Saturday, November 7, 2009

Masalah pendatang tanpa izin di Sabah perlu penyelesaian mutlak

KOTA KINABALU 7 Nov. — Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan berkata, masalah pendatang tanpa izin (PTI) di Sabah yang sudah berlarutan sekian lama perlu penyelesaian mutlak.

Beliau berkata, setakat ini belum ada penyelesaian konkrit atau tindakan serius diambil bagi mengatasi masalah itu.

"Tindakan penyelesaian yang diambil sebelum ini hanyalah bersifat sementara dan tidak berterusan. Kita masih melihat PTI berkeliaran di kawasan bandar dan juga luar bandar.

"Mereka bersikap seolah-olah negeri Sabah adalah tanah air mereka sendiri.

Tidak kurang juga dalam bidang-bidang perniagaan yang telah diambil alih oleh golongan ini termasuk bersaing untuk merebut peluang pekerjaan orang tempatan di negeri ini,” katanya.

Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Kongres ke-24 PBS, di sini malam ini. - Utusan

100 krew bot diperiksa dalam ops cegah dadah

PELABUHAN KLANG: Kira-kira 100 krew bot tukar barang di Kompleks Barter Trade di sini, diperiksa dalam operasi pencegahan dadah oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor bersama Pasukan Gerakan Marin (PGM) negeri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir, berkata hasil pemeriksaan itu, seramai 14 lelaki iaitu 11 warga Indonesia dan tiga warga Bangladesh ditahan kerana gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah.

"Kesemua mereka (krew bot terbabit) ditahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah," katanya selepas operasi pencegahan dadah yang berakhir pada 12 tengah hari di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesemua 100 lelaki yang diperiksa itu berumur antara 20 hingga 45 tahun di mana 10 daripada mereka termasuk seorang rakyat tempatan pula diarah menjalani ujian air kencing kerana disyaki di bawah pengaruh dadah.

"Namun selepas menjalani pemeriksaan kita dapati mereka negatif," katanya.

Nordin berkata, ketika serbuan dimulakan pada jam 10.30 pagi, enam pekerja di kompleks itu bertindak nekad terjun ke laut sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa kerana dipercayai tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah termasuk pasport dan pas kelasi.

Beliau berkata, pemeriksaan turut dilakukan terhadap enam bot tukar barang yang membawa sayur-sayuran dan buah-buahan dari Indonesia bagi memastikan tiada cubaan menyeludup barangan terlarang seperti dadah.

"Kita tidak menemui sebarang barangan terlarang dalam operasi kali ini dan pihak kami akan sentiasa memantau dan menjalankan serbuan serta pemeriksaan bagi memerangi sebarang usaha membawa masuk dadah ke negara ini," katanya. - Berita Harian

4 jual tubuh dekat kandang babi ditahan

Oleh Noor Hazwan Hariz Mohd
bhnews@bharian.com.my

EMPAT warga China ditahan polis dalam serbuan di Banting, malam kelmarin.

Polis kepung sebelum cekup pelacur warga China yang cuba larikan diri ke hutan

BANTING: Kegiatan pelacuran membabitkan wanita warga asing yang berselindung di sebalik perniagaan makanan dan minuman keras di sebelah pusat ternakan babi berhampiran Kampung Endah, dekat sini, terbongkar selepas diserbu sepasukan pegawai dan anggota polis dari Cawangan Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Kuala Langat, malam kelmarin.

Dalam serbuan hasil maklumat orang awam itu di pusat yang pernah ditutup sebelum ini kerana kesalahan sama, polis menahan empat wanita warga China berumur antara 22 hingga 24 tahun dan seorang lelaki tempatan, dipercayai penjaga wanita berkenaan.

Berita Harian difahamkan, wanita di kedai makan itu menyamar sebagai penghidang makanan dan minuman keras sebelum dibawa ke lokasi lain oleh pelanggan untuk memuaskan nafsu.

Bagi memastikan kejayaan operasi, seramai 12 anggota polis terlebih dulu meredah kawasan ladang kelapa sawit dari sebuah kampung berhampiran seawal jam 7 petang dan mengepung pusat pelacuran terbabit.

Selepas pasti mengenai kewujudan aktiviti tidak bermoral itu, lapan anggota polis menyerbu lokasi itu pada jam 8.20 malam dengan memecut dua kenderaan dari arah pintu hadapan.

Operasi itu turut dibantu anggota trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.

Wartawan akhbar ini yang menyertai operasi terbabit melihat kecekapan anggota polis mengepung dan menangkap wanita itu yang cuba melarikan diri ke arah hutan berhampiran sejurus mendengar jeritan amaran daripada penjaga mereka.

Operasi berakhir 35 minit kemudian dengan kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Banting bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohamad Radzi Ishak, ketika dihubungi berkata, empat wanita warga China dan seorang lelaki warga tempatan yang ditahan itu kini disiasat mengikut Akta Imigresen.

Katanya, polis akan menghubungi Jabatan Imigresen untuk menyemak butiran wanita warga China itu sama ada memiliki permit kerja dan bagaimana mereka memasuki negara ini, manakala penjaga yang berusia 60-an itu disiasat mengikut Akta Imigresen kerana melindungi warga asing.

"Selain empat wanita warga China dan lelaki tempatan itu, kami turut merakamkan keterangan 11 lelaki tempatan yang juga pelanggan di tempat itu. Kesemua mereka sudah dilepaskan selepas keterangan direkodkan," katanya.

Katanya, walaupun tiada bukti menunjukkan kawasan berkenaan dijadikan tempat pelacuran, perkara itu akan dirujuk kepada Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) supaya tindakan dapat diambil termasuk merobohkan struktur yang dibina di situ.

Siasatan awal menunjukkan premis itu tiada permit bagi menjual minuman keras.

Semalam edisi Sentral akhbar ini melaporkan sebuah ladang ayam dan babi yang tidak lagi beroperasi di Tanjung Layang terus digunakan 'ayam hidup' wanita warga asing menawarkan perkhidmatan seks. - Berita Harian

Amah dakwa dirogol abang majikan

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu rumah warga Indonesia mendakwa dirogol abang majikannya selepas dia menolak ajakan untuk mengadakan hubungan seks dengan lelaki itu, baru-baru ini.

Sumber berkata, lelaki terbabit ‘meminjam’ pembantu rumah berusia 25 tahun itu daripada adiknya kononnya bagi membantu membuat persediaan kenduri di rumahnya pada 23 September lalu.

“Suspek berusia 40-an didakwa beberapa kali mengajak wanita itu mengadakan hubungan seks ketika dalam perjalanan dari rumah adiknya di Wangsa Maju ke rumahnya di Bangi.

“Bagaimanapun, mangsa enggan dan suspek didakwa memberhentikan kenderaan di satu kawasan sunyi lalu merogol wanita itu di tempat duduk belakang keretanya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sumber itu berkata, mangsa turut mendakwa dirogol beberapa kali lagi di rumah suspek sebelum diserahkan kembali kepada majikannya beberapa hari kemudian.

Mangsa kemudian dikatakan mengadu kepada majikan mengenai perbuatan lelaki terbabit tetapi tidak dilayan, sebaliknya dituduh membuat cerita palsu.

“Dia akhirnya menghubungi agensi pembantu rumah yang kemudian membuat laporan polis dan lelaki itu ditahan beberapa hari lalu untuk disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Shakaruddin Che Mood, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.

“Mangsa diberi rawatan dan diserahkan kepada Kedutaan Besar Indonesia bagi tindakan lanjut,” katanya. - Berita Harian

Thursday, November 5, 2009

No problem, says Immigration Department

Department ready to handle house checks on maids

Thursday, November 5th, 2009 07:02:00
Flashback
THE Immigration Department sees no problem in the Labour Department’s ambitious plan to conduct house-to-house checks on 250,000 households employing foreign domestic help.

Its director-general Datuk Abdul Rahman Othman was unfazed when contacted by Malay Mail, stating that
house checks were not something new to the department.

“We have always been doing this, not just for maids but for expatriates to check on their employment pass, visas and such that we feel are dubious,” Abdul Rahman said.

“So we have already been doing this independently but this time another department is asking for help.”

Yesterday Malay Mail reported that the Labour Department had sought the help of the Immigration Department to conduct the house checks during which government officers would interview both maids and employers in a bid to ensure that the welfare of domestic maids was taken care of.

Abdul Rahman said the collaboration between the two departments was better as it would mean more officers involved and the operations would be more transparent and thorough.

“Before this, there would always be people who complain why their home was selected and not some others.

So it is better this way.” Asked if his department had the necessary manpower, Abdul Rahman said “yes”,
and that officers from every State would be involved.

The Immigration Department has more than 11,000 officers of every rank, nationwide. Abdul Rahman, however, said they had yet to discuss how many officers would be involved in the operations.

On concerns raised by NGOs that the operations would not succeed as maids would be too afraid to tell the
officers if they were being mistreated, and employers too would say everything was fine, Abdul Rahman said Malaysians must play their part.

“Citizens, other than employers, must also play a role. They should report to us if they notice anything wrong.

For example, some neighbours have reported cases to us.”

As to whether officers would also speak to neighbours, Abdul Rahman said they would not, except when doubts arise or if specific tipoffs were received. - Malay Mail

Imigresen Johor Tahan 306 Pati Di Tapak Pembinaan Ibu Pejabat Polis

JOHOR BAHARU, 5 Nov (Bernama) -- Jabatan Imigresen Johor menahan seramai 306 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja sebagai buruh di tapak pembinaan Ibu Pejabat Polis (IPD) Seri Alam, di Jalan Rimba dekat Masai, di sini, hari Khamis.

Dalam serbuan "Ops Kutip" selama dua jam mulai 10.30 pagi itu, mereka yang ditahan merupakan warga Indonesia, Myanmar, Nepal dan Bangladesh.

Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Johor (Bahagian Penguatkuasaan) Masri Adul berkata buruh binaan berkenaan telah melakukan pelbagai kesalahan termasuk memiliki dokumen perjalanan palsu, menyalahgunakan pas lawatan dan tiada dokumen pengenalan diri.

Serbuan di tapak pembinaan itu yang membabitkan 128 anggota jabatan itu, adalah pertama sejak projek pembinaan IPD itu dimulakan setahun lepas, katanya ketika dihubungi di sini.

Masri berkata adalah antara buruh tersebut cuba menggunakan batang kayu untuk menakutkan anggota Imigresen yang cuba menahan mereka tetapi tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Katanya kesemua PATI itu dihantar ke Depoh Tahanan Pekan Nenas, Pontian, untuk proses penghantaran balik ke negara asal masing-masing. -- BERNAMA

Imigresen Sarawak Tahan 164 Pati Di Tapak Pembinaan

KUCHING, 5 Nov (Bernama) - Jabatan Imigresen Sarawak Khamis berjaya menahan 164 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dipercayai bekerja sebagai buruh di sebuah tapak pembinaan di Jalan Penrissen di sini.

Kenyataan jabatan itu menyebut dalam operasi 1.40 pagi itu, kumpulan PATI termasuk 13 wanita warga Indonesia itu ditahan di dua buah rumah kongsi berasingan di tapak pembinaan tersebut.

"Bertindak atas aduan dan maklumat orang ramai, seramai 78 anggota Jabatan Imigresen Sarawak telah membuat serbuan di tapak pembinaan tersebut," katanya.

Jabatan itu berkata buruh binaan tersebut telah melanggar Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iatu tinggal lebih masa, tidak memiliki dokumen pengenalan diri, permit kerja yang sah dan melanggar syarat pas lawatan. -- BERNAMA

Kerajaan tidak benarkan pekerja asing tubuh persatuan sendiri

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak berhasrat untuk membenarkan pekerja asing menubuhkan persatuan sendiri memandangkan mereka boleh menyertai mana-mana kesatuan sekerja yang ada di negara ini, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam.

Beliau berkata, pekerja asing di negara ini sudah pun tertakluk kepada Akta Kerja 1955 seperti pekerja tempatan, dan daripada segi hak, pekerja asing tidak dibezakan daripada pekerja tempatan.

"Contohnya di bidang perladangan, ada banyak pekerja asing sudah jadi ahli NUPW (Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Ladang), sudah ada pekerja asing boleh buat aduan mereka, sudah ada wakil pimpinan di pihak mereka untuk mewakili suara mereka.

"Kerajaan juga sudah menubuhkan pelbagai saluran di mana mereka boleh membuat aduan dan mendapatkan keadilan," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, semua kes yang dilaporkan ke Jabatan Tenaga Kerja telah diselesaikan.

Subramaniam berkata, pekerja asing juga dibayar pampasan akibat kemalangan yang berlaku di tempat kerja atau dalam perjalanan pergi balik ke tempat kerja mengikut Akta Pampasan Pekerja 1952. - Berita Harian

Tujuh ditahan bantu siasatan

KUALA LUMPUR: Polis sudah menahan tujuh lelaki warga asing bagi membantu siasatan kes pukul dua penjenayah hingga mati oleh sekumpulan 50 warga Myanmar di Pasar Borong Selayang, dekat sini, semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, enam lelaki terbabit berasal dari Myanmar, manakala seorang lagi dari Bangladesh, kesemuanya berusia antara 22 dan 30 tahun.

“Mereka ditahan dalam operasi khas yang dilancarkan bermula jam 9.30 malam tadi (kelmarin) dan berakhir kira-kira jam 1 pagi ini (semalam).

“Tangkapan dibuat di sekitar kawasan pasar borong,” katanya di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.45 malam kelmarin, seorang daripada lelaki berkenaan mati di tempat kejadian, manakala seorang lagi dalam perjalanan ke hospital, selepas dibelasah kumpulan warga asing itu. - Berita Harian

Wednesday, November 4, 2009

Suri rumah mengaku tidak bersalah memperdagang manusia

PETALING JAYA: Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap dua pertuduhan memperdagangkan manusia, September lalu.

Anita Nordin, 43, dari Petaling Jaya didakwa memperdagangkan seorang lelaki warga Indonesia, Deden Firman, 27, bagi tujuan mengeksploitasinya di sebuah rumah bernombor 5 PJS/7/15D Bandar Sunway, jam 2 petang, 29 September lalu.

Ibu kepada tiga anak itu juga didakwa melakukan kesalahan yang sama ke atas seorang wanita Indonesia, Patimah, 36, pada tempat, tarikh dan waktu yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Anita yang diwakili peguam bela T Mishant, didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Fatimah Zahari, tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan ini tidak boleh dijamin bagaimana pun beliau tidak membantah sekiranya mahkamah memberikan jaminan dengan menawarkan RM50,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

"Selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan dan rayuan dari peguam bela dan mengambil kira faktor kesihatan kamu (tertuduh) mahkamah membenarkan kamu diikat jamin RM12,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin," kata Hakim Balqis Aini Mohd Ali.

"Dari segi undang-undang kamu tidak bersalah selagi kesalahan itu belum dibuktikan tetapi ini tidak bermakna kamu boleh mengambil ringan perkara ini di samping kamu perlu menjaga kesihatan kamu," kata Balqis Aini.

Mahkamah menetapkan 12 Januari tahun depan untuk sebutan semula. - Berita Harian

Tuesday, November 3, 2009

Hati-hati pilih isteri kalangan warga asing

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Hati-hati memilih pasangan dari kalangan warga asing. Itu nasihat kepada lelaki di negara ini yang ghairah mencari wanita cantik dari kalangan warga asing.

Ini kerana ada yang menjadikan kecantikan itu sebagai alat untuk mengikis sebanyak mungkin wang daripada lelaki negara ini sebelum melarikan diri ke negara asal masing-masing.

Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, ini dibuktikan apabila pihaknya menerima lima aduan berhubung perkara itu pada tahun ini.

Katanya, beliau percaya jumlahnya lebih banyak tetapi tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Beliau yang bimbang mengenai fenomena itu berkata, sesuatu perlu dilakukan supaya bilangan mangsa tidak terus meningkat.

"Kita sering mendapat aduan kejadian seumpama itu yang melibatkan wanita warga China, Vietnam, Thailand dan Indonesia.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 40 peratus aduan melibatkan wanita warga China," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Jalan Ampang di sini.

Malah, katanya, golongan lelaki itu juga akan 'dikikis' sehingga pokai sebelum ditinggalkan sebagai bapa tunggal bagi menyara anak-anak hasil perkongsian hidup mereka.

Menurutnya, antara alasan untuk 'mengikis' wang suami mereka ialah perlu memperbaharui pasport dan beberapa dokumen penting lain selain perbelanjaan harian.

Michael memberitahu, berdasarkan maklumat daripada pihak imigresen, wanita asing itu tidak dianggap bersalah kerana mereka meninggalkan negara ini sebelum tamat tempoh pasport.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan supaya golongan lelaki tidak terlalu gopoh dalam memilih calon isteri yang terdiri daripada warga asing bagi mengelakkan perkara seumpama itu berlaku ke atas diri mereka. - Utusan

Sering berlaku : Warga Nepal disamun

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Empat lelaki yang menyamar sebagai anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), menyamun beberapa warga Nepal di rumah mereka di Flat Impian Baiduri, Sungai Way, Petaling Jaya, dekat sini Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, suspek-suspek yang lengkap berpakaian Rela dikatakan mengetuk pintu rumah itu kononnya untuk tujuan membuat pemeriksaan pendatang asing.

Sejurus selepas dibenarkan masuk, suspek-suspek itu kemudian mengunci pintu rumah terbabit lalu mengarahkan semua mangsa menyerahkan wang tunai dan barang berharga.

"Mangsa-mangsa diarahkan supaya duduk di satu lokasi di dalam rumah terbabit sebelum suspek melarikan telefon bimbit dan wang tunai.

"Jumlah barangan yang berjaya dilarikan suspek dianggarkan bernilai RM6,000," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang memburu empat lelaki yang berusia lingkungan 20-an bagi membantu siasatan kes tersebut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 bagi membantu siasatan. Utusan

Monday, November 2, 2009

Amah dipenjara enam tahun racun majikan

KUANTAN: Seorang pembantu rumah dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah meracun majikannya, kira-kira setahun lalu.

Nurhayati Ahmad, 22, dari Lombok, Indonesia mengaku bersalah terhadap perbuatan dakwaan meracun Jaharah Daud, 77, di sebuah rumah beralamat di No 6 Lorong I/M 5/14, Bandar Indera Mahkota, di sini kira-kira jam 1.30 petang, 16 Julai tahun lalu.

Hakim Siti Aminah Ghazali memerintahkan hukuman terhadap tertuduh dilaksanakan mulai dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 16 Julai 2008.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa dan anak perempuannya serta tertuduh masuk ke dapur untuk makan tengah hari sebelum mangsa kemudiannya meminum air kopi yang dihidangkan tertuduh berasa pahit dan mendapati minuman itu berbau selain bertukar warna menjadi kelabu.

Anak mangsa yang tidak sedap hati mengesyaki sesuatu kemudiannya memeriksa sup sayur dihidangkan pembantu rumah itu dan mendapati ia turut berbau sama.

Mereka yang mengesyaki makanan dan minuman berkenaan sudah dicampur racun kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan berhubung perkara itu pada hari sama.

Anggota polis yang bergegas ke rumah mangsa menemui sebotol racun berada di atas sinki dan sebotol lagi diletakkan di dalam almari dapur rumah berkenaan.

Mangsa yang dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan, kira-kira jam 5.15 petang pada hari sama untuk membuat pemeriksaan ditahan bagi pengawasan kesihatan sehingga keesokan harinya dan laporan kimia yang diterima pada 10 September 2008 mengesahkan mangsa diracun.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan kerana memasukkan racun ke dalam makanan dengan niat atau dengan pengetahuannya boleh menyebabkan kematian kepada mangsa yang jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut seksyen sama yang membawa hukuman sehingga 10 tahun penjara atau denda.

Terdahulu, peguam tertuduh, Mohd Fadly Hashim, merayu supaya hukuman terhadapnya diringankan dan mohon dipenjarakan kerana tertuduh ketika itu baru sebulan bekerja di rumah mangsa selain tertuduh perlu menyara lapan adik beradik yang berada di Lombok kerana ibu bapanya sudah meninggal dunia.

"Tertuduh juga menyesal dan insaf dengan apa yang berlaku dan ingin pulang ke kampung halamannya untuk meneruskan kehidupan," kata Mohd Fadly.

Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat bagaimanapun meminta mahkamah mengenakan hukuman berat kepada tertuduh kerana kesalahan dilakukannya adalah berat dan boleh membawa kematian. - Berita Harian

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...