Thursday, December 31, 2009

'Pagar' yang tidak boleh dipercayai : Tiga Pegawai Imigresen Didakwa Terima Rasuah

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Dua pegawai wanita Imigresen Putrajaya mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan bersetuju menerima suapan daripada seorang pengarah syarikat pada tiga tahun lepas.

Penolong Penguasa Jabatan Imigresen Putrajaya Norhayati Omar mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah iaitu menyetuju terima tiga tiket kapal terbang pergi balik ke Singapura dan satu set Home Theatre Sony HTS tanpa sebarang balasan daripada pengarah Quest Argotech (M) Sdn Bhd, Anil Kumar Chigurupathi, walaupun mengetahui bahawa ia ada kaitan dengan tugasnya untuk meluluskan pas penggajian pekerja asing (DP11).


Norhayati, 38, didakwa melakukan kesalahan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, pada 6 Mei 2006.

Majistret Nor Azah Kasran membenarkan Norhayati diikat jamin RM 4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Feb depan untuk sebutan kes.

Di Mahkamah Majistret lain, seorang pegawai Imigresen Putrajaya mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersetuju menerima deposit kereta dalam bentuk cek bernilai RM18,071 tiga tahun lepas.

Salmiza Man, 35, didakwa menerima cek berkenaan sebagai bayaran pendahuluan kereta daripada Anil Kumar melalui S. Ramadess, 53, di Quest Argotech (M) Sdn Bhd No 2-4-1, Tingkat 4, Menara KLH Jalan Kasipillay, Off Jalan Ipoh di sini pada 10 Mei 2006, yang ia ada kaitan dengan tugas tertuduh sebagai Pegawai Imigresen.

Majistret Mohd Azali Ibrahim memerintahkan Salmiza diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Feb depan untuk sebutan semula kes.

Kedua-dua pegawai Imigresen itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen, seorang pengurus syarikat mengaku tidak bersalah terhadap lapan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM20,950 sebagai dorongan bagi memperoleh kelulusan Pas Khas daripada Timbalan Ketua Pengarah 1 (Bahagian Kawalan) Jabatan Imigresen untuk 16 warga China pada tahun lepas.

Hui Kok Mun, 26, didakwa menerima rasuah daripada Wong Yun Fui di tiga lokasi iaitu Starbucks Coffee dan Subway Cafe di Pearl International Hotel, Jalan Klang lama, dan di dalam kereta, berhadapan Old Town Kopitiam, Cheras di sini, antara 13 Mac hingga 9 Mei 2008.

Bagi kesemua kesalahan itu, Kok didakwa mengikut Seksyen 10 (a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Undang-undang Malaysia Akta 575) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 Akta sama, iaitu hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Rosbiahanin Arifin membenarkan Kok diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Beliau menetapkan 29 Jan depan untuk sebutan melantik peguam.-- BERNAMA

'Pasport Terbang' : Pegawai imigresen mengaku tak salah terima rasuah

JOHOR BAHRU: Seorang pegawai imigresen yang bertugas di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, Bangunan Sultan Iskandar, di sini, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, terhadap tuduhan menerima suapan wang berjumlah RM2,000, bulan lalu.

Mohammad Hafez Mhd Azmi, 25, dari Taman Kempas, di sini, didakwa memperoleh suapan daripada Mohd Fauzi Maslan sebagai dorongan memperbaharui pas lawatan sosial tanpa kehadiran pemilik pasport untuk lima pasport warga Bangladesh bernombor Z 0899256, Z 0760219, Q 0117193, W 0276371 dan W 0253456.

Pegawai Imigresen gred KP17 itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di dalam sebuah kereta Proton Waja bernombor pendaftaran WKK 7168 di hadapan sebuah surau, di Kampung Tambatan, Jalan Mohd Amin, di sini, kira-kira jam 3.30 petang, 20 November lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24, akta sama, yang boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Mohd Taufik Khamis manakala Mohammad Hafez tidak diwakili peguam.

Hakim Aliman Musri membenarkan Mohammad Hafez diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 dan 23 Julai depan untuk perbicaraan. - Berita Harian

Wednesday, December 30, 2009

Perlakuan lucah warga asing ganggu penghuni

PUTRAJAYA: Tidak sampai sebulan menginap di rumah sewa Pangsapuri Putra Harmoni, Presint 9 di sini, menimbulkan rasa ngeri seorang gadis apabila berdepan insiden diganggu warga asing yang menayangkan kemaluan pada siang hari, kelmarin.

Gadis berusia 22 tahun yang mahu dikenali Siti mendakwa, kejadian itu berlaku ketika dia menuruni tangga untuk membeli makanan berhampiran rumah, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Mangsa berjalan semula menggunakan tangga untuk pulang ke rumah di tingkat enam pangsapuri itu selepas hampir 20 minit ke kedai berhampiran sebelum mendapati seorang lelaki seolah-olah bersembunyi di bawah tangga dengan gelagat mencurigakan.

Walaupun ada beberapa penghuni lain yang berjalan berhampiran tangga itu, tetapi lelaki terbabit tidak menunjukkan kelakuan lucahnya sebelum mangsa yang tidak memikirkan kejadian buruk turut menggunakan laluan sama.

Bagaimanapun, mangsa yang hanya 10 meter dari lelaki terbabit terkejut apabila lelaki dipercayai warga Bangladesh terbabit membuka zip seluar dan menunjukkan kemaluan sambil tersengih kepada mangsa.

Siti berkata, dia berlari naik ke rumah sewa dan menyembunyikan diri di rumah kerana bimbang kejadian yang tidak diingini kerana yakin lelaki terbabit tinggal di kawasan berkenaan.

Menurutnya, dia hairan lelaki terbabit boleh melakukan perbuatan tidak bermoral itu pada siang hari di kawasan yang agak terbuka dan menjadi laluan penghuni untuk ke kedai berhampiran.

“Saya tidak menyangka lelaki yang berpakaian kemas itu mempunyai perwatakan menjijikkan dan boleh menimbulkan rasa takut di kalangan penghuni wanita di kawasan berkenaan.

“Bukan itu saja, pangsapuri ini menjadi tumpuan warga asing kerana kadar sewa yang agak murah selain mampu tinggal berkumpulan di sesebuah rumah,” katanya ketika ditemui, semalam.

Siti yang menjalani latihan amali di sebuah jabatan kerajaan di sini, berkata, kejadian itu yang pertama kali berlaku sepanjang hampir sebulan menginap di kawasan berkenaan.

Menurutnya, dia bimbang kerana lelaki terbabit mungkin sudah memantau pergerakan hariannya sebelum melakukan perbuatan tidak senonoh itu apabila ada peluang untuk melakukannya.

“Saya bimbang kerana terlalu ramai warga asing menginap di kawasan ini.

“Lelaki terbabit kini sudah menyembunyikan diri walaupun sekali-sekala kelibatnya kelihatan sehingga menimbulkan rasa takut yang bukan kepalang,” katanya yang mengakui boleh mengecam lelaki terbabit.

Siti berkata, dia yakin kejadian sama pernah dialami penghuni lain, tetapi mereka enggan membuat laporan polis kerana malu atau bimbang menjadi sasaran lebih buruk dilakukan lelaki terbabit.

Bukan untuk menidakkan hak warga asing, Siti meminta pihak berkuasa berkaitan memantau pergerakan warga asing di kawasan berkenaan bagi mengelak kejadian buruk terhadap penghuni di kawasan itu pada masa depan. - Harian Metro

Urut Warga Asing : Dua lelaki diserbu Jais ketika dibelai tukang urut

PETALING JAYA: Keasyikan dua lelaki dibelai tukang urut di sebuah pusat spa eksekutif di sini berakhir apabila dicekup anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Ketua Operasi Unit Penguat kuasa Jais, Mohd Haffizul Mohd Roslan, berkata ketika serbuan kedua-dua lelaki terbabit berada dalam keadaan yang meragukan dalam sebuah bilik di spa terbabit.

“Ketika diserbu, mereka bersama tukang urut wanita di bilik berasingan dengan hanya memakai tuala dan seluar pendek. Mereka ditahan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Selangor Seksyen 29 (1) kerana berkhalwat,” katanya, semalam.

Dalam serbuan jam 5.30 petang semalam bersama Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Petaling Jaya, spa yang beroperasi di tingkat dua bersebelahan sebuah hotel terkemuka diserbu kerana dipercayai menawarkan khidmat seks.

Seramai 17 gadis tukang urut diperiksa dan seorang gadis Melayu belasan tahun turut ditahan Jais dipercayai melakukan kerja di tempat yang mencurigakan.


Difahamkan, ketika ditahan gadis itu berada di ruang santai spa itu dan dia akan diarahkan menjalani sesi kaunseling dan pemulihan di jabatan terbabit. - Harian Metro

7 tinggal lebih masa ditahan

PUTRAJAYA: Ketenangan beberapa pelanggan menjamu selera di sebuah restoran di Presint 8 di sini, tersentak apabila restoran itu diserbu selepas dipercayai melakukan kesalahan mengupah pekerja yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan.

Serbuan 12 anggota penguat kuasa Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Putrajaya itu dilakukan selepas mendapat aduan kewujudan pekerja warga asing dari India dan Bangladesh yang diragui dokumen pekerjaan mereka di restoran berkenaan, kira-kira jam 5 petang, semalam.

Ketika serbuan, ada tujuh pekerja warga asing berusia antara 30 hingga 40 tahun di restoran berkenaan yang kemudian disoal siasat sebelum dibawa ke pejabat imigresen, di sini.

Jurucakap Jabatan Imigresen, berkata semua pekerja restoran terbabit ditahan selepas dipercayai menyalahgunakan permit selain tinggal lebih masa ditetapkan.

Beliau berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan orang ramai sebelum melakukan risikan dan pemantauan terhadap pekerja di restoran berkenaan.

“Kami memang ada menerima aduan mengenai kehadiran pekerja warga asing yang diragui kehadiran mereka di restoran berkenaan.

“Susulan itu, pihak kami melakukan risikan dan pemantuan di restoran berkenaan sebelum mendapati ada pekerja yang tidak mematuhi peraturan imigresen yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, ketika serbuan, pemilik restoran yang juga warga tempatan tidak ada di premis berkenaan bagi mendapatkan penjelasan. - Harian Metro

Wanita Filipina ditahan lacur warga senegara

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Filipina ditahan kerana disyaki menipu 12 warga senegaranya datang ke Malaysia untuk menjadi pelacur.

Hasil maklumat daripada Kedutaan Filipina di sini, wanita berusia 58 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah flet di Jalan Imbi di sini pada 11 Disember lalu lepas di mana polis turut menyelamatkan 12 warga negara itu yang dijanjikan pekerjaan sebagai pelayan restoran serta pusat hiburan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat, Bukit Aman, Datuk Ahmad Sofian Md Yassin, berkata siasatan awal mendapati semua mangsa yang berusia dalam lingkungan 19 hingga 31 tahun itu baru tiba di negara ini antara seminggu dan sebulan.

Katanya, kos perjalanan semua mangsa ke negara ini ditanggung sepenuhnya oleh sindiket pelacuran itu.

"Siasatan masih dijalankan mengenai kegiatan sindiket yang dipercayai sentiasa berpindah tempat itu dan kita juga akan merujuk kepada Jabatan Imigresen bagi menyiasat dokumen perjalanan yang dijumpai, sama ada sah atau tidak," katanya.

Wanita berkenaan dipercayai dikurung di flet itu sebelum dihantar kepada ejen pelacuran. - Berita Harian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...