Saturday, October 24, 2009

Seludup 98 pendatang

BATU PAHAT: Tujuh tekong darat termasuk seorang dipercayai ketua mereka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan menggunakan kenderaan mereka untuk membawa sekumpulan pendatang tanpa izin warga Sri Lanka.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Kluang di sini, kira-kira jam 1.30 pagi, 10 Oktober lalu.

Turut didakwa di mahkamah sama semalam, 98 warga Sri Lanka berumur antara 20 tahun hingga 40 tahun termasuk empat daripadanya wanita yang dibawa oleh tujuh tekong darat terbabit.

Seorang tekong darat itu, Shahril Nizam Ismil, dibenarkan ikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin.

Manakala enam lagi iaitu Ali Taib, Mohd Alwi Bachok, Amran Harun, Mohd Samri Husin, R Vasu Devan dan K Ravichandran, yang turut mengaku tidak bersalah masing-masing dibenarkan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 55 E (1) Akta Imigresen kerana membenarkan imigran haram berada dalam kenderaan mereka.

Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda antara RM5,000 hingga RM30,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan bagi setiap pendatang haram yang mereka bawa.

Majistret Azureen Sahira Saufee Afandi, menetapkan 16 Disember ini sebagai tarikh perbicaraan tujuh tekong darat berkenaan.

Sementara itu, 18 daripada 98 warga Sri Lanka itu, mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen kerana tinggal di negara ini melebihi tempoh dan Azureen Sahira menetapkan 14 Disember ini sebagai tarikh perbicaraan.

Seramai 80 lagi mengaku bersalah atas tuduhan mengikut Seskyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan meminta dijatuhkan hukuman ringan serta dihantar balik ke negara asal.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Kluang di sini, kira-kira jam 1.30 pagi, 10 Oktober lalu.

Turut didakwa di mahkamah sama semalam, 98 warga Sri Lanka berumur antara 20 tahun hingga 40 tahun termasuk empat daripadanya wanita yang dibawa oleh tujuh tekong darat terbabit.

Seorang tekong darat itu, Shahril Nizam Ismil, dibenarkan ikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin.

Manakala enam lagi iaitu Ali Taib, Mohd Alwi Bachok, Amran Harun, Mohd Samri Husin, R Vasu Devan dan K Ravichandran, yang turut mengaku tidak bersalah masing-masing dibenarkan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 55 E (1) Akta Imigresen kerana membenarkan imigran haram berada dalam kenderaan mereka.

Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda antara RM5,000 hingga RM30,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan bagi setiap pendatang haram yang mereka bawa.

Majistret Azureen Sahira Saufee Afandi, menetapkan 16 Disember ini sebagai tarikh perbicaraan tujuh tekong darat berkenaan.

Sementara itu, 18 daripada 98 warga Sri Lanka itu, mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen kerana tinggal di negara ini melebihi tempoh dan Azureen Sahira menetapkan 14 Disember ini sebagai tarikh perbicaraan.

Seramai 80 lagi mengaku bersalah atas tuduhan mengikut Seskyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan meminta dijatuhkan hukuman ringan serta dihantar balik ke negara asal.

Friday, October 23, 2009

Malaysia, Indonesia patut cari dalang pencetus kekecohan

MELIHAT keakraban hubungan Indonesia-Malaysia khususnya pada peringkat kepemimpinan kedua-dua negara, amat sukar untuk kita memahami bagaimana pergeseran boleh tercetus berulang kali, khususnya di kalangan rakyat negara itu.

Memang lumrah setiap hubungan, ada pasang surutnya, tetapi melihat banyaknya persamaan antara Indonesia dan Malaysia, ia cukup menghairankan kerana hubungan antara pemimpin sentiasa kukuh.

Bukti kekukuhan hubungan pemimpin itu jelas apabila Datuk Seri Najib Razak sendiri hadir pada majlis angkat sumpah jawatan Susilo Bambang Yudhoyono sebagai Presiden Indonesia bagi penggal kedua Selasa lalu. Susilo pula mengumumkan Malaysia akan menjadi negara pertama dilawatinya sebaik menerima mandat itu.

Dalam perbincangan mereka pula, kedua-duanya menegaskan hubungan dua negara sentiasa mesra dan amat baik. Dengan yang demikian, persoalan yang menuntut jawapan ialah bagaimana dalam keadaan hubungan peringkat tertinggi yang amat baik, masih ada rakyat Indonesia yang tidak jemu-jemu cuba mencetuskan permusuhan dengan negara ini.

Walaupun mungkin segelintir, ia merunsingkan kita kerana perbuatan mereka mendapat liputan meluas media di sana dan antarabangsa, sedangkan banyak lagi isu lain yang dibangkitkan kelompok kecil masyarakatnya, langsung tidak diberi perhatian. Memang media Indonesia mempunyai dasar yang berbeza dengan media negara ini, tetapi tindakan mereka itu membayangkan seolah-olah wujud 'tangan-tangan hitam' yang mendalanginya.

Satu lagi persoalan yang harus diteliti ialah dalam sesi perbincangan pelbagai pihak, termasuk kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan media kedua-dua negara, Indonesia sentiasa memberi reaksi positif dalam usaha memperkukuh hubungan kedua-dua negara.

Menerusi pelbagai seminar contohnya, kedua-dua pihak sentiasa memperkukuh komitmen meningkatkan lagi hubungan sesama mereka, malah merakamkan kekecewaan terhadap pelbagai kemelut yang berlaku.

Daripada isu seperti Ambalat, pembantu rumah, batik, tarian Pendet, hinggalah kisah percintaan selebriti dengan putera raja, semua mengakui hakikat pergeseran mengenainya tidak harus berlaku. Namun hakikatnya, ia tetap berlaku dan mungkin akan terus berulang dari semasa ke semasa.

Kita tidak mengatakan Malaysia mahu jaminan selepas ini tiada lagi isu seperti itu ditimbulkan di Indonesia kerana ia mustahil dicapai. Begitupun, ia cukup aneh kerana jika semua pihak tidak mahu masalah itu berlaku, mengapa ia terus timbul dan siapa pula yang mendalanginya.

Oleh itu, kita berharap sebarang persidangan atau dialog antara kedua-dua pihak selepas ini dapat mengalih tumpuan daripada sekadar memperakui komitmen memperkukuh hubungan kepada membongkar siapa dalang di sebaliknya dan apakah matlamat mereka.

Mungkin dengan cara itu, hubungan dua hala antara dua negara serumpun ini dapat benar-benar dimajukan, sekali gus mengelak kelompok tertentu rakyat Indonesia di sana terus diperalatkan. - Berita Harian

Wednesday, October 21, 2009

9,000 majikan kena tindakan

KUALA LUMPUR: Tindakan undang-undang sudah diambil ke atas lebih 95 peratus daripada 9,000 majikan yang gagal membuat caruman dan hanya kurang daripada lima peratus masih sedang disiasat.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dalam kenyataannya, di sini, semalam menjelaskan Laporan Ketua Audit Negara 2008 yang dikeluarkan menunjukkan 9,000 yang dipetik dalam laporan itu adalah bilangan majikan gagal membuat caruman, yang dikumpul dalam beberapa tahun.

Pada September 2009, KWSP berkata, ia sudah memfailkan 7,224 kes jenayah (2008 - 7,164 kes) dan 932 kes sivil (2008 - 756 kes) ke atas majikan yang gagal membuat caruman KWSP bagi pekerja mereka. - Harian Metro

Saipa yang akan bela Majikan? : Majikan menyorok lihat amah amuk

KUALA LUMPUR: Hanya kerana diarah memotong epal, seorang pembantu rumah warga Indonesia naik minyak apabila mengugut mencederakan sepasang suami isteri dengan pisau pemotong daging sehingga memaksa mereka menyorok dalam bilik, semalam.

Lebih menakutkan, selain menjerit dan marah, pembantu rumah terbabit yang berusia lingkungan 30-an dikatakan seolah-olah hilang akal apabila menunggu majikannya keluar dipercayai untuk diserang di ruang tamu kondominium milik pasangan terbabit di Taman Midah, Cheras.

Pasangan terbabit terpaksa meminta bantuan sebelum tiga pengawal keselamatan kondominium tiba dan menenangkan pembantu rumah terbabit selepas 15 minit memujuknya.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, wanita yang bekerja sebagai ejen insurans bersiap pergi bekerja itu terkejut terdengar bunyi bising dari arah dapur rumahnya.

Menurut sumber, mangsa mengesyaki perkara buruk berlaku bertindak memanggil suaminya.

“Apabila kedua-duanya masuk ke dapur, mereka mendapati pembantu rumahnya itu sedang membaling epal ke arah ibu wanita terbabit,” katanya.

Si suami meleraikan keadaan dan meminta pembantu rumah supaya memotong epal berkenaan, sementara mentuanya masuk ke bilik.

Sumber itu berkata, ejen insurans dan suaminya meninggalkan pembantu rumahnya yang menangis teresak-esak sebelum duduk di sofa ruang tamu.

“Ketika itu, wanita terbabit terdengar bunyi pisau dihentak kuat ke atas meja beberapa kali sebelum mengetahui yang pembantu rumahnya memotong epal dalam keadaan marah.

“Mangsa bertindak merakam gambar pembantu rumahnya dalam keadaan marah untuk ditunjukkan kepada ejen pembantu rumah itu sebagai bukti tingkah laku wanita berkenaan,” katanya.

Pada masa sama, pembantu rumah terbabit dikatakan menyedari perbuatan majikannya sebelum memarahi dan berlari mengejarnya untuk menghentikan rakaman berkenaan.

Menurut sumber, mangsa sempat masuk ke dalam bilik tidur bersama suaminya sebelum menekan interkom bagi meminta bantuan daripada pengawal keselamatan kondominium itu.

“Beberapa minit kemudian, pengawal keselamatan di kondominium berkenaan datang ke rumah mereka, namun kedua-duanya gagal keluar kerana pembantu rumahnya itu masih berada di ruang tamu,” katanya.

Pengawal keselamatan terbabit cuba menenangkan pembantu rumah berkenaan sebelum membawanya turun ke tingkat bawah.

Mangsa menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan selain tindakan lanjut ke atas pembantu rumah mereka.

Difahamkan, sebelum ini, pembantu rumah terbabit memang pernah berkelakuan sama termasuk memberontak. Malah, pasangan berkenaan pernah menghubungi ejennya untuk memulangkan semula wanita itu. - Harian Metro

Iskandar Malaysia laksana 6 inisiatif tenaga kerja

JOHOR BAHRU 20 Okt. - Iskandar Malaysia akan melaksanakan enam inisiatif termasuk pembangunan modal insan dan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi menyokong pertumbuhan ekonomi di wilayah pembangunan berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, semua inisiatif itu bagi memastikan Johor mempunyai bekalan pekerja berkemahiran dan berpengetahuan yang mencukupi bagi Iskandar Malaysia dalam tempoh 15 tahun akan datang.

"Inisiatif itu termasuk dalam Rangka Tindakan Pembangunan Iskandar Malaysia dan jika kesemuanya berkesan maka kita akan lihat bekalan tenaga kerja di Iskandar Malaysia datang dari seluruh dunia termasuk juga pekerja tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Pembangunan dan Penilaian Kepimpinan Graduan Iskandar Malaysia (IMGLAD) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran negeri, Datuk Maulizan Bujang; Pengerusi Sumber Manusia negeri, M. Asojan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA), Harun Johari.

Hadir sama ialah Pemangku Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Mohd. Azraai Kassim dan Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan UTM Iskandar Malaysia (IMREC), Prof. Dr. Sr. Abdul Ghani Khalid.

Pada majlis itu, Abdul Ghani menyampaikan sijil kepada tenaga pengajar IMREC yang akan melatih sebanyak 300 graduan pelbagai universiti mengenai kemahiran insaniah selama sembilan bulan.

Abdul Ghani berkata, IMGLAD adalah salah satu daripada enam inisiatif berkenaan bagi memastikan graduan mempunyai kemahiran insaniah sebagai tambahan kepada kelulusan akademik dalam ijazah masing-masing.

Menurutnya, kemahiran insaniah itu seperti berkomunikasi, berinisiatif tinggi, bekerja secara berkumpulan, kepimpinan dan pentadbiran.

"Pelajar akan dilatih selama tiga bulan oleh IMGLAD dan kemudian menerima latihan sambil bekerja dengan 120 majikan dalam pelbagai bidang," jelasnya.

Beliau berkata, latihan tersebut diadakan menggunakan modul Kepimpinan Deloitte yang berpusat di London yang terbukti berkesan memberi kemahiran insaniah kepada para siswazah.

Selain IMGLAD, Abdul Ghani memberitahu, inisiatif lain ialah Pusat Sehenti JobsMalaysia yang berperanan untuk memadankan kekosongan jawatan dengan tenaga kerja dalam pasaran kerja Iskandar Malaysia.

Menurutnya, ia akan membuat kajian pasaran kerja termasuk mengisi sebarang kekurangan bekalan tenaga manusia bagi memastikan pembangunan berjalan lancar.

"Inisiatif lain ialah dua program keusahawanan termasuk satu untuk industri kecil dan sederhana, program pra pengambilan pekerja dan kemahiran pembinaan dalam semua peringkat untuk rakyat tempatan," jelasnya.

Beliau berkata, inisiatif seterusnya adalah dalam bidang pembuatan dan perkhidmatan yang akan dilaksanakan dalam tempoh 15 tahun.

Sementara itu, seorang graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Azura Salleh, 24, yang mengikuti program tersebut berkata, ia diharap dapat membantunya meningkatkan lagi kemahiran kendiri untuk keperluan pasaran kerja.

"Ia merupakan kemahiran tambahan yang perlu dikuasai kerana saingan pasaran kerja pada waktu ini amat sengit," kata graduan Ijazah Sarjana Muda Perkhidmatan Pelanggan yang berasal dari Batu Pahat itu.

Graduan Kejuruteraan Elektrik Universiti Illinois, Amerika Syarikat, Ansori Razali, 23, berkata, kemahiran itu akan meningkatkan peluang dan prospek kerja selain menambah pengalaman dan pengetahuan.

"Selain dapat memastikan peluang kerja, IMGLAD akan mendedahkan saya pada kemahiran baru iaitu insaniah yang tiada dalam sijil," katanya. - Utusan

Penyeludupan manusia : Malaysia-Australia bincang

JAKARTA 20 Okt. - Malaysia akan mengkaji langkah yang boleh diambil terhadap permintaan Australia supaya diperketatkan kawalan imigresen dan pemberian visa bagi mengelak perdagangan manusia dan insiden manusia perahu yang menjadikan Malaysia sebagai pusat transit.

Perdana Menteri. Datuk Seri Najib Tun Razak. berkata, permintaan Australia itu disampaikan kepada beliau oleh rakan sejawatannya, Kevin Rudd pada perjumpaan hubungan dua halanya di sini, selepas mereka menghadiri majlis pemasyhuran dan angkat sumpah Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono hari ini.

"Pertemuan itu diadakan atas permintaan Rudd, yang menyatakan puas hati dengan hubungan dua hala yang baik antara kedua-dua negara," kata Najib kepada wartawan Malaysia di akhir lawatannya ke sini.

Najib berkata, secara spesifik Rudd membangkitkan beberapa hal termasuk kekhuatiran Australia mengenai masalah manusia perahu yang menjadikan Malaysia negara transit dan kemudiannya mencuba masuk secara haram ke Australia.

Satu contoh terbaru ialah sekumpulan penduduk Tamil Sri Lanka yang masuk ke Malaysia kemudiannya menaiki perahu di Melaka ke Australia sebagai destinasi akhir mereka tetapi telah ditahan terlebih dahulu oleh pihak berkuasa Indonesia.

Perdana Menteri berkata, antara langkah yang boleh dipertimbangkan oleh Malaysia ialah menambah bilangan pegawai imigresen di negara-negara tertentu untuk menapis dengan lebih ketat permohonan masuk ke Malaysia supaya dapat dibezakan antara pelancong tulen dan pemerdagangan manusia.

"Hal ini juga terkait dengan pemberian visa kepada mereka," katanya.

Najib menjelaskan, dalam pemerdagangan manusia, keuntungannya agak lumayan dengan kos dikenakan bagi seorang dari Sri Lanka untuk masuk ke Australia ialah antara AS$15,000 dan AS$20,000 yang menyebabkan kegiatan sindiket orang tengah itu masih berterusan.

"Ini juga berkaitan kestabilan dalaman di Sri Lanka. Kalau kerajaan Sri Lanka dapat menjamin keturunan Tamil dapat sepadu dalam pembangunan Sri Lanka kemungkinan mereka menjadi manusia perahu akan dapat dikurangkan," katanya.

Turut dibincangkan dengan Rudd ialah tawaran Australia untuk membantu Malaysia meningkatkan keupayaan pendidikan vokasional di Malaysia, iaitu satu bidang kepakaran yang dimiliki oleh negara itu.

"Perdana Menteri Rudd akan menghantar para pegawainya ke Kuala Lumpur yang pakar untuk membincangkan tawaran itu dengan lebih lanjut tidak lama lagi," katanya.

Najib berkata, latihan kemahiran vokasional itu ialah untuk pelajar sekolah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selain itu, kata Perdana Menteri, mereka juga menyentuh bentuk yang relevan bagi Sidang Kemuncak Asia Timur dan persidangan khas perubahan iklim di Copenhagen, Denmark.

Najib yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor berlepas pulang ke Kuala Lumpur malam ini. - Utusan

Hubungan Malaysia–Indonesia akrab


Najib Tun Razak bersalaman dengan Susilo Bambang Yudhoyono pada majlis resepsi di Istana Merdeka di Jakarta, semalam. Turut hadir Rosmah Mansor, Ani Bambang Yudhoyono dan Naib Presiden Indonesia, Boediono. – BERNAMA

JAKARTA 20 Okt. – Hubungan Malaysia dan Indonesia tidak pernah dalam situasi pasang surut tetapi sentiasa akrab sepanjang masa, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang berada di Jakarta untuk menghadiri majlis angkat sumpah dan pemasyhuran Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) berkata, beliau yakin situasi itu akan berterusan.

“Saya hari ini menghadiri majlis mengangkat sumpah dan pemasyhuran SBY sebagai Presiden dan ia adalah tanda persahabatan yang amat akrab.

“Kehadiran saya amat dialu-alukan dan diterima dengan tulus ikhlas. SBY sendiri mengucapkan terima kasih kehadiran saya dan maklumkan sebagai balasan Malaysia menjadi negara pertama akan dilawati iaitu pada 11 November ini,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada wartawan Malaysia selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya dari Australia, Kevin Rudd di sini hari ini.

Najib diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Luar, Datuk Anifah Aman. Turut hadir pada majlis angkat sumpah Presiden Indonesia itu ialah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Presiden Timor Leste, Jose Ramos Horta; Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Rudd.

Susilo, Presiden keenam Indonesia mengangkat sumpah sebagai Presiden bagi penggal keduanya untuk tempoh 2009-2014 setelah memenangi pilihan raya secara langsung 8 Julai lalu.

Najib berkata, Malaysia dan Indonesia sentiasa mencari jalan dalam menyelesaikan sebarang isu yang berbangkit.

Menurut beliau, masalah yang dihadapi kini adalah hubungan antara rakyat berikutan terdapat kumpulan kecil yang melakukan tindakan dan mendapat liputan meluas media.

“Kepimpinan kedua-dua buah negara berada pada tahap baik dan selesa, begitu juga hubungan kedua-dua Menteri Luar,” kata Najib. – Utusan

Tuesday, October 20, 2009

Malaysia-Indonesia bincang masalah dua hala hari ini

JAKARTA 19 Okt. - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini tengah malam ini untuk lawatan kerja sehari dan merupakan lawatan kedua beliau sejak menjadi pemimpin nombor satu negara.

Lawatan Perdana Menteri itu selain menghadiri majlis angkat sumpah Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono di Dewan Permesyuaratan Rakyat, esok, ia juga bagi membincang masalah hubungan dua hala kedua-dua buah negara.

Masalah itu akan dibincangkan pada mesyuarat hubungan dua hala yang diadakan pada sebelah petang esok.

Hubungan Malaysia dan Indonesia ketika ini agak tegang berikutan beberapa pihak di Indonesia melakukan tindakan provokasi terhadap rakyat Malaysia di negara republik itu seperti tindakan mengusir atau 'sweeping Malaysia'.

Badan bukan kerajaan di Indonesia itu juga turut mengisytiharkan perang terhadap Malaysia dan mendakwa telah menghantar sukarelawannya menyusup ke Malaysia secara berperingkat-peringkat.

Pertemuan itu kelak diharap akan dapat menjernihkan kembali situasi yang agak keruh tersebut yang bukan sahaja mengancam keselamatan rakyat kedua-dua buah negara berjiran, bahkan menjejaskan hubungan perdagangan yang telah sedia terjalin.

Selain itu diharapkan juga pertemuan tersebut dapat menyelesaikan pelbagai isu lain termasuk tindakan kerajaan Indonesia membekukan penghantaran warganegaranya daripada bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia.

Dijangka isu sempadan perairan kedua-dua buah negara iaitu di kawasan Ambalat akan terus diperbincangkan bagi mengelakkan salah faham sehingga kedua-dua buah negara saling tuduh-menuduh bahawa angkatan tentera negara jiran sengaja bertindak menceroboh perairan masing-masing.

Walaupun sebelum ini telah dipersetujui rondaan bersama dijalankan oleh kedua-dua angkatan tentera di kawasan berkenaan, pertemuan kali ini mungkin akan menilai sejauhmana keberkesanannya dan dilaksanakan dengan baik. - Utusan

Monday, October 19, 2009

KDN tubuh jawatankuasa khas atasi isu status anak pendatang

KOTA KINABALU 18 Okt. - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyelesaikan isu taraf kerakyatan kanak-kanak pendatang asing tanpa izin (PATI) yang lahir di Sabah, selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Mahmood Adam berkata, perkara itu sedang dalam proses penyelesaian dan beberapa perkara perlu dipertimbangkan oleh kerajaan sebelum sebarang keputusan dibuat.

"KDN telah pun menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mengendalikan isu kanak-kanak yang tidak mempunyai kerakyatan ini di Sabah.

"Kita berjanji, sebelum hujung tahun ini kita akan cuba selesaikan perkara ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Hari Bertemu Pelanggan di perkarangan Dewan Serbaguna Sabah Electricity Sdn. Bhd (SESB) di sini, hari ini.

Mahmood berkata, undang-undang dan perlembagaan Persekutuan menetapkan taraf kewarganegaraan seseorang kanak-kanak itu ditentukan berdasarkan status kewarganegaraan ibu bapa mereka.

Katanya, mereka yang tidak mempunyai surat beranak tidak akan didaftarkan secara automatik sebagai warganegara kerana Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) perlu merujuk kepada status dokumen ibu bapa kanak-kanak tersebut.

"Jika kanak-kanak ini tidak mempunyai surat beranak, kita perlu lihat status ibu bapa mereka. Oleh itu mereka perlu mendapatkan pengesahan daripada Mahkamah Majistret Kelas Kedua sebelum dibenar melakukan lain-lain urusan di JPN," katanya.

Menurutnya, pada tahun lepas seramai 312,000 pekerja PATI telah didaftarkan di negeri ini.

Dalam perkembangan lain, Mahmood berkata, sebanyak 14 agensi di bawah kementerian itu mengambil bahagian dalam program Hari Bertemu Pelanggan yang berakhir hari ini.

Antaranya Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen, JPN, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Percetakan Nasional Berhad dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Beliau berkata, kira-kira 3,000 pengunjung yang terdiri daripada warga bandar raya dan pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menghadiri program selama tiga hari itu.

"Program ini mendapat sambutan baik daripada pengunjung. Di samping dapat mengetahui apakah perkhidmatan yang diberikan KDN, ia juga peluang keemasan bagi orang awam memperolehi penjelasan jabatan dan agensi di bawah KDN secara langsung.

"Biasanya, KDN ini sukar dihubungi, jadi kita kumpulkan semua agensi dalam program hari bertemu pelanggan. Tujuan kita adalah untuk membantu rakyat Sabah menyelesai isu-isu berbangkit," katanya. - Utusan

Operasi Bersepadu PATI lebih agresif

KOTA KINABALU 18 Okt. – Seramai 120,114 pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah dikesan masih belum berdaftar walaupun tarikh tutup semakin hampir iaitu pada 31 Oktober ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, bagi memudahkan pendaftaran, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri akan membuka kaunternya setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad.

“Sebaik sahaja tamat tempoh, Operasi Bersepadu PATI yang lebih agresif akan dilaksanakan dan jika ada PATI yang tidak berdaftar dan ditahan, tindakan undang-undang akan dikenakan.

“Kita telah membuat keputusan untuk bertindak tegas dalam perkara ini. Sebelum ini peluang demi peluang telah pun diberikan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan sebelum ini banyak bertolak ansur serta memahami masalah PATI termasuk memberi kelonggaran kepada majikan tetapi tidak dihiraukan.

Sebelum ini katanya, kerajaan menetapkan 31 Mei lalu sebagai tempoh pemutihan PATI tetapi atas faktor tertentu, tempoh tersebut dilanjutkan hingga hujung bulan ini.

“Lanjutan ini untuk menjaga kepentingan industri-industri di Sabah khususnya sektor perladangan. Jika tindakan drastik diambil untuk pengusiran, semua sektor terlibat akan terjejas.

“Pada masa sama, pendaftaran ini akan membolehkan data diperolehi untuk mempermudahkan proses pengesanan dilaksanakan dari semasa ke semasa,” katanya.

Hishammuddin berkata, sehingga minggu lalu seramai 192,723 PATI yang bekerja di negeri ini termasuk tanggungannya sudah pun berdaftar secara sah dengan pihak JIM.

Katanya, sejak Operasi Bersepadu Fasa I dan II dilakukan pada 7 Ogos tahun lalu, seramai 610,104 PATI dikesan termasuk pelarian dan warga asing yang tamat permit kerja.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 5,634 PATI dikenal pasti melalui fasa pertama manakala 4,427 orang lagi melalui fasa kedua.

Melalui dua fasa itu juga katanya, jumlah PATI yang bekerja dan tanggungannya yang dikesan ialah 312,837 orang, pelarian (57,197 orang) dan pekerja tamat tempoh (230,000 orang).

Sehubungan itu, katanya, fasa kedua yang bermula pada Februari lalu akan diteruskan hingga hujung tahun ini khususnya di pantai timur Sabah. - Utusan

Sunday, October 18, 2009

Seorang buruh Indonesia maut jatuh bangunan

KUALA TERENGGANU: Seorang buruh warga Indonesia terbunuh selepas terjatuh dari tingkat 16 perumahan rakyat di Kampung Ladang, di sini petang semalam.

Lelaki yang dikenali sebagai Soedjito, 36, itu maut serta merta akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu.

Rakannya, Kaspin Usop, 40, ketika ditemui di bilik mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini berkata ketika kejadian dia terdengar bunyi kuat dan menyangka tong gas meletup.

Beliau berkata, Soedjito sedang bekerja di tingkat 16 sebelum kejadian. - Berita Harian

'Guna sistem radar kesan pendatang'

KLUANG: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diminta segera memasang sistem radar bagi mengesan kehadiran bot yang membawa pendatang asing tanpa izin menyeludup masuk menerusi pantai di Johor.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata walaupun pasukan keselamatan mengetatkan kawalan di perairan serta pantai Johor, kehadiran pendatang tanpa izin terus berlaku, sekali gus memerlukan sistem radar dipasang bagi memastikan pemantauan lebih berkesan.

"Radar itu boleh mengesan kehadiran bot tidak kira siang atau malam dan saya percaya penggunaannya mampu meningkatkan kawalan bagi membendung kemasukan pendatang asing tanpa izin ke negara ini melalui kawasan pantai di Johor.

"Kita bukan saja bimbang dengan kehadiran pendatang tanpa izin yang masuk ke negara ini secara haram, tetapi kita tidak mahu Johor terus dijadikan transit penyeludupan manusia ke negara lain seperti Australia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Warga Tentera Bersama Awam di Casa Perwira, kediaman rasmi Panglima 7 Briged, Brig Jen Datuk Abu Musa A Rahman, di sini semalam.

Pada majlis itu, Menteri Besar turut menyampaikan sumbangan kepada 11 anggota tentera yang cedera ketika menjalankan tugas.

Turut menerima sumbangan, 65 pesara tentera yang mengalami kecederaan kekal ketika terbabit dalam operasi membanteras pengganas komunis, 93 balu tentera serta 53 anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Islam Kluang.

Abdul Ghani berkata, pantai Johor terlalu panjang menjangkau 1,000 kilometer dan pasti sukar bagi pasukan keselamatan untuk mengawasinya secara menyeluruh, tetapi dengan adanya sistem radar, tugas pengawasan akan lebih mudah.

Sementara itu, Abu Musa berkata, ATM sudah membuat uji nilai sistem radar yang sesuai dipasang di pantai Johor dengan proses pemasangan dijangka dapat dilakukan tidak lama lagi di lokasi dikenal pasti.

"Kami sedar keperluan sistem radar untuk mengesan kehadiran pendatang asing. Sistem radar sudah digunakan dalam Ops Pasir di Sabah dan ternyata ia amat berkesan untuk mengesan kehadiran kapal atau bot asing yang menceroboh perairan negara," katanya.

Katanya, selain penggunaan teknologi terkini, tentera juga memerlukan kerjasama orang ramai untuk membantu mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di perairan negara, khususnya di Johor dengan menyalurkan maklumat berkaitan. - Berita Harian

Cubaan 18 warga Afghanistan ke Indonesia dipatahkan polis Malaysia

KUALA LUMPUR: Polis Malaysia menahan 18 warga pendatang tanpa izin Afghanistan yang dalam cubaan untuk berlayar ke Indonesia dengan menggunakan bot usang.

Ketua Polis Marin Selangor, Marzuki Ismail, berkata pihak berkuasa menemui pendatang tanpa izin dengan dua juru kemudi bot warga Indonesia ketika sedang membuat rondaan perairan antara semenanjung Malaysia dan pulau Sumatera, Indonesia, lewat semalam.

Ia dipercayai kes terbaru membabitkan warga negara Iraq, Pakistan dan Sri Lanka, yang menggunakan Malaysia sebagai titik permulaan ke Australia menerusi Indonesia.

Sekurang-kurangnya 10 warga Afghanistan ditahan semalam ketika memasuki Malaysia dengan menggunaan dokumen imigresen sah, tetapi kesemua mereka mungkin dikenakan hukuman penjara beberapa bulan kerana cuba meninggalkan negara ini secara haram. - AP - Berita Harian

GAGAL MENJADI MAJIKAN YANG BAIK : 304 majikan dikompaun

KOTA TINGGI 17 Okt. - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Johor mengesan 515 majikan di Johor Bahru masih tidak mendaftar dengan pertubuhan itu.

Pemangku Pengarah Perkeso Johor, Mustafa Draman berkata, daripada jumlah itu, 304 majikan dikenakan kompaun serta-merta atas kesalahan tidak berdaftar dengan Perkeso.

"Tindakan itu diambil di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja (AKSP) 1969 dan Peraturan Am AKSP 1971," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Taklimat dan Dialog Perkeso Bersama Pemimpin Masyarakat di Pejabat Daerah Kota Tinggi di sini semalam.

Seramai 28 pemimpin masyarakat hadir pada program itu yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Raja, Datuk Dr. Adham Baba.

Mustafa berkata, terdapat kira-kira 52,000 majikan di sekitar Johor Bahru manakala lebih 94,000 majikan di seluruh negeri ini.

Beliau berkata, tindakan terhadap mereka dijalankan dalam operasi penguatkuasaan pada Ogos lalu dengan mengeluarkan kompaun antara RM500 hingga RM1,000 kepada majikan yang didapati bersalah.

"Majikan yang gagal menjelaskan kompaun boleh didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau didenda RM10,000 atau kedua-duanya sekali," katanya

Mustafa memberitahu, walaupun Ops Kesan Perkeso telah tamat namun usaha mengesan majikan yang tidak berdaftar akan diteruskan di setiap daerah dari semasa ke semasa.

Justeru, katanya, majikan yang masih belum berdaftar boleh berbuat demikian di pejabat Perkeso Johor Bahru atau menghubungi di talian 07-2282700 & 07-2282727 untuk mendapatkan maklumat lanjut. - Utusan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...