Wednesday, December 16, 2009

Kemasukan Warga Afrika Dipantau Imigresen - Jelaing


KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Kemasukan warga Afrika dipantau oleh pihak Imigresen untuk memastikan mereka masuk ke negara ini benar-benar pelancong, Timbalan Menteri Dalam Negeri Jelaing Mersat memberitahu Dewan Negara Selasa.

Beliau berkata statistik Imigresen menunjukkan seramai 99,769 warga Afrika datang ke Malaysia antara Jan dan Okt tahun ini.

"Sehingga 31 Okt 2009, operasi penguatkuasaan yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mencatatkan 153 jumlah tangkapan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002," katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Rizuan Abd Hamid pada Persidangan Dewan Negara di sini Selasa.

Katanya antara yang ditangkap pihak Imigresen adalah 69 warga Nigeria, 25 warga Sudan, 16 warga Bostwana, 14 warga Algeria dan 10 warga Zimbabwe.

Jelaing berkata 76 peratus yang ditangkap atas kesalahan tinggal melebihi tempoh. -- BERNAMA

Lagi kes dera : Majikan didakwa dera pembantu rumah warga Indonesia

KLANG: Seorang pemilik kedai alat tulis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana dituduh menyebabkan kecederaan parah terhadap pembantu rumahnya dengan menyiram air panas ke tangan mangsa pada November lalu.

Lim Boon Chong, 34, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Yong Zarida Sazali.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Mujiah, 15, seorang warga Indonesia, di rumah No: 1, Jalan Kantan 6/KS6, Ambang Botanic di sini, pada 10 pagi 1 November lalu.


Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Yong Zarida membenarkan Lim diikat jamin RM6,000 dan menetapkan 21 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes. - Berita Harian

Monday, December 14, 2009

KDN minta IPTS pantau pelajar asing

KOTA BHARU 13 Dis. - Beberapa institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) diselar kerana mengutamakan keuntungan semata-mata dan gagal memantau aktiviti pelajar asing yang melanjutkan pelajaran di institusi kelolaan mereka.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mahmood Adam berkata, IPTS sepatutnya melaporkan kepada Jabatan Imigresen jika ada pelajar tidak hadir ke kuliah melebih 40 peratus daripada jumlah kelas dalam setiap semester.

Menurutnya, ia perlu dilakukan bagi membendung kes penyalahgunaan visa pelajar.
"Kita memberi amaran kepada mereka supaya jangan mementingkan keuntungan semata-mata kerana ada pelajar asing ini menimbulkan masalah dengan menyalahgunakan pas pelajar.

"Kalau pelajar ini tidak hadir ke kuliah melebihi waktu yang ditetapkan, segera lapor kepada pihak berkuasa dan kita akan ambil tindakan termasuk membatalkan visa pelajar ini serta-merta," katanya kepada pemberita pada majlis Hari Bertemu Pelanggan KDN di sini hari ini.

Program itu dirasmikan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin. Hadir sama Ketua Polis Kelantan, Datuk Abd. Rahim Hanafi.

Mahmood berkata, kebanyakan kes salah guna pas pelajar disebabkan kegagalan beberapa IPTS untuk melaporkan aktiviti pelajar mereka kepada pihak berkuasa.

Jelasnya, walaupun beberapa prosedur penapisan diperketatkan, namun sukar untuk mengesan pelajar yang betul-betul berhasrat untuk meneruskan pelajaran.

"Sebab inilah IPTS perlu memainkan peranan mereka. Kalau di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tidak berlaku masalah ini kerana aktiviti pelajar dipantau dengan baik.

"Bagi pelajar IPTS, kementerian memang buat saringan keselamatan tetapi itu bukan bermaksud mereka boleh lepas tangan sebaliknya kita mahu kerjasama penuh pihak IPTS," tambahnya. - Utusan

Talian Nur diperluas terima aduan dera pembantu rumah

KUALA LUMPUR 14 Dis - Perkhidmatan Talian Nur 15999 kini di perluas bagi menerima aduan mengenai penderaan dan penganiayaan terhadap pembantu rumah, kata Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat AbduL Jalil di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan mengambil langkah itu kerana prihatin terhadap kebajikan pembantu rumah rakyat asing dan memandang serius kes-kes penderaan terhadap mereka.

Menurutnya, semua aduan penderaan fizikal dan seksual terhadap pembantu rumah yang diterima melalui Talian Nur 15999 akan disalur terus kepada Polis Diraja Malaysia untuk siasatan segera.

Talian Nur 15999 beroperasi sejak 2007 berfungsi sebagai talian tunggal yang menghubung ke semua pelanggan kementerian itu dan jabatan atau agensi di bawah kawalannya.

Talian itu bertujuan memudahkan orang ramai mengemukakan pertanyaan, aduan dan mendapatkan bantuan berkaitan penderaan, pengabaian, keganasan rumah tangga, skim bantuan kebajikan dan lain-lain.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari laman web www.kpwkm.gov.my atau mendail nombor itu menggunakan talian tetap atau telefon bimbit yang beroperasi 24 jam sehari.- Utusan

210 pati Thailand dihantar pulang hari ini

SADAO (Thailand) 14 Dis. - Seramai 210 pendatang tanpa izin (PATI) Thailand dihantar pulang hari ini, melalui program pengampunan sempena hari keputeraan Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Pengurusan) Malaysia, Che Din Yusoh berkata, penghantaran itu merupakan kali ketiga dilakukan sepanjang tahun ini, membabitkan 520 PATI yang ditahan di Depot Imigresen seluruh negara.

"Penghantaran pertama ialah pada awal tahun membabitkan 150 PATI sempena hari hari keputeraan Permaisuri Thailand, manakala yang kedua dilakukan Ogos lalu melibatkan 160 PATI.

"Proses penghantaran ini dilakukan hasil kerjasama antara kerajaan Malaysia dan Thailand, kos penghantaran ditanggung oleh kerajaan Malaysia,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Penyerahan yang dilakukan oleh Che Din berkenaan turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Thailand merangkap wakil rakyat Songkhla, Thawom Senneam. - Utusan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...