Saturday, October 31, 2009

Pendaftaran PATI tidak dilanjut

Oleh ZULHISHAM ISHAK

PEGAWAI imigresen melayan majikan dan pekerja asing yang menyerbu kaunter imigresen menjelang hari terakhir pendaftaran pekerja asing tanpa izin di Kota Kinabalu, semalam.


KOTA KINABALU 30 Okt. - Jabatan Imigresen Sabah tidak akan menambah bilangan kaunter atau melanjutkan tempoh pendaftaran pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berakhir esok.

Pengarahnya, Datuk Baharon Talib berkata, ini kerana tempoh pendaftaran sebelum ini sudah dipanjangkan tetapi tidak mendapat sambutan menggalakkan di peringkat awal.

''PATI dan pihak majikan masih memilih untuk mendaftar pada saat-saat akhir. Sebelum ini kita tidak menerima sambutan sedangkan tempoh akhir pendaftaran sudah dimaklumkan.

''Bagaimanapun kita sudah jangka situasi ini akan berlaku dan sudah bersiap sedia sejak beberapa minggu lepas,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tempoh pendaftaran PATI yang akan berakhir esok.

Sebelum ini Kementerian Dalam Negeri (KDN) menganggarkan terdapat kira-kira 120,114 PATI di Sabah masih belum berdaftar dengan pihak berkuasa di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, hanya 192,723 PATI yang bekerja di negeri ini termasuk tanggungannya sudah pun berdaftar dengan imigresen.

Kerajaan sebelum ini menetapkan 31 Mei lalu sebagai tarikh akhir pendaftaran PATI tetapi dilanjutkan hingga esok setelah mengambil kira beberapa faktor.

Baharon berkata, pihaknya kesal dengan sesetengah majikan yang tidak mengambil serius perkara itu sedangkan perbuatan tersebut jelas melanggar undang-undang.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan PATI dan majikan supaya segera menggunakan peluang sedia ada untuk mendaftar walaupun tempohnya berakhir esok.

''Kita minta mereka ini semua bawa dokumen yang cukup dan menepati semua syarat bagi memudahkan sebarang proses dilakukan. Kerjasama ini amat diperlukan," ujarnya. - Utusan

Penjual air tebu dituduh bunuh pembantu rumah

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim, Hardi Effendi Yaacob dan Rafidah Mat Ruzki
bhnews@bharian.com.my

MURUGAN dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Klang, semalam selepas didakwa atas tuduhan membunuh pembantu rumahnya minggu lalu.

KLANG: Seorang penjual air tebu didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membunuh pembantu rumahnya, Muntik seorang warga Indonesia, di rumahnya di Taman Sentosa, di sini minggu lalu.

A Murugan, 35, dituduh membunuh Muntik, 36, di rumah nombor 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, antara 18 Oktober hingga 20 Oktober lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Murugan yang tidak diwakili peguam. Jika sabit kesalahan, Murugan yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Muntik, dari Surabaya meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini pada jam 10 pagi, 26 Oktober lalu.

Dia ditemui seorang tukang cuci pada 20 Oktober ketika dikurung dalam tandas di rumah majikannya selepas dipercayai didera, dicukur kepala dan tidak diberi makan selama beberapa hari.

Muntik diselamatkan polis jam 7 petang hari yang sama selepas menerima laporan dan dihantar menjalani rawatan di HTAR.

Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup memohon kes disebut semula di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa ini kerana ia mendapat perhatian umum dan dibenarkan oleh Majistret Afifah Mamat.

Manoj yang menemui pemberita kemudian berkata, ibu dan isteri tertuduh yang sebelum ini ditahan reman tidak akan didakwa.

Di KUALA LUMPUR, Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata polis sudah mengambil keterangan 56 individu berhubung kes itu.

"Dengan keterangan dan bahan bukti yang ada, kita mendapati ada asas untuk menjalankan siasatan dan akan mengambil keterangan saksi lain jika perlu," katanya.

Menteri Kaunselor, Informasi, Sosial dan Budaya Kedutaan Besar Indonesia, Widyarka Ryananta, pula berkata langkah mempercepatkan siasatan dan pendakwaan mampu meredakan kemarahan rakyat republik berkenaan.

Ia juga langkah terbaik bagi mengelak sentimen negatif terhadap Malaysia yang disebabkan beberapa isu sebelum ini, seterusnya memperkukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara.

"Di Jakarta, banyak demonstrasi diadakan membantah kejadian ini. Cara terbaik untuk menenangkan keadaan ialah dengan mengenakan hukuman berat terhadap pelaku. Suami Muntik ada memberitahu saya beliau menerima kematian isterinya tetapi tidak akan puas selagi mereka yang bersalah tidak dibawa ke pengadilan.

"Ini juga sebagai peringatan kepada majikan supaya tidak melakukan sewenang-wenangnya terhadap pembantu," katanya.

Sementara itu, jenazah Mantik dihantar pulang ke Surabaya dengan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) jam 8.15 pagi ini diiringi pegawai kedutaan hingga ke Surabaya sebelum menggunakan jalan darat ke kampungnya di Jeumber, Surabaya. - Berita Harian

Friday, October 30, 2009

Penjual Air Tebu Didakwa Bunuh Pembantu Rumah Indonesia

KLANG, 30 Okt (Bernama) -- Seorang penjual air tebu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini Jumaat atas tuduhan membunuh pembantu rumah Indonesia, Muntik di rumahnya di Taman Sentosa di sini.

A.Murugan, 35, didakwa membunuh Muntik, 36, di No: 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, antara 18 Okt dan 20 Okt lepas.

Tiaga pengakuan direkodkan. Murugan tidak diwakili peguam.

Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup memohon mahkamah memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan segera atas alasan kes itu menarik perhatian umum.

Majistret Afifah Mamat@Yusof membenarkan permohonan itu dan menetapkan 3 Nov ini untuk sebutan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Muntik yang berasal dari Surabaya meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini, pada pukul 10 pagi, 26 Okt lepas setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan. -- BERNAMA

Sementara itu, Jenazah Mantik Hani, 36, akan dihantar pulang ke kampungnya di Jeumbeb, Jawa Timur menerusi Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 8.15 pagi esok.

Ia akan dibawa dengan menggunakan pesawat MAS MH617 dengan diiringi pegawai kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur.

Helah PATI guna kedai terbongkar

PETALING JAYA 29 Okt. - Helah sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menjadikan premis perniagaan sebagai rumah, terbongkar dengan penahanan 15 warga asing dalam satu operasi di Seksyen 19, di sini tengah malam tadi.

Dalam operasi kira-kira pukul 12.30 tengah malam, kesemua PATI tersebut ditahan di Blok B dan C, Flat Damansara Bestari di sini, ketika sedang nyenyak tidur.

Operasi dilakukan oleh pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dengan bantuan Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Ketua Balai Polis Sea Park, Cif Inspektor Mohd. Sahar Mohd. Yunus berkata, kesemua PATI itu ditemui setelah seorang daripada warga asing yang diperiksa menunjukkan lokasi persembunyian tersebut.

Katanya, dalam operasi selama dua jam itu, seramai 127 warga asing telah diperiksa di kawasan terbabit.

"Kita terpaksa memecahkan pintu premis itu. Hasil pemeriksaan menemui 15 warga Indonesia dan Bangladesh yang tidak memiliki sebarang dokumen.

"Selain mereka, lima lagi warga asing ditahan kerana memiliki dokumen meragukan," katanya ketika ditemui selepas tamat operasi di sini awal pagi ini.

Beliau menambah, pihaknya juga turut memeriksa 25 buah kenderaan yang dimiliki oleh warga asing itu.

Mohd. Sahar memberitahu, kesemua PATI yang ditahan itu akan dihantar ke depot tahanan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk tindakan selanjutnya.

Katanya lagi, operasi sedemikian akan diteruskan selepas ini bagi mencegah kegiatan jenayah di tempat-tempat yang terlibat termasuk lokasi tempat tinggal PATI. - Utusan

Thursday, October 29, 2009

42 pelacur warga asing diberkas

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Seramai 42 wanita warga asing yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran ditahan dalam Ops Noda di sebuah pusat hiburan di Jalan Puteri 1/4, Bandar Puteri, Puchong, dekat sini malam tadi.

Mereka yang ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 11.50 malam itu terdiri daripada 29 warga China, masing-masing enam warga Thailand dan Vietnam serta seorang warga Myanmar.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Hasnan Hassan berkata, turut ditahan seorang lelaki yang dipercayai pengurus pusat hiburan terbabit.

Katanya, kesemua wanita itu berjaya ditahan meskipun cuba melarikan diri dan bersembunyi di dalam premis terbabit.

"Suspek lelaki ditahan bagi membantu siasatan atas kesalahan menggaji pekerja asing tanpa permit kerja sah.

"Wanita-wanita itu pula kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Antara kesalahan itu ialah tidak memiliki dokumen perjalanan sah, pas lawatan tamat tempoh dan menyalahgunakan pas lawatan.

Serbuan dilakukan oleh Cawangan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

"Pihak MPSJ turut menyita pusat hiburan itu sehingga siasatan selesai," kata beliau. - Utusan

Wednesday, October 28, 2009

29 pendatang asing Indonesia ditahan


Sebahagian daripada warga Indonesia yang ditahan kerana cuba masuk secara haram di Tawau, semalam.

TAWAU 27 Okt. - Pasukan Gerakan Marin (PGM) di sini menahan 29 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia dalam satu operasi di kawasan Sungai Tongkang di sini semalam.

Pegawai Pemerintah PGM Tawau, Deputi Supritendan Husaini Zainal Abidin berkata, mereka yang ditahan kira-kira pukul 11.50 pagi itu berusia antara 20 hingga lingkungan 30-an.

"Daripada jumlah itu, 27 pendatang asing tersebut merupakan lelaki manakala selebihnya wanita. Mereka diperiksa dalam sebuah feri dari Nunukan, Indonesia ke Tawau dan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan.

"Kesemua mereka cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menunjukkan surat pelepasan cuti kononnya daripada majikan mereka di sini tetapi setelah diperiksa, ternyata ia adalah palsu.

"Surat itu sebenarnya dikeluarkan di Nunukan dan dibeli oleh PATI berkenaan dengan harga 450,000 Rupiah Indonesia (RM150)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, kaedah itu adalah modus operandi PATI dari negara tersebut untuk mengaburi mata pihak berkuasa bagi membolehkan mereka membolosi negara ini.

Menurutnya, semua PATI itu disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 yang boleh didenda RM10,000, lima tahun penjara dan disebat. - Utusan

Ops Seleratahan 22 PATI

JOHOR BAHRU 27 Okt. - Seramai 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 15 wanita ditahan dalam Ops Selera di beberapa lokasi berbeza di sekitar bandar raya ini, malam semalam hingga awal pagi ini.

Dalam operasi oleh Jabatan Imigresen negeri bermula kira-kira pukul 8 malam hingga 3 pagi itu, kesemua mereka ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk tinggal melebihi tempoh di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Timbalan Penolong Pengarah Penguat Kuasa Imigresen negeri, Nor Shahidah Zolkifly berkata, dalam operasi di sebuah restoran di Danga Baya, pihaknya menahan empat lelaki warga Bangladesh.

"Selepas itu, 12 PATI termasuk 10 wanita dari Myanmar, India dan Vietnam ditahan di kawasan Taman Setia Indah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam operasi itu juga, beliau menambah, seorang lelaki dan lima wanita warga India pula ditahan di kawasan Taman Setia Purnama, di sini.

"Kesemua yang ditahan berusia antara 17 dan 51 tahun serta disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi tempoh ditetapkan," katanya.

Nor Shahidah berkata, kesemua yang ditahan kini ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nanas, Pontian, dekat sini untuk siasatan lanjut.

"Pihak kami akan terus menggiatkan usaha termasuk memperbanyakkan lagi operasi bagi menangkap PATI," katanya.

Beliau berkata, operasi berkenaan disertai oleh seramai 19 anggota dari Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen negeri. - Utusan

7 warga asing samun kilang beras


Amer Awal (kiri) melihat kampit-kampit beras yang dijumpai semula di kawasan pengumpulan barangan kitar semula di Jalan Kempas Lama, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 27 Okt. - Tujuh lelaki warga asing bertindak melarikan lima buah lori mengandungi 50 tan beras bernilai RM200,000 dalam rompakan nekad di sebuah kilang beras di Kawasan Perindustrian Senai, Seelong di sini, Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Amer Awal berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.15 malam membabitkan sekumpulan penjenayah yang bersenjatakan parang dan kayu.

Katanya, siasatan mendapati kesemua mereka telah memanjat pagar kilang berkenaan sebelum mengikat kedua-dua pengawal kilang berkenaan.

"Sejurus menerima maklumat itu, kami telah menubuhkan satu pasukan khas dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kulaijaya dan menemui sebuah lori membawa 10 tan beras tersebut.

"Kenderaan itu ditemui di persimpangan Jalan Seelong-Kempas, kira-kira 20 minit selepas kejadian," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Kempas, di sini hari ini.

Amer berkata, kira-kira tiga jam selepas itu, polis menemui empat buah lori beras kosong yang ditinggalkan di tepi jalan Lebuh Raya Pasir Gudang.

Katanya, hasil maklumat awam, polis kemudian menyerbu sebuah gudang kosong di Batu 8, Jalan Skudai, Off Jalan Kempas Lama, pada pukul 12.10 tengah malam tadi.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui semula sebahagian beras yang disamun, bernilai kira-kira RM150,000.

"Tiada penghuni di gudang itu ketika serbuan dan pemeriksaan mendapati kesemua beras tersebut cuba dibungkus semula ke dalam bungkusan yang lebih besar bagi mengelirukan pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini memburu ketujuh-tujuh suspek warga asing berusia antara 20 dan 35 tahun itu, dipercayai kumpulan sama yang menyamun beras di stor Padiberas Nasional Bhd. (Bernas) di Taman Kota Puteri, Masai, dekat sini tahun lalu.

"Dipercayai ada sebahagian baki beras belum ditemui polis dan kita menasihatkan orang ramai ataupun kedai runcit yang didatangi individu yang menawarkan penjualan beras dengan harga yang rendah supaya segera menghubungi polis," katanya. - Utusan

Polis selamatkan amah dakwa didera majikan

PULAU PINANG 27 Okt. - Polis berjaya menyelamatkan seorang pembantu rumah warganegara Indonesia yang mendakwa didera oleh majikannya di sebuah rumah di Jalan Datuk Keramat di sini semalam.

Salah seorang jiran mangsa di kawasan itu telah membuat laporan sebelum polis bergegas ke tempat kejadian dan menyelamatkan wanita Indonesia itu daripada rumah majikannya pada pukul 5 petang.

Difahamkan, apabila disoal pihak polis, pembantu rumah berusia 30 tahun itu mendakwa dia sering dipukul oleh majikannya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Azam Abd. Hamid berkata, siasatan awal mendapati tiada sebarang kecederaan yang kelihatan di tubuh mangsa.

''Ekoran daripada itu, dia dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk menjalani pemeriksaan untuk memastikan kesahihan dakwaannya.

''Kita sedang menunggu laporan terperinci hasil pemeriksaan itu sama ada kecederaan dalaman yang dialami atau sebagainya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat berhubung insiden itu namun tidak menolak kemungkinan akan memanggil majikan wanita itu bagi membantu siasatan. - Utusan

Susanti Lutifyah ditahan di Melaka

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Pembantu rumah warga Indonesia yang diburu pihak polis bagi membantu siasatan kes dera anak majikannya berjaya ditahan orang awam di Masjid Tanah, Melaka semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, suspek, Susanti Lutifyah, 27, ditahan orang awam kira-kira pukul 10 malam.

Katanya, ketika ditahan, suspek berseorangan dan turut membawa sebuah beg pakaian.

"Bagaimanapun, barangan peribadi majikannya seperti wang tunai dan komputer riba yang dilaporkan hilang tidak ditemui bersamanya.

"Kita percaya suspek telah menjual barangan tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, polis memburu Susanti setelah dia dipercayai mendera empat anak majikannya sehingga lebam seluruh badan di Desa Subang Permai dekat sini.

Perbuatan itu dipercayai dilakukan oleh suspek sejak dia bekerja di rumah teres tersebut setahun lalu.

Katanya lagi, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. - Utusan

Kerajaan Malaysia rakam ucapan simpati, takziah

KUALA LUMPUR 27 Okt. – Kerajaan Malaysia hari ini merakamkan ucapan simpati dan takziah kepada keluarga Mantik Hani, 36, pembantu rumah warga Indonesia yang mati dipercayai akibat didera semalam.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam kenyataannya berkata, kerajaan mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk penderaan terhadap pekerja tanpa mengira kewarganegaraan atau sektor pekerjaan.

Menurutnya, kerajaan melalui kementerian akan memberi bantuan yang diperlukan kepada Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur bagi menguruskan perkara yang berkaitan.

“Kerajaan Malaysia merakamkan ucapan simpati dan takziah kepada keluarga Mantik Hani dan juga seluruh rakyat Indonesia.

“Kerajaan Malaysia memberi jaminan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan akan membuat siasatan segera dan rapi mengenainya dan menjatuhkan hukuman setimpal kepada pesalah,” katanya.

Semalam, Mantik Hani menghembuskan nafas terakhir pada pukul 10 pagi selepas menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang sejak 20 Oktober lalu.

Sementara itu, Konsul Penerangan Sosio dan Budaya KBRI, Widyarka Ryananta berkata, pihak kedutaan telah menghubungi suami mangsa, Suparmo di Jember, Jawa Timur bagi memaklumkan kematian Mantik Hani.

Menurutnya, suami mangsa terkejut dan bersedih dan meminta pihak kedutaan menguruskan penghantaran jenazah pulang ke Indonesia. - Utusan

Tuesday, October 27, 2009

Majikan 'binatang' : Pasangan suami isteri ditahan siasatan kes Mantik Hani

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berumur 35 tahun dan isterinya, majikan kepada pembantu rumah warga Indonesia, Mantik Hani ditahan berhubung kematiannya, kata Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin. - Berita Harian

Amah warga Indonesia dera anak majikan diburu polis

PETALING JAYA: Polis masih memburu seorang pembantu rumah warga Indonesia yang melarikan diri selepas mendera anak majikannya berusia enam dan satu setengah tahun selain turut mencuri komputer riba dan wang tunai RM200 milik majikannya di Desa Subang Permai, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata pembantu rumah yang dikenali sebagai Susanti Lutfiyah, 27, berasal dari Malang, Jawa Barat masih belum ditemui dan sehingga kini, polis masih menjalankan gerakan mencarinya.

Beliau berkata, dua anak perempuan pasangan yang bekerja di sektor awam itu sudah mendapat rawatan di hospital, tetapi tidak mengalami kecederaan serius dan laporan menunjukkan mereka didera berpandukan kepada kesan lebam pada badan kanak-kanak itu.

"Siasatan awal mendapati ibu bapa mangsa juga tidak tahu sejak bila anaknya didera kerana anak ketiga dan keempat pasangan itu tidak pernah memaklumkan kepada mereka mengenai tindakan pembantu rumah berkenaan yang bekerja di rumah mereka sejak dua tahun lalu.

"Polis masih menjalankan siasatan berhubung cara mangsa didera dan kami mendapati berdasarkan lebam kecil pada badan anak mereka, suspek tidak menggunakan senjata berbahaya," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Arjunaidi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan meminta jasa baik orang ramai mengesan suspek yang masuk secara sah dan dipercayai masih berada di Malaysia. - Berita Harian

Monday, October 26, 2009

Attempt By 29 Illegal Immigrants To Enter Malaysia Foiled

TAWAU, Oct 26 (Bernama) -- The Tawau Marine Operations Force foiled an attempt by 29 Indonesian nationals to enter the country in a passenger ferry using fake medical chits.

The officer-in-charge of the Tawau Marine Operations Force, DSP Husaini Zainal Abidin, said the illegal immigrants, aged between 20 and 30, including two women, were detained in a passenger ferry after they failed to produce valid travel documents.

He said that while patrolling during the 'Ops Octopus' at about 11.50am in the Sungai Tongkang waters, the Marine personnel inspected a passenger ferry coming from the direction of Nunukan and found that all the illegal immigrants had doubtful 'employers leave' only.

"Further investigation carried out revealed that all the medical leave claimed by the illegal immigrants as being issued by an estate plantation in Lahad Datu were fakes," Husaini told reporters, here Monday.

He said the illegal immigrants admitted having bought the medical chits for 450,000 Rupiah or about RM150 each in Nunukan as one of the tactics to deceive the Malaysian authorities. -- BERNAMA

Pembantu rumah mangsa dera meninggal dunia

KUALA LUMPUR 26 Okt. – Pembantu rumah warga Indonesia yang ditemui separuh pengsan dengan kesan lebam dan luka di seluruh badan serta kepalanya dibotakkan disyaki didera oleh majikannya di Taman Sentosa, Klang, meninggal dunia hari ini.

Mangsa yang dikenali sebagai Munti Hani berusia 36 tahun menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 10 pagi selepas lima hari menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAA), Klang.

Konsul Penerangan, Sosio dan Budaya Kedutaan Besar Indonesia, Widyarda Ryananta berkata, jenazah mangsa akan dilakukan bedah siasat di HTAA bagi menentukan punca kematiannya. - Utusan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...