hari selepas depot itu bolos buat kali kedua apabila 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Afghanistan melarikan diri setelah tidak sampai dua bulan kejadian pertama berlaku.

Sebelum itu pada Jun lalu, semua 88 anggota dan pegawai Jabatan Imigresen yang bertugas di depot tahanan itu ditukarkan serta-merta berikutan kejadian 16 mangsa pemerdagangan manusia dari Afghanistan dan Myanmar berjaya meloloskan diri.

Sehubungan itu katanya pelan tindakan memulihkan depot ini telah diambil dan difokuskan kepada tiga aspek iaitu meningkatkan keselamatan, meningkatkan sistem kerja harian dan mengamalkan budaya kerja pegawai keselamatan.

"Ia termasuklah memperkenalkan buku harian, melakukan perkiraan sebanyak empat kali dan dikira 'badan' oleh pegawai yang bertugas, melakukan pemeriksaan fizikal ke atas pelawat dan semua vendor juga kontraktor disediakan pengiring sewaktu masuk ke depot.

Delber juga berkata kira-kira RM561,500 projek pembangunan telah diluluskan kerajaan bagi menaik taraf pagar keselamatan, pembinaan pintu kedua sel, menaiktaraf saluran air, membina penghalang besi longkang dan menebang pokok, di mana ia dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun ini.

Depot ini yang mula beroperasi pada tahun 2001 dengan kapasiti 600 orang tahanan, dibina di atas tanah berkeluasan 9.7 hektar.

Jumlah tahanan ketika ini berjumlah 194 orang dengan kekuatan anggota Jabatan Imigresen seramai 71 orang, Jabatan Penjara lapan orang, Jabatan Rela 14 hingga 18 orang dan seorang anggota Polis sebagai Liason Officer Tetap.

Selain Mahmood yang juga pengerusi mesyuarat jawatankuasa khas bagi penambahbaikan Pengurusan Depot Jabatan Imigresen di seluruh negara, turut hadir adalah Ketua Pengarah Pengurusan Depoh KDN, Datuk Mohd Asri Yusof yang baru dilantik ke jawatan tersebut pada 25 Ogos lalu. - FoN Online

Friday, September 17, 2010

Polis Tahan 50 GRO, Selamatkan Dua Gadis Bawah Umur

GEORGE TOWN 16 Sept - Lima Puluh wanita rakyat asing termasuk dua gadis bawah umur yang berkerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam serbuan di Restoran Myth & KTV Lounge di Tanjung Tokong, Rabu malam.

Dalam serbuan pada pukul 8 malam itu, polis turut menyelamatkan dua gadis rakyat Vietnam berusia di bawah 18 tahun yang dipercayai mangsa kegiatan pemerdagangan orang.

Operasi oleh Unit Anti Permerdagangan Orang Bukit Aman, Polis Kontingen Pulau Pinang dan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut itu diketuai ASP Nordin Ibrahim.

Mereka yang ditahan itu terdiri daripada 28 wanita rakyat China dan 17 rakyat Vietnam yang berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an dan menyalahguna pas lawatan sosial untuk bekerja sebagai GRO, kata Nordin.

Beliau berkata seorang daripada wanita China yang ditahan itu tidak mempunyai pasport.

"Polis turut menahan seorang lelaki tempatan yang berkerja sebagai kapten, seorang wanita tempatan yang bekerja sebagai juruwang dan seorang rakyat China yang menjadi ibu ayam," katanya.

Nordin berkata hasil pemeriksaan mendapati lesen perniagaan premis itu telah tamat tempoh pada 8 Jun 2010.

"Polis merampas beberapa peralatan hiburan dari premis berkenaan dan enam pelanggan ditahan untuk siasatan lanjut," katanya. - FoN Online

Sunday, September 12, 2010

6 warga Indonesia ditahan disyaki terlibat kes samun

JOHOR BAHRU 11 Sept. - Enam warga Indonesia termasuk seorang wanita ditahan di sebuah rumah di kawasan setinggan Majidee kelmarin kerana dipercayai terlibat dalam kes samun tiga wanita melibatkan kerugian wang tunai berjumlah RM14,250 pada 3 September lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 3 pagi itu, polis turut menjumpai dua pemain cakera padat digital (DVD), lima telefon bimbit dan pelbagai jenis beg duit serta mata wang asing.

"Mereka ditahan reman selama tujuh hari mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebatan," katanya.

Mohd. Mokhtar berkata, dalam kejadian itu, tiga wanita tempatan berusia antara 21 dan 56 tahun, disamun sekumpulan penjenayah bersenjatakan pisau di sebuah apartmen di Bukit Saujana di sini.

"Mereka turut melarikan wang tunai, sebuah komputer riba, tiga telefon bimbit serta dokumen pengenalan diri mangsa," ujar beliau.

Sementara itu di Yong Peng, empat lelaki tempatan ditahan ketika hendak melakukan jenayah samun di Parit Yani, Jumaat lalu.

Mohd. Mokhtar berkata, kesemua mereka yang berusia 23 hingga 36 tahun dikesan berada dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah kereta.

Katanya, mereka bagaimanapun cuba melarikan diri apabila pihak polis menghampiri mereka untuk melakukan pemeriksaan.

"Namun kereta terbabit berjaya dipintas di lampu isyarat Taman Kota dan semua suspek ditahan.

"Polis turut menjumpai sebilah pedang samurai, sebilah parang, tiga playar, sebilah pisau lipat dan empat topeng ski dari kereta tersebut," katanya.

Beliau berkata, dua daripada suspek mempunyai tujuh rekod lampau bagi kesalahan jenayah kekerasan melibatkan kes samun dan pernah ditahan di pusat pemulihan akhlak Simpang Renggam dan kes disiasat mengikut Seksyen 399 Kanun Keseksaan. - Utusan

Saturday, September 11, 2010

Imigresen KLIA Tahan 21 Warga Bangladesh Pada Malam Raya

PETALING JAYA: Kesibukan untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri tidak menjejaskan tugas Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) apabila seramai 21 warga Bangladesh ditahan dalam satu operasi pada malam menjelang 1 Syawal.

Operasi bersama Unit Penguatkuasaan KLIA itu dijalankan antara pukul 11 malam dan 2 pagi terhadap penerbangan dari Dhaka yang tiba di Terminal Syarikat Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang.

Pengarah Imigresen KLIA, Mohd Zulfikar Ahmad berkata, sebahagian mereka ditahan kerana didapati memiliki dua pasport sewaktu sekatan dijalankan.

“Mereka memasuki negara ini menggunakan pasport milik warga Bangladesh lain menerusi permit kerja sah namun mempunyai cop keluar negara palsu.

“Pasport mereka yang sebenar pula disimpan bagi mengaburi kegiatan itu kononnya mereka dilihat baru pulang dari bercuti,” katanya kepada mStar Online pada Sabtu.

Mohd Zulfikar berkata, operasi penguatkuasaan tersebut menunjukkan Imigresen KLIA tidak berkompromi dengan kawalan keselamatan negara meskipun pada sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menurut beliau, segelintir warga asing menggunakan waktu ini bagi cubaan untuk membolosi negara kerana menganggap urusan kemasukan akan dipermudahkan agar kaunter Imigresen dapat ditutup lebih awal sempena Hari Raya.

“Bagaimanapun, andaian itu ternyata meleset apabila kira-kira 160 kakitangan Imigresen KLIA komited menjalankan tugas semalam bagi memastikan pergerakan keluar masuk di pintu masuk negara terkawal,” ujarnya lagi.

Semua warga Bangladesh yang ditahan dalam operasi itu dikeluarkan notis penolakan masuk (NTL) bagi menghantar mereka pulang ke negara asal serta-merta.

Sebahagiannya turut ditempatkan di bilik tahanan sementara KLIA (Holding Lounge) bagi menunggu penerbangan balik berikutnya.

Mohd Zulfikar berkata, seramai 91 warga asing ditempatkan di Holding Lounge pada 1 Syawal, terdiri daripada 83 lelaki dan lapan wanita.

Berdasarkan rekod Imigresen KLIA, katanya, 48 warga asing dikenakan sekatan pada 1 Syawal atas kegagalan mematuhi syarat kemasukan.

“Daripada jumlah itu, 20 warga asing tiba di bangunan terminal utama KLIA manakala 28 lagi di LCCT yang tidak membenarkan mereka melepasi pintu masuk utama negara.

“Mereka adalah warganegara Bangladesh, India, China, Pakistan, Somalia dan Nigeria,” kata beliau. - mStar Online

Tuesday, September 7, 2010

Bekas guru hadapi 102 tuduhan eksploitasi amah

IN CHIEW berjalan keluar dari Mahkamah Sesyen selepas menghadapi 102 pertuduhan mengeksploitasikan amah warga Indonesia semalam.

KANGAR: Seorang bekas guru yang juga pengarah sebuah agensi pekerja asing, SI Setia Sejati Sdn Bhd semalam dihadapkan ke mahkamah atas 102 pertuduhan jenayah membabitkan tindakan mengeksploitasi amah warga Indonesia, termasuk 17 daripadanya membabitkan ancaman dan kekerasan.

Semua 102 kesalahan itu dituduh dilakukan Lee In Chiew, 49, dalam satu kejadian di kediaman miliknya yang juga pejabat operasi SI Setia Sejati, di No 11 Jalan Bunga Cina, dekat Taman Perlis, di sini, pada jam 11.20 malam, 24 Julai lalu. Daripada 102 pertuduhan berkenaan, 24 membabitkan Lee yang turut dikenali dengan panggilan Cikgu Lee, manakala 39 lagi terhadap SI Setia Sejati.

Sebanyak 39 pertuduhan lagi dibuat terhadap Pengarah SI Setia Sejati yang turut merujuk kepada tertuduh.

Pertuduhan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Imigresen Malaysia, Afzai Nizam Abdul Aziz mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang (AAPO) 2007, membabitkan 85 mengikut Seksyen 12 dan 17 lagi mengikut Seksyen 13 akta berkenaan.

Semua pertuduhan dibacakan secara berasingan dengan bantuan jurubahasa mahkamah, Joseph Nair, di hadapan Pendaftar Mahkamah Sesyen Kangar, Monica Joseph Jaisah, dalam satu prosiding khas di Mahkamah Majistret, di sini. - Berita Harian

20 GRO warga asing ditahan

KUALA TERENGGANU 6 Sept. - Kelicikan pemilik sebuah pusat hiburan yang menggunakan khidmat gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing berjaya mengelakkan diri dalam tiga serbuan polis sebelum ini.

Namun tindakan mereka tidak bertahan lama apabila serbuan sepasukan polis kelmarin dan semalam, akhirnya berjaya menahan 20 GRO berusia 18 hingga 21 tahun di premis tersebut.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, kesemua mereka terdiri daripada 18 wanita Thailand, dua wanita Laos selain seorang pekerja lelaki dari Myanmar.

Katanya, turut ditahan tiga pemilik premis dan mereka disiasat di bawah Seksyen 55(b) akta yang sama kerana menggaji pekerja asing tanpa permit.

"Kesemua warga asing itu ditahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalah guna pas lawatan sosial," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, polis turut mengeluarkan saman kepada empat pemilik premis lain kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Ujarnya, semua mereka akan disiasat di bawah Seksyen 61 Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan Negeri Terengganu.

Beliau turut memaklumkan, sempena musim perayaan ini, pihaknya akan mengedarkan risalah panduan keselamatan dan peringatan musim perayaan kepada pengguna sebagai langkah berjaga-jaga.

"Kita mahu aktiviti jenayah dielakkan musim perayaan ini. Apa yang penting pengguna perlu memberi kerjasama agar tidak membuka peluang kepada penjenayah melakukan kegiatan mereka," jelasnya. - Utusan

Saturday, September 4, 2010

Pasar Dibolot Warga Asing

Pendapatan peniaga-peniaga tempatan di pasar besar di sini dikatakan terjejas ekoran kehadiran warga asing yang didakwa 'membolot' sehingga kira-kira 40 lot perniagaan premis itu sejak enam tahun lalu.

Kebanyakan peniaga warga asing itu adalah rakyat Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan Thailand yang pada awalnya memberi alasan mahu menumpang berniaga sementara setelah tapak niaga di situ dikosongkan oleh peniaga asal.

Namun, Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Pasar Besar Klang, Mohd. Khairuddin Abdul Latiff berkata, hakikatnya ialah warga asing itu terus kekal berniaga di situ.

Lebih menyakitkan hati ialah peniaga itu seperti mendapat keistimewaan apabila tidak perlu membayar sewa berbanding peniaga-peniaga tempatan.

Beliau berkata, pihaknya juga telah beberapa kali membangkitkan isu itu kepada pihak berkuasa untuk meminta masalah itu diselesaikan dengan baik tetapi sehingga kini tiada jalan penyelesaian dicapai.

"Isu warga asing ini telah lama dibangkitkan, namun pihak Majlis Perbandaran Klang (MPK) dilihat tidak mengambil tindakan yang berkesan terhadap pihak-pihak ini.

"Bagi kami, ini perkara serius kerana kebanjiran warga asing merampas hak peniaga tempatan yang benar-benar ingin berniaga.

"Mereka (warga asing) bebas berniaga di situ sebagai tuan punya perniagaan dan bukannya pekerja," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di pasar besar tersebut menunjukkan fenomena kebanjiran warga asing di kalangan peniaga memang berleluasa dan suatu tindakan segera perlu diambil bagi membendung keadaan daripada terus berleluasa.

Setiausaha persatuan, Abdul Rahim Abdul Razak juga melahirkan rasa kecewa dengan keadaan yang berlaku dan berharap MPK tidak lepas tangan dalam isu berkenaan.

Tambahnya, sudah banyak aduan bertulis dikemukakan kepada MPK serta salinannya kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Dr. Rani Osman dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ramli Mahmud namun warga asing dilihat masih terus berniaga di situ.

"Kita pun tak faham mengapa keadaan itu boleh dibenarkan berlaku. Orang tempatan kalau tidak ada lesen dikenakan denda dan sebagainya tetapi warga asing, tidak kena apa-apa," jelas beliau.

Selain itu, Abdul Rahim mendakwa, warga asing itu sering menjadi tumpuan pembeli kerana mereka sanggup menjual sayur-sayuran dan ikan dengan lebih rendah berbanding peniaga tempatan.

"Keuntungan sikit bagi mereka sudah memadai kerana tidak perlu membayar sewa, gaji pekerja dan sebagainya," katanya.

Keadaan itu diakui seorang peniaga tempatan Rahmat Jamil, 45, kerana peniaga warga asing itu tidak perlu menanggung pelbagai kos sara hidup seperti bil utiliti.

"Warga asing sanggup duduk beramai-ramai serumah dan makan ala kadar tetapi kami peniaga tempatan perlu menanggung keluarga, tambahan pula kos hidup semakin melambung.

"Cara berniaga tidak sihat warga asing yang berniaga di ruang pejalan kaki dan mengenakan harga rendah untuk setiap barangan jualan menggugat pendapatan peniaga-peniaga tempatan," tegasnya.

Seorang lagi peniaga, Jimmy Khoo, 45, berkata, pihak berkuasa pernah mengambil tindakan tetapi warga asing itu terselamat kerana pemilik-pemilik tapak itu mengaku perniagaan itu adalah milik mereka.

Sikap pemilik tapak itu juga, ujar beliau, amat dikesali kerana seolah-olah cuba melindungi perbuatan warga asing yang telah mengugat periuk nasi peniaga-peniaga tempatan.

Kerugian yang teruk dialami oleh peniaga-peniaga ini akibat cara berniaga warga-warga asing ini memerlukan pihak berkuasa melakukan operasi pemutihan secara berkala, katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi dan Pengaduan Awam MPK, Norfiza Mahfiz ketika dihubungi memberitahu, isu warga asing itu sudah diselesaikan dengan kerjasama Jabatan Imigresen.

Katanya, pekerja asing itu dikenal pasti hanya sebagai pekerja dan bukannya pemilik tapak perniagaan tersebut.

Namun, katanya, pihaknya akan membuat siasatan lanjut bagi memastikan tiada warga asing berniaga di pasar tersebut kerana ia sememangnya merupakan satu kesalahan. - Utusan

Tujuh anggota sindiket palsu dokumen ditahan

Warga Indonesia jadi ejen tiket feri di Jeti Pulau Ketam

KUALA LUMPUR: Tujuh warga Indonesia ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan sindiket pemalsuan dokumen dan cop imigresen untuk membawa pendatang haram keluar masuk di Jeti Pulau Ketam, Pelabuhan Klang, semalam.

Operasi itu susulan laporan muka depan akhbar ini minggu lalu mengenai ada anggota penguatkuasa jabatan itu dipercayai dibayar sehingga RM2,000 sehari untuk upah mereka memudahkan urusan keluar masuk pendatang haram terbabit, termasuk melepaskan warga asing yang pasportnya mempunyai cap palsu atau tiada dokumen.

Habuan yang diterima anggota penguatkuasa itu dibiayai sekurang-kurangnya empat sindiket yang dianggotai kira-kira 80 ejen warga Indonesia atau dipanggil ‘chalo’ yang dikatakan beroperasi di jeti itu, selain berpuluh-puluh ribu pendatang tanpa izin yang menggunakan khidmat chalo setiap hari.

Ketua Penguatkuasa Imigresen, Zamberi Abdul Aziz, berkata semua yang ditahan didapati masuk ke negara ini menggunakan pas sosial dan bekerja sebagai ejen penjualan tiket feri di jeti berkenaan.

“Semua terbabit ditahan untuk siasatan lanjut dalam operasi oleh Imigresen Selangor,” katanya ketika dihubungi semalam.

Chalo terbabit menawarkan khidmat dikenali sebagai ‘bawah pokok’ bagi urusan cop palsu imigresen untuk warga Indonesia yang tiada dokumen keluar masuk dan tinggal melebihi tempoh, tetapi ingin pulang ke kampung masing-masing dengan bayaran antara RM50 hingga RM1,800.

Zamberi berkata, warga asing yang ditahan dalam operasi jam 11 pagi itu dibawa ke depoh tahanan imigresen sebelum dikenakan tindakan lanjut.

Beliau berkata, maklumat yang diperoleh daripada tujuh warga Indonesia itu akan digunakan untuk mendapatkan gambaran lebih jelas kegiatan sindiket berkenaan. - Berita Harian

Friday, September 3, 2010

Amah diburu kes kematian bayi berjaya ditangkap

KUALA LUMPUR 2 Sept. - Seorang pembantu rumah warga Indonesia yang diburu polis bagi membantu siasatan kes dera bayi berusia 15 bulan di Puchong, berjaya ditahan di hadapan sebuah rumah di Jalan Permata 1, Taman Permata, Ampang, hari ini.

Polis berjaya menjejaki dan menahan suspek, Rita Rohayati, 25, pada pukul 12.54 tengah hari, selepas menerima maklumat orang ramai yang mengatakan suspek sedang berkeliaran di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, penduduk di kawasan itu yang kebetulan baru saja menonton berita tengah hari di televisyen, mengecam wajah wanita itu lalu memaklumkan kepada polis.

"Polis akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian itu dan sama ada pembantu rumah tersebut terlibat dalam kematian bayi itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Pada 27 Ogos lalu, bayi malang itu, Tan Jin Yong dikejarkan ke Pusat Perubatan Colombia Asia di Bandar Putri Puchong setelah tidak sedarkan diri namun gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia.

Rita sendiri sempat memaklumkan kepada Meng Kiang mengenai kejadian yang menimpa anak tunggal majikannya itu, sebelum dia menghilangkan diri.

Ahli patologi Hospital Serdang mengesahkan kematian Jin Yong mempunyai unsur jenayah berdasarkan kesan-kesan lebam pada leher mangsa dipercayai akibat dicekik.

Turut ditemui adalah kesan keretakan di tulang kaki kanan mangsa yang menunjukkan mangsa mungkin pernah didera sebelum ini.

Berikutan perkembangan itu, polis yang pada mulanya mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut, menukar kertas siasatan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Utusan

Polis temui 24 warga India dikurung

IPOH 2 Sept. - Polis menemui seramai 24 lelaki warga India yang dikurung dalam sebuah rumah dipercayai mangsa pemerdagangan orang dalam satu serbuan di Sungai Siput, dekat sini, kelmarin.

Dalam serbuan itu, polis turut menahan dua lelaki rakyat Pakistan dipercayai terlibat menguruskan kegiatan haram itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, kesemua warga India berusia antara 20 hingga lingkungan 30-an itu ditemui hasil maklumat awam.

"Dalam serbuan pukul 12.45 tengah hari Selasa lalu, rumah itu didapati berkunci. Sebaik sahaja kita membukanya, polis menemui 24 lelaki yang berasal dari Uttar Pradesh, India, terkurung dalam rumah," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, dua lelaki Pakistan yang ditahan masing-masing berusia 34 dan 25 tahun.

Kata Mohd. Dzuraidi, siasatan mendapati, kesemua lelaki India itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak empat bulan lalu.

Polis percaya kesemua lelaki itu dikurung di rumah berkenaan buat sementara waktu sebelum dihantar ke Pulau Pinang untuk bekerja di sebuah kilang yang dijanjikan gaji lebih lumayan.

"Sebaik tiba, mereka dibawa oleh dua lelaki Pakistan ke Johor untuk bekerja di sebuah kilang.

"Mereka kemudiannya diminta membayar sebanyak RM300 seorang untuk membolehkan mereka bekerja di Pulau Pinang dengan gaji lebih lumayan," jelas beliau.

Katanya, kedua-dua lelaki warga Pakistan itu direman selama seminggu mulai semalam dan salah seorang daripadanya sedang disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Pemerdagangan Orang 2007.

Sementara itu, kesemua lelaki India terbabit dihantar ke Depot Tahanan Imigresen KLIA untuk siasatan lanjut sebelum dihantar pulang ke negara asal. - Utusan

Tuesday, August 31, 2010

PATI bawah jambatan dicekup Imigresen

KOTA KINABALU 30 Ogos - Seramai 30 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tinggal di bawah jambatan di Tanjung Lipat, di sini sejak empat bulan lalu ditahan Jabatan Imigresen dalam serbuan semalam.

Pengarah Imigresen Negeri, Mohammad Mentek berkata, kesemua PATI yang berusia satu hingga 58 tahun itu ditahan dengan bantuan Pasukan Gerakan Marin (PGM) kira-kira pukul 9 pagi.

"Pihak jabatan telah menerima aduan berhubung penempatan ini sejak empat bulan lalu. Golongan PATI tanpa rumah ini mendakwa mereka adalah berbangsa Pala'u dari selatan Filipina dan tidak tahu bertutur dalam bahasa Malaysia.

"Ekoran daripada permasalahan tersebut, ia menyebabkan pegawai kita sukar untuk berkomunikasi dengan mereka bagi mendapatkan maklumat lanjut," katanya di sini hari ini.

Menurut Mohammad, kumpulan PATI itu telah datang ke negeri ini setelah dijanjikan pekerjaan sebagai nelayan.

Katanya, kumpulan berkenaan juga mendakwa bahawa mereka dibawa ke sini dengan menggunakan bot oleh seorang lelaki tempatan.

"Pada tahun lepas, pihak kami pernah menahan mereka yang tinggal di bawah jambatan dan ini adalah kumpulan baru," katanya.

Beliau menambah, pihaknya sudah mengesan dalang yang membawa masuk PATI berkenaan.

Katanya, kumpulan PATI itu kini ditahan di pusat tahanan sementara Papar, sebelum dihantar pulang ke Filipina dalam masa terdekat.

Mohammad berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959 kerana memasuki negara secara haram. - Utusan

Monday, August 30, 2010

Cari ulat tiket, PATI pula ditahan

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Lain dicari, lain pula yang dapat. Itu yang berlaku dalam operasi bersepadu yang pada awalnya diadakan untuk membanteras kegiatan ulat tiket yang semakin berleluasa di Hentian Bas Sementara Bukit Jalil di sini petang semalam.

Walaupun hanya dua orang ulat tiket yang berjaya ditahan dalam operasi bermula pukul 3 hingga 7 petang, seramai 12 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) turut ditahan.

Operasi melibatkan lebih 50 anggota dan pegawai pelbagai agensi antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Pegawai Operasi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, Inspektor Mohamad Sukri Ishak berkata, operasi itu berjaya kerana pihaknya turut memberkas pendatang asing walaupun hanya dua ulat sahaja yang berjaya ditangkap.

"Kita dapati semakin kerap operasi seperti ini diadakan, sindiket ulat tiket tidak lagi berani beroperasi. Malah, ramai di antara ulat yang menghentikan kegiatan mereka setelah menyedari operasi yang dijalankan," katanya ketika ditemui selepas mengetuai operasi itu petang semalam.

Tambah beliau, pihaknya akan terus mengadakan operasi seperti itu bagi membanteras kegiatan ulat tiket setiap kali menjelang musim perayaan.

Katanya, usaha untuk menangani masalah ulat ini telah dilakukan sejak tiga bulan lalu oleh pihak JPJ namun, tindakan agresif mula dilakukan sejak kelmarin.

"Sepanjang tahun ini, JPJ telah menahan seramai 112 ulat dan kita yakin operasi ulat ini mampu menghadirkan rasa gerun mereka," katanya lagi.

Mohamad Sukri memberitahu, walaupun ada ulat-ulat pernah ditangkap beberapa kali sebelum ini namun, mereka masih berani melakukan perkara yang sama.

"Terdapat beberapa ulat yang sudah dijatuhkan hukuman namun, mereka masih lagi giat menjalankan kegiatan menjual tiket," katanya lagi.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak terpedaya dengan penjual-penjual tiket haram ini semata-mata ingin balik ke kampung halaman kerana dikhuatiri tiket bas yang dibeli tidak sah untuk mana-mana bas beroperasi. - Utusan

46 GRO ditahan di kelab malam

SEBAHAGIAN daripada 46 GRO eksklusif dibawa keluar dari sebuah kelab malam di Batu Pahat, semalam.

BATU PAHAT 29 Ogos – Seramai 46 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga China dan Vietnam yang menawarkan khidmat seks kepada pelanggan ditahan dalam serbuan di sebuah kelab malam di sini, malam tadi.

GRO tersebut dipercayai menawarkan khidmat seks kepada pelanggan kelas atasan pada kadar antara RM300 hingga RM500 di kelab malam tersebut.

Timbalan Ketua Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Deputi Supritendan Tan Hiap Seng berkata, daripada jumlah itu, hanya seorang GRO tersebut warga Vietnam manakala selebihnya adalah warga China.

“Kesemua mereka berusia antara 20 hingga 30 tahun ditahan ketika sibuk melayan pelanggan masing-masing.

“Tiga lelaki warga China turut ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai pengurus dan pelayan bar. Mereka berusia lingkungan 30-an,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Hiap Seng berkata, GRO tersebut bekerja di kelab malam itu sejak sebulan lalu dan dipercayai menyediakan khidmat kepada pelanggan kelas atasan berdasarkan pakaian mahal dan seksi yang digunakan mereka.

“Mereka berkhidmat untuk kelas atasan berbanding khidmat GRO di kelab-kelab lain. Mereka akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana menyalahgunakan permit kerja,” katanya.

Beliau berkata, seramai 38 pegawai dan anggota D7 teribat dalam serbuan itu dan pihaknya akan menjalankan operasi berterusan bagi membanteras kegiatan tidak bermoral di daerah ini.

“Kita mahu mereka tahu bahawa kegiatan tidak bermoral seperti GRO ini tidak dialu-alukan di sini,” katanya.

Turut ditahan dalam serbuan itu ialah empat pelanggan ekoran ujian air kencing menunjukkan mereka positif dadah. - Utusan

Sunday, August 29, 2010

Pasukan khas kekang PATI musim perayaan

KOTA KINABALU 28 Ogos - Jabatan Imigresen Sabah menubuhkan sebuah pasukan khas bagi memantau pergerakan pendatang asing tanpa izin (PATI) di semua pintu masuk dan keluar negeri ini sempena musim perayaan.

Pengarahnya, Mohammad Mentek berkata, siasatan jabatan itu mendapati ramai PATI mengambil kesempatan musim perayaan khususnya Hari Raya Aidilfitri untuk menyusup masuk ke negara ini.

"Kita mahu memperluaskan lagi pemantauan dan oleh sebab itu, satu pasukan khas ditubuhkan bagi mengekang sebarang kemasukan atau keluar secara haram," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohammad memberitahu, seramai 22,850 PATI telah ditahan oleh jabatan itu sepanjang 2008 hingga 2009.

Katanya, angka tersebut tidak termasuk PATI yang ditahan oleh agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Untuk tempoh Januari hingga Julai tahun ini, kita telah menahan 4,270 PATI, manakala 4,677 PATI lagi ditahan oleh PDRM," katanya.

Mohammad menjelaskan, selain berperanan menangani isu PATI, jabatan itu turut memainkan peranan yang penting dalam mengutip hasil untuk pendapatan negara.

"Tahun lepas, jabatan ini telah mengutip sebanyak RM254.7 juta hasil dan merupakan antara yang tertinggi di Malaysia," katanya.

Beliau menambah, sepanjang enam bulan pertama tahun ini jabatan itu telah memperoleh kutipan sebanyak RM61.5 juta. - Utusan

Saturday, August 28, 2010

Tindakan Tegas Terhadap Anggota Penguatkuasa Ambil Rasuah

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap anggota penguat kuasa di pintu-pintu masuk negara yang sanggup menggadaikan maruah pasukan dengan mengambil rasuah daripada pendatang tanpa izin (PATI).

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sehubungan itu beliau yang bimbang dengan gejala rasuah tersebut juga telah mengeluarkan arahan siasatan berhubung kejadian di jeti Pulau Ketam, Klang dilakukan secepat mungkin

"Kita akan menyiasat perkara tersebut dan mereka yang bersalah akan dikenakan tindakan tegas supaya ia menjadi pengajaran kepada anggota lain.

"Kita juga akan pantau semua pihak, bukan setakat Jabatan Imigresen malah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang menjaga di pintu-pintu masuk negara," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan segelintir anggota dan pegawai Imigresen mampu meraih sehingga RM60,000 sebulan hasil daripada rasuah yang diperoleh pendatang tanpa izin dari Indonesia.

Setiap anggota penguat kuasa itu dipercayai dibayar kira-kira RM2,000 sehari untuk memudahkan urusan keluar dan masuk pendatang haram terbabit, termasuk melepaskan warga asing yang pasportnya mempunyai cop palsu atau tiada dokumen.

Sehubungan itu, Hishammuddin memberitahu, pihaknya secara serius sedang mengenalpasti mereka yang terlibat dalam kegiatan rasuah ini.

"Beri saya sedikit masa lagi untuk mengenalpasti semua mereka yang terlibat untuk diheret ke muka keadilan," tegas beliau.

Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, pihaknya akan melakukan siasatan menyeluruh bagi mengenalpasti kebenaran laporan tersebut. - Utusan

14 GRO Filipina ditahan

Sebahagian daripada 14 GRO warga Filipina yang ditahan polis kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka dengan bekerja di pusat hiburan dalam satu serbuan yang dilakukan sepasukan anggota D7 di Kuching, semalam.

KUCHING 27 Ogos - Seramai 14 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga Filipina ditahan polis kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka dengan bekerja di pusat hiburan.

Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Deputi Supritendan Abang Junaidi Abang Anwar berkata, semua mereka ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Mendu malam tadi.

Dalam serbuan kira-kira pukul 10 malam, seramai 23 GRO warga Filipina diperiksa dan 14 daripada mereka yang berusia antara 20 hingga lingkungan 30-an ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka.

"Hasil pemeriksaan ke atas 23 wanita GRO itu, kita dapati seramai 14 wanita menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka dan sembilan lagi dibebaskan kerana mempunyai permit," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, ketika serbuan, kesemua mereka didapati sedang berhibur dan tiada insiden cuba melarikan diri dilaporkan berlaku.

Abang Junaidi memberitahu, kesemua mereka kini disiasat mengikut Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat pas lawatan sosial serta permit.

Beliau menambah, seorang lelaki yang dipercayai pemilik premis hiburan tersebut turut ditahan bagi membantu siasatan. - Utusan

Wednesday, August 25, 2010

Depoh Sesak

WARGA asing yang ditahan di Depoh Belantik, Kedah terpaksa bersesak berikutan bangunan yang tidak pernah dinaik taraf sejak 1970-an.

Imigresen dedah 10 pusat tahanan daif di seluruh negara


PUTRAJAYA: Daif dan sesak. Itulah keadaan 10 depoh tahanan Imigresen di seluruh negara hingga menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan pusat berkenaan yang mewarisi bangunan tinggalan pangkalan Unit Kawalan Kawasan (UKK) sejak awal 1970-an.

Depoh berkenaan bukan saja tidak dilengkapi lampu limpah untuk kawalan pada waktu malam serta kamera litar tertutup (CCTV), malah sistem pendawaian elektriknya sudah lama dan ada yang rosak, pagarnya pula tidak pernah diganti sejak 1970-an sebaliknya hanya diperbaiki mengikut keperluan atau kerosakan, manakala tiang sesetengah menara kawalan berkarat dan reput. Kuarters kakitangannya juga amat menyedihkan serta tiada kemudahan.

Keadaan itu berlaku di depoh tahanan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang; Belantek, Kedah; Lenggeng, Negeri Sembilan; Machap Umboo, Melaka; Tanah Merah, Kelantan; Semuja, Sarawak; Kemayan, Pahang; Langkap, Perak; Juru, Pulau Pinang dan Pekan Nenas, Johor.

Pendedahan itu dibuat Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman, semalam, menyusul beberapa kejadian membabitkan tahanan warga asing melarikan diri dari depoh Imigresen.

Terbaru, 20 tahanan warga Afghanistan melarikan diri dari Depoh Tahanan Imigresen KLIA, kira-kira jam 3 pagi 2 Ogos lalu selepas memotong jeriji dua pintu halangan sebelum menyusup keluar. Sebelum ini, pada 27 Mac lalu, 16 warga Afghanistan dan empat Myanmar yang ditahan di depoh yang sama turut melarikan diri.

Abdul Rahman berkata, Imigresen mempunyai 13 depoh tahanan dengan di Semenyih, Negeri Sembilan sedang dalam pembaikan dan dijangka siap pada Disember ini, manakala Bekenu dan Ajil adalah bangunan baru serta memiliki kemudahan tahanan dan tempat tinggal kakitangan yang lebih baik.

Beliau berkata, 10 depoh yang uzur itu menempatkan kira-kira 7,000 tahanan warga asing dengan sesetengahnya mengalami kesesakan, seperti di Lenggeng yang menempatkan antara 1,400 hingga 1,600 tahanan sepanjang masa berbanding kapasitinya 1,200 tahanan.

Malah, depoh itu turut menempatkan banduan dagang, iaitu pesalah yang selesai menjalani hukuman jenayah dan menunggu untuk dihantar pulang, selain yang menunggu ditahan reman atau untuk siasatan sebelum dibawa ke mahkamah serta warga asing yang melanggar peraturan Imigresen.

Daripada jumlah tahanan itu, sekitar 4,000 adalah kategori banduan dagang dan kumpulan menunggu ditahan reman - kumpulan yang dianggap berisiko tinggi melarikan diri.

Abdul Rahman berkata, setiap depoh mempunyai 120 petugas yang mana setiap syif memerlukan 20 kakitangan untuk berkawal.

Mereka menghadapi tugas berat sama ada dari segi keselamatan tahanan serta diri sendiri apabila terpaksa bergantung kepada keadaan infrastruktur yang uzur, katanya.

Bagaimanapun, katanya, keadaan itu tidak menjejaskan piawaian minimum Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam mengendalikan tahanan termasuk berkaitan "penahanan selamat" iaitu tahanan tidak boleh mencederakan diri sendiri.

Beliau berkata, Imigresen memerlukan sekitar RM100 juta bagi meningkatkan taraf infrastruktur di semua depoh terbabit.

Katanya, kira-kira RM10 juta diperlukan bagi setiap depoh untuk meningkatkan tahap infrastrukturnya, jumlah yang dilihat wajar kerana pendapatan daripada Imigresen berjumlah sekitar RM3 bilion setahun.

"Akibat infrastruktur yang tidak sempurna, kita juga terpaksa mengehadkan pergerakan tahanan menyebabkan aktiviti pengisian kepada mereka terlalu berkurangan kerana kita tidak mahu mengambil risiko dan ini menyebabkan tekanan kepada tahanan terus bertambah," katanya.

Pengisian kepada tahanan termasuk kegiatan sosial serta kawasan lapang untuk mereka ambil angin, tetapi ia memerlukan infrastruktur keselamatan yang baik terutama pagar dan menara kawalan.

Abdul Rahman berkata, jika ada yang menganggap pusat tahanan warga asing tidak perlu terlalu baik, mereka juga perlu memikirkan risiko kakitangan Imigresen yang bertugas di setiap depoh berkenaan.

Mengenai Depoh Tahanan KLIA, Abdul Rahman berkata, bangunan itu sepatutnya menempatkan warga asing yang transit sementara menunggu pesawat, tetapi bertukar menjadi pusat tahanan kekal selepas Depoh Semenyih ditutup.

Sehingga 31 Mac lalu, Depoh KLIA mempunyai 542 tahanan termasuk mangsa pemerdagangan orang yang diberi perlindungan di blok khas di situ. - Berita Harian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...