Saturday, December 5, 2009

Amah dijel 5 tahun

MELAKA: Seorang pembantu rumah yang mencuri pelbagai barangan berharga milik majikannya bernilai kira-kira RM120,000 dihukum penjara lima tahun dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini semalam.

Tertuduh, Ika Dwi Wulandari, 23, dari Jawa Barat, Indonesia turut dikenakan hukuman penjara tambahan 12 bulan oleh Majistret Mohd Fairuz Johari jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Ika Dwi, didapati mencuri enam utas rantai emas, enam gelang, tiga pasang subang emas, satu set rantai leher dan subang mutiara, cincin emas, wang tunai RM5,000, mata wang asing (Rupee India 25,000), barang kemas perak kira-kira 1 kilogram, enam jam tangan perempuan dan kanak-kanak, barang elektronik seperti ‘Game Boy’, komputer riba, lampu Sanyo, kamera Canon, telefon bimbit, enam pasang kasut Nike, kaca mata bernilai RM1,960, lapan jaket Nike, empat beg galas Nike, dua helai sari sutera, lima helai sari biasa, gincu Maybelline dan beg, milik majikannya, Jamal Mohamed Nazar Murusal Ibrahim, 47, semuanya berjumlah RM120,000.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 18 Oktober hingga 19 November lalu, kira-kira jam 6.30 petang, di rumah No 98A, Jalan Sentosa 12, Taman Sentosa, Bukit Baru, dekat sini dan dituduh mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dipenjara tujuh tahun dan denda.

Pegawai Pendakwa Inspektor Rosli Rasi, memberitahu berdasarkan fakta kes, pada 16 November lalu, Jamal Mohamed Nazar (pengadu) memeriksa barangan miliknya di dalam rumah dan mendapati, pelbagai barangan hilang.

Pengadu kemudiannya bertanya kepada tertuduh yang mengaku mencuri barangan terbabit dan menyerahkannya kepada seorang perempuan Indonesia bernama Sree dan teman lelakinya ketika majikannya tiada di rumah. - Harian Metro

Rumah urut ‘geli-geli’

GOMBAK: Popular dengan jolokan rumah urut ‘geli-geli’ menyebabkan ramai lelaki berstatus suami sanggup berhabis duit ratusan ringgit hampir setiap minggu semata-mata melampiaskan nafsu bersama gadis urut yang kebanyakannya wanita seberang.

Kebanyakan gadis urut seks yang beroperasi di sekitar Gombak itu dikesan menggunakan rumah persendirian yang disewa atau milik penghuni tempatan untuk menjalankan kegiatan itu yang mampu memberi keuntungan sehingga RM500 sehari.

Kegiatan terbabit, bagaimanapun dilumpuhkan selepas sepasukan 63 anggota Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dibantu lapan pegawai Imigresen dan lima anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak melakukan operasi di dua lokasi berasingan.

Dalam operasi pertama kira-kira jam 6 petang, pegawai MPS menyerbu sebuah rumah di tingkat tiga bangunan rumah kedai di Sentral Point, Batu Caves.

Pegawai Bahagian Penguat Kuasa MPS, Ahmad Faisal Badiuzaman, berkata dalam serbuan pertama itu, seorang wanita tukang urut kelam-kabut menyarungkan baju yang berselerakan di lantai bilik tidur.

Menurutnya, wanita Indonesia berusia 30-an ketika itu dalam keadaan separuh bogel bersama seorang lelaki tempatan yang dipercayai berasmara dalam bilik tidur terbabit.

“Hasil pemeriksaan di rumah itu, MPS mendapati tiga bilik tidur diubah suai menjadi bilik rawatan batin dan urutan tradisional dilengkapi tilam dan kipas angin.

“Pemeriksaan mendapati dua wanita asing yang menawarkan perkhidmatan istimewa di rumah itu dengan harga RM50 hingga RM80 bagi setiap kali sesi rawatan,” katanya.

Dalam serbuan kedua di satu lagi lokasi berasingan, MPS terpaksa menggunakan alat umpil selepas usaha meminta penghuninya membuka pintu gagal.

“Penguat kuasa MPS yang yakin terdapat penghuni di dalamnya mengetuk pintu berkenaan hampir 15 minit namun penghuni ‘mematikan’ diri dalam rumah.

“Namun selepas tiga anggota MPS mula mengumpil jeriji besi pintu, seorang wanita muncul sebelum membuka pintu. Siasatan menemui seorang wanita berusia 20-an bersama seorang lagi rakannya,” katanya.

Menurutnya, dua wanita terbabit dipercayai bekerja sebagai tukang urut di rumah berkenaan yang dimiliki seorang wanita tempatan.

Menurutnya, MPS akan mengambil tindakan Akta Undang-undang kecil (UUK3) Pusat Kesihatan dan Kecantikan MPS 2007 dengan mengenakan kompaun RM1,000 kepada pemilik rumah terbabit.

Pada masa sama, penguat kuasa MPS turut menyita semua tilam dan peralatan digunakan di kedua-dua rumah terbabit. - Harian Metro

Empat warga Afrika ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan satu lagi sindiket pengedaran wang palsu didalangi warga Afrika dengan menahan empat lelaki dalam operasi khas di sini, Isnin lalu.

Sindiket itu dipercayai memperdayakan mangsa dengan membuat pertukaran mata wang sebelum merompak mereka.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman, berkata pihaknya juga merampas 540 keping wang palsu dengan nilai RM50 setiap satu dalam serbuan di Lanson Place, Jalan Ampang di sini, jam 5.10 petang.

"Wang itu ditemui dalam sebuah peti besi di bonet kereta dinaiki anggota sindiket terbabit. Selain itu, kami juga menemui tiga pucuk pistol mainan dan dua pisau pemotong daging.

"Kita masih menyiasat lanjut kegiatan sindiket ini dan latar belakang keempat-empat suspek warga Afrika berusia 26 hingga 44 tahun itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya percaya modus operandi sindiket berkenaan ialah memperdayakan individu tertentu dengan wang palsu sebelum merompak mangsa.

"Mereka mengaturkan satu pertemuan dengan mangsa kononnya untuk membeli mata wang asing dengan harga lebih tinggi daripada yang ditawarkan pengurup wang.

"Ketika mangsa membawa mata wang asing itu untuk ditukar, kumpulan terbabit akan menunjukkan wang palsu sebelum mengeluarkan senjata untuk merompak mangsa," katanya.

Beliau berkata, kualiti wang palsu itu sangat rendah dan polis percaya ia dicetak menggunakan pencetak komputer dan tidak disasarkan untuk diedarkan kepada orang ramai melalui urus niaga.

Katanya, polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 489(c) Kanun Keseksaan, Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata berbahaya 1958. - Berita Harian

Friday, December 4, 2009

Geng Nepal tunjuk kuasa

KUALA LUMPUR: Tidak sampai 24 jam menyarung cincin pertunangan, sepasang kekasih mengalami pengalaman menakutkan apabila dibelasah dan dipijak kepala oleh sekumpulan samseng ganas warga Nepal yang cuba menunjuk kuasa.

Difahamkan mangsa, Idzwan Othman, 27, dan tunangnya, Nur Farahani Misnan, 25, diterajang dan ditumbuk berpuluh kali oleh kumpulan suspek warga asing berkenaan hanya kerana mangsa enggan mengalihkan kenderaan di kawasan meletak kenderaan sebuah pusat membeli-belah terkemuka di Seri Kembangan, di sini.

Lebih menyayat hati apabila bapa mangsa turut dipaut kumpulan samseng terbabit sebelum dipaksa menyaksikan anak kandungnya dan bakal menantu dipukul beramai-ramai di hadapan matanya sendiri.

Idzwan yang ditemui semalam berkata, kejadian kira-kira jam 4.20 petang Ahad lalu itu berlaku ketika dia bersama tunangnya pergi ke pusat membeli-belah itu untuk membeli telefon bimbit.

Menurutnya, bapanya Othman Mohd Derus, 62, dan ibunya, Abidah Md Shah, 58, turut sama mengikut dengan menaiki kereta berasingan.

“Sebaik memasuki pusat beli-belah itu, saya terpaksa berpusing berulang kali untuk mencari petak meletak kenderaan berikutan keadaan ketika itu penuh sesak dengan kereta pengunjung.

“Selepas puas berpusing di kawasan meletak kenderaan itu saya akhirnya menemui satu lokasi sesuai untuk meletakkan kereta tanpa menghalang laluan kenderaan lalu,” katanya.

Mangsa berkata, tunangnya, Nur Farahani yang keluar terlebih dahulu dari kenderaan terkejut apabila dua lelaki warga Nepal yang memakai pakaian seragam kuning tiba-tiba muncul menghampirinya.

Dengan lagak samseng katanya, seorang lelaki Nepal terbabit terus menengking tunangnya sambil menyuruh mengalihkan kereta dengan segera.

“Tindakan lelaki terbabit menyebabkan tunang saya benar-benar terkejut dan mempersoalkan tindakannya meninggikan suara. Malah tindakannya memarahi kami sebagai masyarakat tempatan seolah-olah satu penghinaan sedangkan dia adalah kaum pendatang di negara ini.

“Pada masa sama tunang saya cuba mempertikaikan arahan terbabit berikutan tiada tanda amaran atau larangan meletak kenderaan diletakkan di kawasan terbabit,” katanya.

Menurutnya, lelaki Nepal berkenaan bertindak luar batasan dengan mencengkam lengan tunang saya sebelum cuba bertindak kasar.

“Saya yang terkejut dengan tindakan itu kemudian memegang bahu pengawal keselamatan terbabit namun dia tiba menghayun penumbuk ke arah saya.

“Pada masa sama, seorang lagi rakannya bertindak menggunakan alat perhubungan ‘walkie-talkie’ untuk menghubungi rakan lain kononnya mendakwa diserang,” katanya.

Tidak sampai seminit, kira-kira lima lelaki Nepal lain muncul di kawasan terbabit sebelum menyerang mangsa beramai-ramai.

“Saya ditumbuk lebih 50 kali selain disepak oleh samseng Nepal itu yang tidak menghiraukan jeritan tunang saya meminta kami dilepaskan.

“Ketika itu saya hanya mampu melindungi muka dengan tangan dalam keadaan tubuh terlentang di atas jalan sambil diterajang dan dipijak berulang kali oleh tujuh lelaki Nepal terbabit,” katanya.

Idzwan berkata, semua samseng Nepal itu bagaikan berniat untuk membunuhnya apabila menumpukan serangan terhadap muka dan kepalanya.

“Ketika itu saya merasa dilayan seperti ‘anjing’ apabila dipijak di kepala berulang kali. Malah tunang saya yang cuba membantu turut ditolak sehingga jatuh.

“Apa yang lebih membuatkan saya geram, mereka turut memegang ayah dan ibu seolah-olah sengaja untuk menyaksikan saya dibelasah,” katanya yang bertunang sehari sebelum kejadian itu.

Tujuan Idzwan ke pusat belah-belah itu ialah untuk membeli telefon bimbit sebagai hadiah tunangnya, Nur Farahani juga mempunyai tujuan sama membeli telefon bimbit untuk diberi kepadanya.

Satu laporan sudah dibuat di Balai Polis Serdang, di sini, berhubung kejadian itu.

“Ayah saya dan kami sekeluarga termasuk tunang juga bercadang untuk menyaman pihak syarikat kawalan keselamatan dan pusat beli belah itu,” katanya.

yang mengatakan kejadian hanya berakhir selepas pegawai pentadbiran pusat membeli-belah terbabit campur tangan. - Harian Metro

Wahid lulus 176 permohonan kemasukan 4,337 pekerja: Saksi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md Don, adalah orang yang bertanggungjawab meluluskan kemasukan 4,337 pekerja Bangladesh pada Jun dan Julai tahun lalu.

Jumlah itu adalah daripada 176 permohonan yang dibuat oleh pelbagai syarikat dalam sektor pembinaan, perkilangan dan restoran.

Perkara itu tercatat dalam rekod induk yang dicetak dari komputer dan hanya Wahid serta Menteri Dalam Negeri (ketika itu, Tan Sri Syed Hamid Albar) yang mempunyai kata laluannya.

Pengarah Bahagian Pekerja Asing (ketika itu), Datuk Abdul Rahman Othman, 51, yang dirujuk rekod itu mengesahkannya di mahkamah hari ini.

Abdul Rahman yang menggantikan Wahid sebagai Ketua Pengarah Imigresen, adalah orang yang bertanggungjawab mengeluarkan surat kelulusan visa dengan rujukan dalam tempoh kurang 24 jam selepas Wahid meluluskannya menerusi sistem khas.

Pada 19 Ogos tahun lalu, Wahid, 57, didakwa menerima rasuah RM60,000 daripada ahli perniagaan, Datuk Low Chang Hian, sebagai bayaran upah bagi mempercepatkan kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Jalan Lembah Ledang, off Jalan Duta, pada 10.15 malam 10 Julai 2008. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta yang sama iaitu penjara tidak kurang dari 14 hari dan tidak lebih 20 tahun, dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nik Azrin Zairin Nik Abdullah dan Ahmad Kamal Ariffin Ismail manakala Wahid diwakili peguam Datuk V Sithambaram.

Hakim Rosbiahanin Ariffin menangguhkan perbicaraan sehingga 20 dan 21 Januari tahun depan. - Berita Harian

Thursday, December 3, 2009

Wahid lulus hampir 3,000 visa pekerja Bangladesh dalam dua bulan

KUALA LUMPUR: Seorang saksi perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md Don, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, bahawa bekas ketuanya itu telah meluluskan visa pekerja bagi hampir 3,000 warga Bangladesh dalam tempoh dua bulan.

Bekas Pengarah Bahagian Pekerja Asing, Datuk Abdul Rahman Othman, 51, berkata semua rekod kelulusan itu diperoleh menerusi satu sistem khas dan hanya Wahid serta Menteri Dalam Negeri (ketika itu Tan Sri Syed Hamid Albar) sahaja yang mempunyai kata laluan untuk meluluskan permohonan.

Abdul Rahman, yang kini menggantikan Wahid sebagai Ketua Pengarah Imigresen, turut memberitahu bahawa ketika itu beliau bertanggungjawab menyediakan surat kelulusan visa dengan rujukan (VDR) yang dipohon dan ia dikeluarkan selepas Wahid memberi kelulusan.

Mengikut rekod yang dicetak menerusi sistem komputer, Abdul Rahman mengesahkan sebanyak 102 permohonan dibuat mulai April hingga Disember 2007 dan ia diluluskan antara Jun dan Julai 2008.

Pada 19 Ogos tahun lalu, Wahid, 57, didakwa menerima rasuah RM60,000 daripada ahli perniagaan, Datuk Low Chang Hian sebagai bayaran upah bagi mempercepatkan kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Jalan Lembah Ledang, off Jalan Duta, pada jam 10.15 malam 10 Julai 2008. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta yang sama iaitu penjara tidak kurang dari 14 hari dan tidak lebih 20 tahun, dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi.

Menerusi rekod itu juga, Abdul Rahman memberitahu terdapat pelbagai syarikat yang membuat permohonan dalam tempoh berkenaan dan jumlahnya tidak kurang daripada 60 syarikat.

Prosiding itu, yang berlansung kira-kira lima jam hari ini, banyak melibatkan penandaan dokumen dan surat yang berkaitan kelulusan VDR.

Pada awalnya, peguam Datuk V. Sithambaram, yang mewakili Wahid, memohon supaya pihak pendakwaan menandakan dokumen menerusi kaedah yang lebih ringkas.

Bagaimanapun, Hakim Rosbiahanin Arifin tidak membenarkannya kerana beliau perlu mencatat eksibit yang dikemukakan pendakwaan bagi mengelak sebarang masalah jika kes itu terlibat dalam kes rayuan kelak.

"Memang kalau boleh, saya pun nak (hendak) seringkas-ringkasnya tetapi ia akan mengundang masalah bila ada rayuan kelak. Kita dengarlah," katanya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Azrin Zairin Nik Abdullah dan Ahmad Kamal Ariffin Ismail.

Perbicaraan disambung esok. - Berita Harian

Hukuman surirumah dera Nirmala dikurang kepada 12 tahun

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini mengurangkan hukuman penjara 18 tahun kepada 12 tahun terhadap surirumah, Yim Pek Ha atas tiga kesalahan mencederakan pembantu rumahnya dari Indonesia, Nirmala Bonat, empat tahun lalu.

Hakim Azman Abdullah, bagaimanapun membebaskan Yim daripada satu tuduhan lain atas kesalahan sama dan mensabitkannya semula atas tuduhan keempat mengikut seksyen 325 kanun keseksaan.

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Sesyen mensabitkan Yim besalah atas tiga daripada empat tuduhan dihadapinya.

Bagi tuduhan keempat itu, Azman mengenakan hukuman penjara dua tahun terhadap Yim. - Utusan

Pembantu rumah dipenjara 36 bulan culik anak majikan

SHAH ALAM 2 Dis. - Seorang pembantu rumah warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 36 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menculik anak majikannya berumur dua tahun tujuh bulan di sebuah apartmen di Seksyen 13 di sini bulan lalu.

Majistret Norkamilah Aziz memerintahkan Suparmi Lamidi, 50, menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 19 November lepas.

Tertuduh mengaku bersalah menculik Siti Nurdiana Aung Soe @ Husin daripada jagaan ibunya, Haslinda Damanik tanpa persetujuannya di No. 908, Brunsfields Riverview Apartment, Jalan Yoga 13/42, Seksyen 13, kira-kira pukul 7 petang, 17 November lalu.

Suparmi didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Fakta kes menyebut, pada hari kejadian Haslinda bersama suaminya keluar dari rumah untuk bekerja dengan meninggalkan Siti Nurdiana bersama Suparmi kira-kira pukul 6.30 pagi.

Sekembalinya ke rumah kira-kira pukul 7 petang, mereka mendapati Siti Nurdiana dan Suparmi telah tiada dan usaha untuk mencari anak mereka gagal.

Berdasarkan siasatan polis, kira-kira pukul 6 petang, 18 November lalu, seorang lelaki menjumpai Siti Nurdiana berhampiran sebuah kedai yang berdekatan dengan stesen kereta api Batu Tiga di sini.

Suparmi seterusnya ditangkap kira-kira pukul 10 pagi, 19 November lepas di Jalan Haji Hussein 2, Kuala Lumpur hasil maklumat orang ramai yang tahu mengenai kes culik itu melalui hebahan media massa.

Siasatan juga mendapati tertuduh bekerja dengan Haslinda serta suaminya kira-kira dua bulan setengah dan tugasnya ialah untuk memastikan keselamatan Siti Nurdiana sewaktu majikannya keluar bekerja.

Tertuduh bagaimanapun melarikan mangsa yang masih kecil yang tidak mampu untuk menjaga keselamatan diri sendiri serta meninggalkan kanak-kanak itu bersendirian di tempat awam tanpa memikirkan keselamatannya.

Terdahulu, Suparmi yang tidak diwakili peguam bela memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan dia sudah berkeluarga dan mempunyai tiga anak yang masih bersekolah.

''Saya ada ibu yang sudah tua dan saya sudah lama tidak balik ke kampung saya. Pohon hukuman saya diringankan,'' katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Syakimah Ibrahim pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira fakta kes iaitu mangsa yang masih kecil telah ditinggalkan bersendirian di tempat awam.

''Ibu bapa mangsa telah memberi sepenuh kepercayaan kepada tertuduh untuk menjaga mangsa tetapi dia gagal melaksanakannya dengan meletakkan mangsa dalam bahaya.

''Oleh itu saya pohon mahkamah menjatuhi hukuman yang akan menjadi amaran dengan mengambil kira kesulitan yang dihadapi ibu mangsa dan saya percaya kejadian itu telah mendatangkan trauma kepada mangsa dan keluarganya,'' katanya. - Utusan

Wednesday, December 2, 2009

Denak karaoke, bagaimana boleh jadi begini?

Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my



SUBANG JAYA: Pakej karaoke seks. Itu tarikan istimewa ditawarkan sebuah pusat karaoke eksklusif di sini, yang menyediakan wanita muda di kalangan ‘pelajar’ China, bukan saja sekadar untuk menemani sesi karaoke, malah memberikan khidmat seks kepada lelaki hidung belang.

Difahamkan, kebanyakan pelanggan pusat hiburan terbabit terdiri daripada golongan profesional termasuk peguam dan ahli perniagaan, malah ada juga kenamaan yang bergelar Datuk.

Bagaimanapun, kegiatan tidak bermoral itu berakhir apabila premis yang berdekatan sebuah hotel terkemuka di sini diserbu polis dari Bukit Aman, malam kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 10.15 malam itu, 28 pelacur warga China ditahan ketika asyik melayan pelanggan masing-masing.

Menurut sumber polis, ketika ditahan semua wanita berusia 20 hingga 30 tahun itu memberitahu mereka pelajar sebuah kolej swasta di Lembah Klang.

“Semua mereka yang ditahan didapati memasuki Malaysia secara sah menggunakan visa pelajar.

“Dengan bayaran RM200 sejam, pelanggan yang kebanyakan terdiri daripada golongan profesional bukan saja dapat menikmati layanan manja teman untuk berkaraoke, malah boleh melakukan hubungan seks dalam bilik karaoke terbabit,” katanya.

Berdasarkan pemeriksaan, hampir 30 pelanggan yang berada dalam pusat karaoke terbabit terdiri daripada golongan profesional termasuk warga negara jiran.

Difahamkan, ketika premis berkenaan diserbu, kebanyakan pelacur yang berselindung di sebalik status pelajar itu berpakaian mencolok mata dan dalam keadaan mengghairahkan.

Malah, ada antara mereka sengaja tidak memakai pakaian dalam bagi menarik perhatian dan seterusnya menggoda pelanggan yang melanggani mereka.

Sumber itu berkata, premis terbabit sudah diserbu tiga kali sepanjang tahun ini dan serbuan kelmarin mendapati taukenya berlainan daripada pemilik sebelum ini.

“Semua ‘pelajar’ yang ditahan itu dibawa ke Bukit Aman untuk disiasat mengikut Akta Imigresen kerana menyalahgunakan pas pelajar,” katanya.

Difahamkan, premis terbabit diserbu Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian Haram dan Maksiat (D7) Bukit Aman, selepas membuat risikan sejak dua minggu lalu. - Harian Metro

Tuesday, December 1, 2009

Gaji pembantu rumah Indonesia mengikut perjanjian lama

KUALA LUMPUR 1 Dis.- Sehingga kini Malaysia dan Indonesia masih mengguna pakai perjanjian persefahaman (MoU) mengenai pembantu rumah Indonesia yang ditandatangani pada 13 Mei 2006, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, berdasarkan perjanjian itu penetapan gaji pembantu rumah ditentukan melalui persetujuan di antara majikan dan pembantu rumah berkenaan yang termaktub dalam kontrak pekerjaan.

Beliau berkata, isu berkaitan dengan desakan untuk menetapkan gaji yang lebih tinggi kepada pembantu rumah Indonesia tidak pernah dibangkitkan secara rasmi oleh kerajaan Indonesia.

"Perkara ini hanya dilaporkan secara meluas oleh pihak media sedangkan kerajaan Malaysia tidak pernah menerima sebarang desakan atau permohonan daripada kerajaan Indonesia,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Lilah Yasin (BN-Jempol) yang ingin tahu pendirian kerajaan berkaitan tuntutan gaji pembantu rumah Indonesia yang kini dianggap

“amat mahal” serta kemudahan bercuti di hujung minggu.

Sehubungan itu Maznah berkata, kementerian berpendapat bahawa soal desakan untuk menetapkan gaji pembantu rumah yang lebih tinggi tidak timbul. - Utusan

1.5 juta pekerja asing dalam negara

TEMERLOH 1 Dis. - Sehingga kini terdapat kira-kira 1.5 juta pekerja asing yang bekerja di pelbagai sektor dalam negara, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S.Subramaniam.

Beliau berkata, angka itu menunjukkan penurunan ketara berbanding jumlah dua juta pekerja asing yang bekerja dalam negara tahun lepas.

Menurutnya, ketika ini masih ada kalangan syarikat swasta yang memohon untuk mendapatkan khidmat pekerja asing terutama di sektor perladangan, namun kerajaan tidak menggalakkannya.

"Kerajaan tidak menggalakkan pengambilan pekerja asing dalam jumlah yang banyak kecuali dalam bidang-bidang tertentu sahaja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan tahunan Kuil Sri Maha Lingeswarar di Kuala Krau dekat sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan setakat ini masih lagi membenarkan pengambilan pekerja asing dari China, India, Filipina, Nepal, Indonesia dan Thailand tetapi hanya dalam bidang tertentu seperti kejuruteraan bagi menampung keperluan. - Utusan

Pemerdagangan Orang, 88 Ditangkap Dan 39 Didakwa

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Sejak Akta Antipemerdagangan Orang 2007 dikuatkuasakan, seramai 88 individu ditangkap dan 39 didakwa di mahkamah atas kesalahan berkaitan manakala lima orang telah disabitkan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, pihak berkuasa juga telah menjalankan siasatan ke atas dakwaan berkaitan penglibatan penjawat awam dalam pemerdagangan pelarian Myanmar.

"Sehingga kini terdapat satu kes pendakwaan berkaitan dengan isu ini," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) di Dewan Rakyat di sini Isnin.

Lim mahu Menteri Dalam Negeri menyatakan hasil yang dicapai dan jumlah tangkapan serta dakwaan mahkamah dibuat untuk mengelakkan Malaysia disenaraikan lagi oleh negara asing sebagai sebuah negara yang giat dalam memperdagangkan dan penyeludupan manusia.

Hishammuddin berkata kerajaan memandang serius jenayah pemerdagangan orang dan menghargai keprihatinan anggota Parlimen dalam menangani isu ini dan terhadap imej Malaysia yang diturun taraf kepada Tier 3 dalam Laporan Amerika Syarikat mengenai Pemerdagangan Orang 2009.

Beliau berkata kesungguhan Malaysia menangani isu itu telah dimanifestasikan dengan mewujudkan akta berkenaan yang diluluskan pada 24 April 2007 dan berkuatkuasa sepenuhnya mulai Februari 2008.

Katanya, Jabatan Peguam Negara juga telah mengarahkan supaya kes-kes berkaitan warga asing kecuali kesalahan-kesalahan jenayah yang jelas di bawah akta-akta lain seperti bunuh dan mengedar dadah, disiasat terlebih dahulu di bawah Akta Antipemerdagangan Orang.

Untuk mempergiat usaha memerangi jenayah ini, Hishammuddin berkata Majlis Antipemerdagangan Orang telah melaksanakan beberapa dasar dan mengambil beberapa inisiatif.

Antaranya mewujudkan Pelan Tindakan Strategi Antipemerdagangan Orang Nasional yang menggariskan tindakan yang akan diambil dalam tempoh lima tahun bagi memantapkan penguatkuasaan dan pelaksanaan usaha membanteras pemerdagangan orang di Malaysia.

Selain itu, katanya, kerajaan mewujudkan jaringan kerjasama dari segi perkongsian dan pertukaran maklumat serta risikan antara agensi-agensi penguatkuasa di peringkat serantau dan antarabangsa.

"Dalam konteks antarabangsa juga, saya ingin menegaskan bahawa isu pelarian Myanmar khususnya Rohingya bukanlah masalah yang boleh ditangani sendiri oleh Malaysia kerana ia merupakan isu serantau dan antarabangsa.

"Ini telah dipersetujui oleh Mesyuarat Proses Bali peringkat menteri pada Mac 2009. Isu ini harus ditangani dengan teliti dengan menyelesaikan punca sebanrnya," katanya.

Hishammuddin berkata Malaysia juga akan memperhebatkan operasi laut dari segi pemantauan dan penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Polis Marin di semua laluan yang sering digunakan untuk tujuan kegiatan penyeludupan manusia.

"Bagi mengatasi kelemahan dan kekaburan yang terkandung dalam peruntukan Akta Antipemerdagangan Orang 2007, Jawatankuasa Perundangan yang diketuai Jabatan Peguam Negara sedang mengkaji semula dan merangka pindaan ke atas akta ini dalam aspek perundangan, penguatkuasaan dan perlindungan mangsa," katanya.

Antara aspek penting yang turut dikaji adalah cadangan untuk memasukkan kesalahan penyeludupan manusia ke dalam akta ini, katanya. -- BERNAMA

28 Pelacur Warga China Ditahan

SUBANG, 30 Nov (Bernama) -- Dua puluh lapan pelacur warga China ditahan dalam satu serbuan oleh pasukan polis dari Bukit Aman di pusat karaoke sebuah hotel mewah di sini, malam Isnin.

Dalam serbuan pada pukul 10 malam itu, ada di antara mereka sedang melayan pelanggan dan terdapat kira-kira 230 pelanggan berada di 15 bilik karaoke.

Mereka yang ditahan berumur antara 25 hingga 30 tahun dan memasuki negara ini menggunakan visa pelajar.

Kesemua mereka yang ditahan dan dibawa ke Bukit Aman untuk disiasat mengikut Akta Imigresen kerana menyalahgunakan pas pelajar.

Sumber polis berkata pusat itu telah diserbu sebanyak tiga kali dalam tempoh setahun.

Modus operandi sindiket ialah kereta mewah membawa wanita berkenaan ke hotel dan kemudian berjumpa dengan pelanggan di bilik karaoke untuk urusan lanjut. -- BERNAMA

Monday, November 30, 2009

Ugut tuan rumah

AMPANG: Teguran ikhlas seorang wanita kepada penyewa bilik rumahnya di Taman Bukit Teratai, di sini yang membawa pulang teman lelaki sebulan lalu mengundang padah apabila dia diugut bunuh sebelum diekori beberapa lelaki yang cuba menakutkannya, Jumaat lalu.

Berikutan kebimbangan itu, mangsa yang kini mengandung anak kembar menghubungi polis apabila dia teringatkan perbualan telefon penyewa bilik rumahnya dengan seseorang yang cuba melakukan perbuatan buruk terhadapnya.

Difahamkan, penyewa bilik terbabit, seorang wanita warga Indonesia pada mulanya membawa pulang teman lelaki dan tidur semalaman di rumah itu, bulan lalu menyebabkan mangsa tidak berpuas hati.

Mangsa kemudian menegur wanita terbabit secara baik kerana perbuatannya itu dilihat jiran, namun suspek berang dan membalas nasihat itu dengan menghamburkan kata-kata cacian.

Menurut sumber polis, suspek turut memberitahu dia boleh melakukan apa saja termasuk membunuh mangsa.

“Mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit dan sentiasa hidup dalam ketakutan kerana suspek masih menyewa di rumahnya.

“Sejak itu, mereka hanya bermasam muka dan mangsa sudah tidak berani menegur kerana setiap nasihat yang diberikan itu pasti akan dibalas kata cacian dan maki hamun selain ugutan bunuh daripada suspek,” katanya.

Bagaimanapun, pada malam Jumaat lalu, mangsa mula berasa takut apabila dia terdengar perbualan telefon antara suspek dengan rakannya.

“Dalam perbualan itu, mangsa terdengar suspek mengajak seseorang datang ke rumah itu dan seperti merancang sesuatu membuatkan dia ketakutan dan teringat akan ugutan yang diterimanya sebelum ini.

“Kerisauan itu ditambah lagi dengan ketiadaan suaminya yang bekerja pada malam berkenaan,” katanya.

Menurut sumber, mangsa yang risau keselamatannya keluar dari rumah menuju ke telefon awam untuk menghubungi polis, namun ketika itu tiga lelaki dipercayai warga asing mengekorinya.

“Bagaimanapun, mangsa sempat menghubungi polis memaklumkan kejadian itu,” katanya.

Menurutnya, susulan laporan itu, polis bergegas ke lokasi dan menahan suspek untuk siasatan lanjut.

Difahamkan, suspek tinggal menyewa di rumah mangsa sejak setahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan mengesahkan menerima laporan dan tangkapan yang dibuat.

“Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya. - Harian Metro

Sunday, November 29, 2009

Pembekuan kemasukan pekerja Bangladesh ke Malaysia kekal: PM

Daripada Zulkofli Jamaludin

PORT OF SPAIN: Malaysia tidak bercadang mengkaji semula sekatan pengambilan pekerja dari Bangladesh walaupun mendapat permintaan daripada pemimpin republik itu, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, sekatan itu dilakukan bagi mengelak ejen pekerja asing menyalahgunakan kedudukan mereka sehingga ramai pekerja Bangladesh menjadi mangsa, apabila menjual harta dan ternakan untuk membiayai perjalanan ke Malaysia.

"Penipuan seperti inilah yang kita ingin elakkan. Mereka minta sekatan dikaji semula tetapi faham dalam keadaan sekarang, sukar untuk kita menambah pekerja asing," katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina di sini, hari ini.

Pertemuan itu sempena Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di ibu negara Trinidad dan Tobago yang dihadiri 32 ketua kerajaan selain naib presiden, timbalan perdana menteri serta menteri kanan.

Sebelum itu, Kaunselor Buruh Bangladesh, Talat Mahmud Khan, dilaporkan berkata 70,000 pekerja Bangladesh yang memiliki visa dijangka tiba di Malaysia untuk bekerja dalam sektor perladangan, pembinaan dan perkhidmatan.

Bagaimanapun, kerajaan membatalkan serta-merta visa kemasukan itu yang diluluskan pada 2007 bagi mengelak kemasukan pekerja asing terbabit kerana tiada keperluan.

Najib berkata, dalam pertemuan itu Sheikh Hasina melahirkan perasaan berpuas hati dengan hubungan dua hala dan perdagangan yang memihak Malaysia melalui pelaburan syarikat Malaysia di Bangladesh. - Berita Harian

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...