Saturday, December 12, 2009

Isu Pembekuan Pembantu Rumah Dibincang Di Jakarta Pada Januari

MUADZAM SHAH, 11 Dis (Bernama) -- Malaysia berharap mesyuarat keempat Jawatankuasa Kerja bagi Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia yang akan diadakan di Jakarta pada Januari ini bakal membawa satu keputusan muktamad.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan, berkata mesyuarat berkenaan dijangka membincang dan membuat keputusan mengenai beberapa isu tertangguh termasuk mengenai gaji pembantu rumah dan struktur kos yang melibatkan bayaran yang perlu ditanggung majikan bagi menamatkan isu pembekuan pembantu rumah asing oleh kerajaan Indonesia.

"Kita sedang melihat kepentingan terhadap kedua-dua pihak iaitu pekerja dan majikan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Bumi Hijau Universiti Tenaga Nasional Kampus Sultan Ahmad Shah di sini Jumaat.

Maznah berkata bahawa pada pertemuan lepas, Malaysia mengemukakan modul program latihan untuk dipatuhi setiap agensi pembantu rumah Indonesia dalam membantu daripada segi penyediaan mental dan praktikal pembantu rumah berkenaan.

"Kita kerap mendapat aduan daripada majikan yang mengatakan ada antara mereka (pembantu rumah) tidak tahu apa-apa dalam menjalankan tugas," katanya.

Maznah berkata modul latihan itu juga menjelaskan mengenai perbezaan budaya antara kedua-dua negara selain mengenai pengurusan masa dan kerja.

Indonesia membekukan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia mulai 25 Jun lepas disebabkan banyak aduan mengenai pembantu rumah didera oleh majikan. -- BERNAMA

Friday, December 11, 2009

Lelaki asing ditahan cuba ceroboh rumah jiran

SEREMBAN: Tindakan pantas seorang lelaki sebaik menerima panggilan telefon dari adik iparnya, berjaya menghalang seorang lelaki warga asing yang cuba menceroboh rumah mertuanya dalam satu kejadian 11 malam tadi di Taman Senawang Jaya.

Lelaki itu, Izwan Sadikin, 39, berkata beliau sedang berehat apabila menerima panggilan telefon dari adik ipar perempuannya yang berusia 19 tahun, meminta pertolongan.

"Adik ipar saya telefon. Katanya, 'bang ada orang nak masuk rumah'. Suara adik ipar saya benar-benar dalam ketakutan...ketika itu keluarganya tiada di rumah," katanya.

Selepas itu, beliau terus menuju ke rumah adik iparnya yang tinggal tidak jauh dari rumahnya.

Semasa beliau tiba, lelaki warga asing yang sedang memecahkan pintu depan rumah menggunakan besi itu terkejut dan terus melarikan diri apabila ternampak Izwan.

Suspek adalah jiran sebelah mangsa dan menetap bersama dengan 12 lelaki lain dipercayai warga asing.

Izwan kemudian menghubungi anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) di taman itu dan mereka berjaya menemui lelaki terbabit sedang bersembunyi di rumah sewa seorang rakannya tidak jauh dari situ.

Suspek kemudian ditahan dan diserahkan kepada polis.

Pengerusi SRS Taman Senawang Jaya, Datuk Rohani Shariff, berkata itu adalah kejadian pertama seumpama itu di taman berkenaan.

Beliau juga menasihatkan penduduk supaya lebih berhati-hati terhadap pekerja warga asing yang tinggal di taman itu. - Berita Harian

Lagi GRO asing ditahan kerja tanpa permit sah

KUALA LUMPUR 11 Dis. - Sembilan belas wanita warganegara asing, yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pelacuran, ditahan polis kerana tidak mempunyai permit kerja sah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Changkat Bukit Bintang, di sini awal pagi ini.

Kesemua wanita berumur dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun itu terdiri daripada warganegara Filipina, Thailand, China dan Vietnam diberkas dalam operasi dua jam yang berakhir kira-kira pukul 3 pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata, ketika serbuan itu mereka sedang melayan pelanggan dan tidak menyedari kehadiran polis.

Polis turut menahan seorang lelaki tempatan berumur 30-an yang mengurus premis itu kerana kesalahan membenarkan pekerja warganegara asing bekerja tanpa permit sah di premis itu.

Premis itu mempunyai lesen hiburan yang sah sehingga 30 Jun depan, katanya ketika dihubungi di sini hari ini. - Utusan

Thursday, December 10, 2009

Majikan, amah akan diwajib dialog bersama kementerian setiap 6 bulan

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia akan mewajibkan semua majikan dan pembantu rumah warga asing menghadiri dialog khas bersama kementerian setiap enam bulan sekali bagi menerangkan hak kedua-dua pihak.


Menterinya, Datuk Dr S Subramaniam, berkata langkah itu bagi memastikan majikan dan pembantu rumahnya saling memahami diantara satu sama lain.

Beliau berkata demikian pada sidang media di sini, sebentar tadi. - Berita Harian

Komen PATREE Malaysia

PATREE tidak melihat perlunya tindakan 'zaman ortodok ini'. Ianya langsung tidak praktikal dan akan memberi byk kesulitan kpd majikan dan pekerja.

Kaedah yg akan PATREE perkenalkan kpd ahli2nya, jauh lebih berkesan dan sentiasa mengemaskini aktiviti majikan dan pembantu.

Jadi, tak perlulah kita utk sentiasa melapurkan ke pejabat kementerian sumber manusia...

RM30.2 juta untuk hantar pulang PATI

KUALA LUMPUR 10 Dis. — Kerajaan terpaksa membelanjakan sejumlah RM30.2 juta untuk menghantar pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara asal mereka bagi tempoh 2007 hingga 2009, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, jumlah itu digunakan untuk menampung kos pengusiran seramai 154,729 orang PATI.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga terpaksa membelanjakan kos sebanyak RM30 sehari bagi seorang PATI yang ditahan di Depot Imigresen.

"Kos-kos yang terpaksa ditanggung kerajaan adalah meliputi kos harian dan kos rawatan sahaja. Kos ini tidak termasuk kos perubatan.

"Manakala, kos bagi urusan pengusiran PATI ke negara asing iaitu udara, laut dan darat pula adalah di bawah tanggungjawab kerajaan,” katanya ketika menjawab soalan Mohsin Fadzli Samsuri (PKR-Bagan Serai) di Parlimen di sini mengenai kos pengendalian PATI yang ditahan dan siapa yang menanggung kos pengembalian ke negara asal mereka. - Utusan

Wednesday, December 9, 2009

Awang Hitam kurang ajar

KUALA LUMPUR: Rasa curiga seorang wanita terhadap tiga Awang Hitam yang mengusik dan mengekorinya menyelamatkannya daripada menjadi mangsa rogol kumpulan lelaki terbabit.

Difahamkan, mangsa berusia 20-an yang takut diekori kumpulan lelaki berkenaan masuk ke Balai Polis Kepong, di sini untuk bantuan sebelum tiga warga asing terbabit melarikan diri.

Dalam kejadian jam 9.45 malam Sabtu lalu, mangsa yang bekerja sebagai promoter di sebuah kompleks di Kepong di sini, dalam perjalanan balik dari tempat kerja ke rumahnya di Damansara Damai di sini.

Menurut sumber, wanita terbabit yang berseorangan menunggu bas mendakwa dihampiri tiga lelaki warga asing.

“Kumpulan lelaki terbabit mengusiknya sebelum wanita yang tidak selesa beredar dari situ.

“Mangsa kemudian menaiki jejambat semula untuk menyeberang sebelum mangsa mendakwa diekori kumpulan lelaki sama,” katanya di sini, semalam.

Sumber itu berkata, seorang daripada kumpulan lelaki berkenaan menghampiri mangsa di tangga jejambat itu lalu memegang tangan kiri wanita terbabit.

“Wanita itu akhirnya dapat melepaskan diri sebelum turun semula tangga jejambat itu dan terus menaiki sebuah teksi,” katanya.

Mangsa menaiki teksi berkenaan sehingga ke sebuah stesen minyak berhadapan dengan Balai Polis Kepong.

Sumber itu berkata, mangsa turun di situ dan pada masa sama wanita berkenaan ternampak dua warga asing itu menuju ke arahnya.

“Terkejut melihat dua warga asing sama, mangsa yang khuatir diapa-apakan kumpulan lelaki itu masuk ke kawasan balai terbabit sebelum membuat laporan,” katanya. - Harian Metro

Suami miang tergoda ‘gadis kacang’

MANJUNG: Menyelam sambil minum air adalah ungkapan tepat menggambarkan sikap sesetengah suami miang di daerah ini menggunakan alasan keluar minum bersama rakan untuk menggatal dengan wanita warga asing yang majoritinya berusia sebaya atau lebih muda daripada anak gadis mereka.

Taktik mengupah wanita warga asing yang cantik dan seksi untuk menggoda dan membelai mesra pelanggan ‘berusia’ bukan perkara baru, tapi dilihat semakin menjadi-jadi di daerah ini dan menular hingga ke kawasan ladang kelapa sawit sehingga Manjung kini dilabel sebagai pusat hiburan alternatif kedua di Perak selepas Ipoh.

Namun, rasa hairan mula bermain di benak fikiran isteri sejak beberapa bulan kebelakangan ini melihatkan perubahan ketara suami semakin jarang menggayakan baju pagoda dan seluar pendek sebaliknya digantikan dengan gaya pemakaian kemas serta semburan minyak wangi, seolah-olah mahu keluar bermesyuarat.

Memikirkan isteri tidak kisah dengan perubahan penampilan diri, suami semakin leka dan hanyut dalam dunia fantasi mereka akibat tergoda serta termakan pujuk rayu pelayan wanita warga asing yang turut digelar gadis kacang.

Akibatnya, suami semakin lewat pulang ke rumah, ada masanya hanya balik keesokan hari dan mengabaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Beberapa isteri hilang sabar dan pelik dengan perubahan sikap suami mereka, bersepakat menyiasat aktiviti dilakukan suami setiap kali keluar minum teh bersama rakan.

Mereka terkejut mendapati suami bukan saja meneguk minuman keras, malah memeluk ghairah wanita warga asing.

Pendedahan eksklusif dibuat hasil tinjauan wartawan Harian Metro selama beberapa hari di daerah ini, membongkar kewujudan semakin banyak premis menyediakan khidmat gadis kacang.

Perkara itu diakui Ketua Jabatan Imigresen cawangan Lumut, Zaidi Dali mendakwa menerima aduan wanita tempatan di sekitar daerah ini yang menemui pegawainya atau menghubungi mereka mengenai kehadiran wanita warga asing di kawasan mereka.

“Mereka mengadu kehadiran wanita warga asing di premis seperti di warung minuman atau restoran berhampiran tempat tinggal sehingga menjejaskan rumah tangga,” katanya. - Harian Metro

Bila saling menghormati : Amah cekal terima anugerah

IPOH: Kecekalan dan kesetiaannya menjaga majikan yang menghidap penyakit angin ahmar walaupun tiada tali persaudaraan serta berbeza agama dan budaya sangat mengagumkan.

Bagi Watinem Yuswanto, 23, tugas yang diamanahkan untuk menjaga majikannya, Liew Tap, 61, cuba dipikul sebaiknya meskipun pada mulanya timbul rasa putus asa.

Katanya, dia sedar kehidupan dan adat majikan berbeza dengan dirinya yang beragama Islam, namun perbezaan itu ditolak tepi dan atas dasar perikemanusiaan, dia terus bertahan dan melakukan tugasnya.

“Pada mulanya agak sukar untuk menjaga insan yang tergolong dalam kumpulan orang kurang upaya (OKU).

“Bagaimanapun, saya dapat memikul tugas ini, malah sudah lima tahun saya menjaganya dan kini keadaannya tidak seteruk dulu,” katanya.

Watinem berkata, keadaan majikannya ketika dia mula bekerja dengannya tidak seperti sekarang kerana Liew Tap masih lagi boleh berjalan, namun sejak terbabit dalam kemalangan setahun lalu, keadaannya bertambah teruk.

“Akibat kemalangan itu, majikan saya koma seminggu. Selepas sedar, emosi serta sikapnya berubah apabila kerap marah dan sensitif sehingga saya sering menjadi tempatnya untuk meluahkan kemarahan.

“Ketika dimarah dan diherdik, terlintas di hati saya untuk berhenti kerja namun layanan baik anak-anaknya membuatkan saya terus bertahan,” katanya.

Kesabarannya membuahkan hasil apabila dia bersama empat individu lain diberikan Anugerah Penjaga Terbaik 2009 oleh Pusat Pemulihan Sultan Azlan Shah (PPSAS), Bercham yang julung kali diadakan sempena Hari Orang Kelainan Upaya Sedunia, semalam. - Harian Metro

GRO tunjuk kad pelajar

KUALA LUMPUR: Untuk melepaskan diri daripada dicekup polis, sekumpulan lima gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing yang ditahan dalam satu operasi di Bukit Bintang, awal pagi semalam mendakwa sebagai pelajar di dua institusi pengajian tinggi tempatan.

Mereka menunjukkan kad pelajar universiti berkenaan ketika diperiksa.

Bagaimanapun, kesahihan kad pelajar terbabit diragui ketulenannya apabila anggota yang memeriksa dokumen mendapati ia terkoyak seperti dipotong.

Seorang daripada gadis terbabit yang juga warga Myanmar mendakwa dirinya pelajar universiti terkemuka di negara ini sementara yang lain mengaku menuntut di sebuah kolej swasta di Petaling Jaya.

Dalam serbuan kira-kira jam 2 pagi itu, sepasukan anggota polis dari Cawangan Kongsi Gelap Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) menahan 22 wanita warga asing dipercayai GRO.

Ketua Turus D7 IPKKL, Deputi Superintendan Razali Abu Samah, berkata semua gadis terbabit mendakwa mereka pelajar dengan mengemukakan kad pelajar sebagai bukti.

“Bagaimanapun, pemeriksaan ke atas kad pelajar diberikan didapati sudah terkoyak dan meragukan.

“Ketika serbuan dijalankan, pelanggan serta gadis GRO dalam pusat hiburan itu gagal melarikan diri kerana semua jalan keluar premis sudah dikepung.

“Malah, ketika serbuan ada di kalangan mereka tidak sedar kehadiran polis kerana asyik melayan pelanggan dalam bilik rehat eksklusif.

“Difahamkan, hanya pelanggan tertentu saja boleh menggunakan kemudahan itu dengan dikenakan bayaran RM100 untuk seorang dan berhak mendapat layanan istimewa sambil ditemani gadis pelayan,” katanya.

Daripada 22 yang ditahan, 16 warga China manakala pemeriksaan dokumen perjalanan menunjukkan mereka masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial bagaimanapun disalahgunakan.

Berhubung dakwaan sebagai pelajar universiti dan kolej, polis merujuk kes terbabit kepada pihak institusi berkenaan bagi mengesahkan dakwaan lima gadis berkenaan sebelum mengambil tindakan lanjut.

Mereka ditahan berusia antara 22 dan 27 tahun dan dibawa ke IPKKL untuk tindakan lanjut. - Harian Metro

2 beradik warga Indonesia dituduh bunuh rakan senegara

BUKIT MERTAJAM: Dua beradik berusia antara 30 dan 40-an berdepan hukuman mati jika sabit kesalahan atas dakwaan membunuh seorang lelaki warga Indonesia termasuk kemaluannya dipotong pada 24 November lalu.

Kedua-dua tertuduh dikenali sebagai Laingke, 35, dan abangnya, Laaihu, 40, juga warga Indonesia didakwa membunuh Junaidi @ Wahyudi di sebuah flet di Blok E, Taman Pelangi, Bukit Tengah di sini antara jam 2 hingga 4 pagi, 24 November lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, tiada sebarang rekod dicatatkan daripada tertuduh selepas kesnya didengar di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, semalam.

Tertuduh yang bekerja sebagai pekerja kontrak di negeri ini didakwa menggunakan cermin tingkap pecah sebagai senjata untuk membunuh mangsa.

Majistret Mohd Azhar Hamzah menetapkan 3 Februari depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu keputusan bedah siasat serta laporan daripada jabatan kimia.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Norshakinah Ibrahim, menyatakan kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mereka dihantar ke Penjara Pulau Pinang sementara menanti sebutan semula kes tahun depan.

Sejurus keputusan bedah siasat dan jabatan kimia diperoleh, kes itu akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. - Harian Metro

Monday, December 7, 2009

Johor: Pekerja asing tampung buruh tempatan

KEKURANGAN pekerja tempatan bagi mengisi kekosongan jawatan yang didaftarkan majikan melalui portal perkhidmatan JobsMalaysia untuk negeri ini mengakibatkan pihak majikan terpaksa menggajikan pekerja asing dari beberapa negara sumber.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, M Asojan, berkata menerusi tawaran jawatan kosong di portal berkenaan menyaksikan 31,740 ditawarkan bagi mengisi jawatan terutama dalam sektor pembuatan untuk pekerjaan pekerja asas dan operator mesin.

"Pengambilan pekerja asing ini adalah berpunca daripada kurangnya pekerja tempatan yang dapat mengisi kekosongan jawatan yang ada dan bagi memastikan tahap kelicinan operasi dapat dikekalkan.

"Begitupun, penggajian pekerja asing ini adalah langkah sementara bagi mengisi kekosongan jawatan di beberapa sektor yang memerlukan termasuk pembuatan, pembinaan dan pertanian," katanya ketika sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Negeri Johor ke-12 di sini, Jumaat lalu.

Asojan berkata, walaupun kehadiran pekerja asing ini secara tidak langsung membantu pembangunan negara, namun ia tetap memberi kesan kepada masyarakat setempat apabila terdapat majikan bertindak menempatkan mereka di asrama kilang yang terletak di taman perumahan berdekatan tempat kerja mereka.

Katanya, tindakan itu sedikit sebanyak mewujudkan masalah sosial dan keselamatan apabila ada di kalangan penduduk tempatan berasa tergugat dengan kehadiran mereka dalam jumlah yang ramai selain mereka turut dipercayai tidak memahami adat resam dan budaya di negara ini.

"Sehubungan itu, kerajaan mewajibkan setiap pekerja asing menghadiri Kursus Induksi di mana modulnya termasuk mempelajari adat resam, budaya dan agama di negara ini walaupun masih terdapat ramai daripada mereka yang gagal menyesuaikan diri dengan budaya tempatan.

Asojan berkata, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda) juga bekerjasama dengan unit Perancang Ekonomi Negeri Johor, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa serta beberapa agensi lain termasuk pihak berkuasa tempatan bagi menempatkan pekerja asing ini. - Berita Harian

Sunday, December 6, 2009

41 GRO warga asing dicekup

JOHOR BAHRU 5 Dis. - Seramai 41 wanita warga asing yang bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) ditahan dalam serbuan di sebuah restoran di Stulang Laut, di sini semalam.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa, Jabatan Imigresen Johor, Masri Adul berkata, mereka adalah 32 warga China, tujuh Thailand dan dua wanita Indonesia yang ditahan atas pelbagai kesalahan antaranya tidak memiliki permit dan dokumen pengenalan diri yang sah.

Beliau berkata, semua wanita berusia antara 28 hingga 56 tahun itu ditahan dalam serbuan pada pukul 6.55 petang.

"Berdasarkan maklumat yang diterima, wanita warga asing tersebut akan datang ke restoran itu sebelum menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan.

"Sekiranya pelanggan bersetuju, mereka seterusnya akan meneruskan urusan 'perniagaan' di tempat lain pula," katanya di sini hari ini.

Ketika serbuan, katanya, terdapat kira-kira 300 pelanggan yang kebanyakannya sudah berusia berada di dalam restoran berkenaan.

Tambah Masri, siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan Peraturan 39 (b) akta yang sama kerana melanggar syarat permit.

Sebahagian daripada mereka juga, katanya akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (C) akta yang sama kerana tinggal di negara ini melebihi tempoh dibenarkan.

"Kesemua wanita ini kini ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nanas, Pontian dan direman selama 14 hari mengikut Akta Imigresen untuk siasatan lanjut," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...