Friday, October 9, 2009

Seludup wanita RM2j

KUALA LUMPUR: Pendapatan lumayan yang diperoleh menerusi industri perdagangan seks membuatkan manusia sanggup menjadikan makhluk sejenis mereka sebagai barang seludup semata-mata mahu memenuhi permintaan pelanggan yang sentiasa dahagakan seks.

Ini terbukti apabila satu sindiket menyeludup wanita bagi tujuan perdagangan seks antarabangsa yang mengaut keuntungan hampir RM2 juta beroperasi sejak setahun lalu, ditumpaskan dalam serbuan di Pandan Perdana, Cheras di sini, awal pagi semalam.

Menjadikan negara ini sebagai transit, kegiatan sindiket terbabit dipercayai antara yang terbesar di Malaysia dan didalangi dua individu masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 44 dan 55 tahun.

Difahamkan, dua dalang terbabit sanggup menjadikan manusia sebagai barang dagangan seks berikutan menerima upah lumayan bagi setiap penghantaran.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi/Risikan) Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah, berkata kejayaan melumpuhkan sindiket itu hasil maklumat risikan Polis Persekutuan Australia (FAP).

Katanya, serbuan jam 1 pagi itu dilakukan pasukan khas daripada Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman diketuai Asisten Komisioner Sanusi Sidek, menahan dua individu yang dipercayai dalang utama.

“Mereka ditahan mengikut Ordinan Darurat (EO) dan siasatan awal menunjukkan mereka bukan saja menyeludup wanita tempatan, malah wanita asing yang kebanyakannya dari negara Asean untuk tujuan pelacuran dengan menjadikan negara ini pusat transit.

“Kebanyakan mangsa diseludup ke Australia dan Eropah menggunakan pelbagai dokumen perjalanan palsu termasuk visa pelancong dan pelajar melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang,” katanya.

Menurutnya, dua suspek terbabit dipercayai memperoleh bayaran lumayan bagi setiap penghantaran dan operasi sindiket itu terancang termasuk memiliki rangkaian antarabangsa bagi menjalankan aktiviti terbabit.

“Mereka menguruskan segala keperluan perjalanan wanita yang diseludup itu dan sejurus tiba di destinasi ada ahli sindiket yang akan menjemput serta membawa mereka ke pusat pelacuran.

“Hasil siasatan, kami percaya mereka memperoleh tidak kurang RM2 juta dalam tempoh lebih setahun beroperasi,” katanya.

Mengulas mengenai kemungkinan adanya ‘orang dalam’ yang terbabit, beliau berkata, perkara itu disiasat, namun masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan dan pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Imigresen bagi menyiasat kes berkenaan dengan terperinci.

“Kami akan siasat jika ada orang dalam daripada agensi kerajaan yang terbabit, namun tumpuan kami kini untuk memburu anggota sindiket lain termasuk orang yang membuat pasport dan visa palsu itu.

“Siasatan juga akan dilakukan dan mengenal pasti bagaimana mereka mudah membolosi pemeriksaan di KLIA menggunakan dokumen perjalanan palsu hingga sampai ke negara ketiga,” katanya.

Menurutnya, polis juga mengenal pasti jumlah mangsa sindiket itu termasuk mengesan lokasi wanita dan gadis terbabit di luar negara bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Berdasarkan keuntungan besar diperoleh sindiket itu dalam tempoh singkat, kami yakin ramai yang menjadi mangsa,” katanya. - Harian Metro

Pelacuran: 92 wanita warga asing diselamatkan

PULAU PINANG 9 Okt. - Polis Pulau Pinang berjaya menyelamatkan 92 wanita warga asing dalam 50 serbuan yang dilakukan pasukan khas cegah pelacuran di sekitar negeri sejak tiga bulan lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, semua wanita yang berumur antara 17 dan 35 tahun itu diperdaya dan dieksploitasi sindiket tempatan dengan menjadikan mereka sebagai pelacur di pusat hiburan atau hotel di sekitar Pulau Pinang.

"Kesemua mereka yang diselamatkan itu mendakwa dijanjikan peluang pekerjaan dalam beberapa sektor, antaranya perkilangan, sebaliknya apabila tiba di sini mereka dipaksa menjadi pelacur,” katanya pada satu persidangan akhbar di sini hari ini.

Katanya, semua yang diselamatkan yang berasal dari China, Uzbekistan, Thailand, Indonesia dan Vietnam itu ditempatkan di pusat perlindungan wanita. - Utusan

Wednesday, October 7, 2009

Kehadiran warga asing di Metro Kajang mencurigakan

Pengunjung tempatan kurang senang, perniagaan terjejas teruk

KAJANG: Kehadiran beratus-ratus warga asing yang tidak diketahui status mereka memenuhi pusat membeli-belah Metro Kajang dan kawasan sekitarnya setiap hujung minggu menimbulkan kebimbangan kepada peniaga dan pengunjung tempatan.

Mereka bimbang dengan sikap warga asing terbabit yang dalam keadaan mencurigakan dan melepak tidak tentu arah.

Tinjauan Sentral mendapati warga asing terbabit menjadikan pusat berkenaan untuk berkumpul dan berjumpa rakan senegara mereka tanpa perasaan takut ditangkap jika tidak mempunyai permit kerja.

Peniaga, Abdul Al-Qayum Khazin, 24, menyatakan rasa kurang senangnya dengan kehadiran warga asing setiap hujung minggu kerana ia menjejaskan perniagaan disebabkan penduduk tempatan enggan datang atas faktor keselamatan.

“Saya pernah menyaksikan pengunjung wanita warga tempatan menjadi mangsa ragut warga asing ini. Jadi ada kebimbangan di kalangan penduduk tempatan untuk mengunjungi pusat beli-belah ini.

“Bukan kita tidak mahu menerima kehadiran mereka, tetapi masalahnya ia menjejaskan pendapatan kami disebabkan kurangnya rakyat tempatan akibat kehadiran mereka,” katanya.

Pelajar Kolej Universiti Islam Selangor, Luqmanul Hakim, 22, berharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah pendatang asing itu.

“Mereka memonopoli kemudahan perkhidmatan awam, gerai makanan dan melepak di kaki lima yang boleh mencemarkan imej Malaysia pada mata pelancong yang datang ke sini” katanya.

Sementara itu, seorang warga asing yang bekerja di kilang elektronik dan enggan gambarnya dirakam, Putra Edwan Sapuan, 23, berkata dia dan rakannya tidak mempunyai masalah melepak di situ hujung minggu kerana tiada gangguan pihak berkuasa. - Berita Harian

Masalah PATI semakin serius


Sebahagian warga asing dari Sri Lanka dan India ditahan oleh Imigresen dalam operasi bersepadu di sebuah villa di Jalan Abdul Samad, Johor Bahru, baru-baru ini

JOHOR BAHRU 6 Okt. – Kebanjiran warga asing ke negeri ini dilihat sebagai satu senario yang semakin membimbangkan kerana bilangan mereka kian bertambah dari semasa ke semasa.

Malaysia yang merupakan ‘lubuk emas’ dan dikenali di seluruh dunia sebagai sebuah negara yang aman dan mempunyai banyak peluang pekerjaan menyebabkan warga asing tertarik untuk bekerja di Malaysia hingga jumlah mereka semakin meningkat.

Ada di antara mereka masuk ke negara ini secara sah dan ada juga yang menyusup masuk secara haram tanpa sebarang dokumen demi mencari sumber pendapatan bagi menampung kehidupan keluarga di kampung halaman.

Masalah itu menyebabkan kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) hingga menimbulkan satu keadaan yang kurang menyenangkan penduduk tempatan.

Pengarah Imigresen Johor, Mohd. Nasri Ishak berkata, kebanjiran itu merupakan satu gejala tidak sihat, melanggar undang-undang dan menjejaskan ketenteraman rakyat.

“Terdapat juga di antara mereka yang pada mulanya memasuki negara ini secara sah dan mengikut saluran yang betul tetapi pada akhirnya mereka cuba untuk menjadi sebahagian daripada warganegara bagi mengelakkan diri daripada dihantar pulang apabila tamat tempoh.

“Peluang pekerjaan yang banyak merupakan antara perkara utama yang menjadi sebab mereka tidak mahu pulang ke negara asal mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya, di sini baru-baru ini.

Mohd. Nasri berkata, antara kesalahan utama yang sering dilakukan PATI di negara ini ialah tinggal melebihi tempoh yang ditetapkan dan perkara ini sememangnya dipandang serius oleh Jabatan Imigresen negeri.

Beliau menjelaskan, pelbagai alasan akan diberikan bagi meraih simpati daripada pihak penguasa bagi mengelakkan daripada dihantar pulang ke negara asal mereka.

“Tiada masa dan lupa merupakan an

tara alasan yang sering diterima daripada golongan ini apabila mereka ditahan atas kesalahan tinggal melebihi masa.

“Walau apa pun alasan yang diberikan, kami tetap akan mengenakan tindakan terhadap mereka berdasarkan peruntukan undang-undang yang disediakan pihak kerajaan,” tegasnya.

Selain itu, katanya, penyalahgunaan pas pekerjaan dan pas lawatan sosial juga merupakan salah satu daripada kesalahan yang sering dilakukan golongan tersebut.

Katanya, ada di antara mereka menggunakan pas lawatan sosial untuk melakukan pekerjaan dan ada juga yang menggunakan pas pekerjaan sebagai pembantu rumah untuk melakukan pekerjaan lain seperti bekerja di kedai makan.

“Ada mendapat kebenaran untuk bekerja di kedai makan tetapi bekerja di kilang dan ada juga yang bekerja di ladang kerana mereka mendakwa gaji yang diterima lebih tinggi.

“Meskipun perkara ini sering dipandang remeh bagi mereka namun ia merupakan satu kesalahan mengikut Akta Imigresen 1965/63,” katanya.

Beliau juga berkata, antara kesalahan lain yang turut dilakukan ialah tiada dokumen perjalanan yang sah, menggunakan dokumen palsu, menggaji pekerja asing tanpa permit, melindungi pesalah di bawah Akta Imigresen, memiliki pasport palsu dan memiliki pasport bukan milik sendiri.

Mohd. Nasri berkata, warga Indonesia, Myanmar, Kemboja, Bangladesh, India, Thailand, Nepal dan Sri Lanka merupakan yang paling ramai memasuki negara ini untuk mencari pekerjaan.

“Sebelum ini pada sekitar tahun 90-an Jabatan Imigresen Johor pernah menahan warga British dan Bostwana yang memasuki negeri ini secara haram.

“Pada waktu itu ada juga kita menahan warga asing daripada Nigeria dan Mauritius tetapi kebelakangan ini hanya warga asing dari Asia sahaja yang memasuki negara ini,’’ katanya.

Beliau berkata, setakat ini lebih daripada 3,000 tangkapan telah dilakukan dan kebanyakan mereka sudah dihantar pulang ke negara asal.

“Pihak kami akan sentiasa menjalankan risikan dari semasa ke semasa bagi memastikan kegiatan PATI ini dapat dibanteras secara sepenuhnya pada masa akan datang.

“Kita melihat kebanjiran PATI di negeri ini sebagai sesuatu yang amat membimbangkan sekiranya tidak dibanteras secara menyeluruh kerana bilangannya akan bertambah jika tidak dikawal,” katanya.

Mohd. Nasri berkata, pihaknya merancang untuk mengadakan satu operasi bersepadu secara besar-besaran untuk tujuan tersebut.

Beliau berkata, fokus akan diberikan kepada pintu-pintu masuk utama di negeri ini dan juga kawasan-kawasan lain berdasarkan maklumat yang diberikan orang ramai.

“Kita akan menggunakan segala maklumat risikan serta maklumat yang ada bagi membanteras kegiatan ini secara menyeluruh di samping memberkas dalang yang terlibat dengan kegiatan ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sekiranya orang ramai mempunyai maklumat berhubung masalah PATI di kawasan kediaman mereka, diharap dapat menyalurkan maklumat secara terperinci kepada Jabatan Imigresen bagi membolehkan tindakan segera diambil. - Utusan

Tuesday, October 6, 2009

36,858 wanita asing dipercayai pelacur ditahan sejak 2005

KUALA LUMPUR: Seramai 36,858 wanita rakyat asing yang disyaki terbabit dalam kegiatan pelacuran ditahan dalam operasi di seluruh negara sejak tahun 2005.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata bagi Januari hingga 30 September tahun ini, seramai 7,810 wanita dari 21 negara ditahan kerana dipercayai terbabit dengan pelacuran.

"Polis memandang serius kegiatan tidak bermoral itu dan menjalankan operasi dari semasa ke semasa bagi membendungnya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar tempatan hari ini mengenai kegiatan pelacuran membabitkan wanita Uzbekistan di negara ini.

Mohd Bakri berkata, sejak 2005, seramai 211 wanita Uzbekistan ditahan dan untuk tahun ini iaitu dari Januari hingga 30 September, seramai 56 wanita negara itu ditahan.

"Kebanyakan wanita Uzbekistan ini ditahan di hotel di sekitar Lembah Klang," katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh itu juga, seramai 191 orang dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan menganjur pelacuran dan 265 orang lagi dikenakan tindakan undang-undang pencegahan.

Mohd Bakri berkata, dalam usaha membendung kegiatan itu, PDRM telah berbincang dengan Jabatan Imigresen dan memintanya memperketatkan kawalan di pintu masuk ke negara ini dengan memantau kemasukan wanita asing serta pastikan hanya pelancong, pelajar dan pekerja yang sah dibenar masuk. - Berita Harian

Monday, October 5, 2009

Terengganu bakal eksport udang


Tiga kanak-kanak ini melihat akuarium yang mempamerkan udang ternakan Blue Archipelago Berhad di pameran Pembangunan i-Sharp pada majlis Aidilfitri di SK Penarek, Setiu, Terengganu, kelmarin. - utusan/AZLAN BAHRUM

SETIU 4 Okt. - Terengganu bakal menjadi antara pengeksport udang harimau dan udang putih utama negara apabila Projek Integrasi Taman Akuakultur Udang (I-Sharp) bernilai RM200 juta dilaksanakan di Setiu bermula tahun 2011.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industrri Asas Tani negeri, Rozi Mamat berkata, kerajaan negeri meluluskan tanah seluas 1,200 hektar untuk melaksanakan projek itu.

Katanya, projek tersebut di bawah penyeliaan syarikat milik kerajaan (GLC), Blue Archipelago Berhad yang menyelia projek ternakan undang Kerpan di Kedah.

Menurut beliau, fasa pertama melibatkan penggunaan 400 hektar tanah itu dan pembinaan 500 kolam ternakan udang dijangka beroperasi bermula akhir tahun depan.

''Ketika ini, kerja-kerja pembersihan dan pecah tanah sedang dijalankan dalam memulakan pembinaan infrastruktur untuk pelaksanaan projek tersebut,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Sambutan Aidilfitri dan pelancaran pembangunan I-Sharp di Sekolah Kebangsaan Penarek di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Blue Archipelago Berhad, Dr. Shahridan Faiez.

Katanya, projek di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu akan menyediakan pekerjaan dan pendapatan tambahan untuk kira-kira 1,300 penduduk.

Rozi berkata, selain kolam ternakan, kilang memproses udang, pusat penetasan udang, sebuah makmal, tempat penginapan dan bangunan pentadbiran akan turut dibina dalam projek itu.

''Sebanyak RM200 juta diperuntukan untuk melaksanakan projek I-Sharp tersebut," ujarnya.

Shahridan pula memberitahu, apabila fasa pertama projek tersebut mula beroperasi, ia akan mampu mengeluarkan antara 10,000 hingga 12,000 tan udang putih dan 5,000 tan udang harimau.

''Udang-udang berkenaan akan dieksport di pasaran premium antarabangsa terutama Kesatuan Eropah (EU), Jepun dan Amerika Syarikat (AS)," katanya. - Utusan

'Awang Hitam' terjerat

KUALA LUMPUR 4 Okt. - 'Awang Hitam' atau lelaki dari benua Afrika yang sebelum ini sering menimbulkan masalah sosial di negara ini, kini bergiat dalam jenayah pecah masuk rumah pula.

Dengan menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), mereka akan mengintip mana-mana rumah yang tidak berpenghuni sebelum melakukan jenayah tersebut.

Namun, kegiatan empat warga Afrika ini yang cuba menggunakan taktik itu untuk memecah masuk rumah penduduk di Taman Putra, Ampang di sini gagal apabila tindak tanduk mereka itu disedari penduduk.

Lebih malang lagi, salah seorang daripada suspek yang ditugaskan membuat intipan di rumah terbabit berjaya dicekup penduduk.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 malam tadi, empat warga Afrika itu yang menaiki MPV jenis Naza Citra memasuki kawasan perumahan tersebut dan berhenti di sebuah rumah di Jalan 2, di taman itu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan (gambar) berkata, curiga dengan kehadiran suspek, beberapa penduduk cuba mendekati kenderaan suspek.

Katanya, apabila tiba dan membuka pintu tersebut terdapat tiga orang warga Afrika di dalam kenderaan itu bersama beberapa peralatan untuk memecahkan rumah.

"Salah seorang penduduk yang terkejut melihat parang di dalam kenderaan itu kemudian menutup semula kereta.

"Tiga suspek itu kemudian melarikan diri dengan meninggalkan seorang rakan mereka selain menggunting tali palang masuk taman berkenaan untuk keluar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Abdul Jalil, seorang lagi suspek berusia lingkungan 30-an yang ditinggalkan berjaya ditahan penduduk dan pengawal keselamatan yang bertugas di taman tersebut.

Beliau berkata, pihaknya percaya kumpulan ini menyasarkan rumah yang kosong dan salah seorang daripada mereka akan membuat pengintipan sebelum memecah masuk.

Katanya, pihaknya kini sedang memburu tiga lagi rakan suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 453 Kanun Keseksaan.

Beliau turut memberitahu, kerjasama di antara penduduk, masyarakat dan polis dilihat dapat membantu mengurangkan kegiatan jenayah. - Utusan

Sunday, October 4, 2009

APMM tahan tekong, rampas senapang angin

JOHOR BAHARU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan merampas dua laras senapang angin selepas menahan seorang tekong bersama lima awak-awaknya yang menaiki sebuah bot nelayan di perairan Tanjung Tohor, dekat Batu Pahat, pagi semalam.

Ketua Penguatkuasa Wilayah Selatan Laksamana Pertama, Che Hassan Jusoh, berkata bot laju APMM Kilat 47 yang sedang melakukan rondaan di perairan berkenaan mengesan bot itu yang dalam keadaan bergelap dan mencurigakan di kedudukan tujuh batu nautika barat Tanjung Tohor, kira-kira jam 4 pagi.

"Pemeriksaan dokumen mendapati tekong bot itu mempunyai dua pengenalan diri (Malaysia/Indonesia), dua awak-awak tidak mempunyai pengenalan diri manakala tiga awak-awak lagi memiliki kad pengenalan penduduk tetap yang meragukan.

"Pemeriksaan menyeluruh ke atas bot tersebut menemui dua laras senapang angin yang disyaki digunakan untuk kegunaan rompakan di laut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua mereka dipercayai menjadi tali barut atau tekong laut penyeludup berikutan penemuan pelbagai khidmat pesanan ringkas (SMS) dalam telefon bimbit mereka yang mengaitkan pengoperasian dan kehadiran penguatkuasaan APMM serta agensi lain di perairan berkenaan.

Che Hassan berkata, semua tekong dan awak-awak dalam lingkungan 39 hingga 51 tahun itu dibawa ke Pangkalan Maritim APMM Wilayah Selatan, Batu Pahat, untuk siasatan lanjut.

Katanya, mereka akan disiasat mengikut Sekyen 8(a) Akta Senjata 1960, Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 serta Akta Pendaftaran Negara 1990.

"APMM akan sentiasa mempertingkatkan operasi di perairan negara bagi membanteras penyeludupan serta rompakan di laut. Pihak APMM menyedari kewujudan tekong laut yang dan berusaha untuk menanganinya dengan sentiasa melaksanakan operasi pemantauan di lokasi yang dikenalpasti sebagai kawasan pendaratan penyeludupan," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat penyeludupan di perairan ini diminta menghubungi talian hotline APMM di 07-2199401. - Berita Harian

MTUC: tetapkan garis panduan bagi pengambilan pengawal keselamatan

PETALING JAYA 4 Okt — Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)hari ini meminta kerajaan merangka garis panduan yang komprehensif berhubung pengambilan pengawal keselamatan bagi memastikan keselamatan mereka dan orang yang dilindungi.

Naib Presidennya, A.Balasubramaniam berkata pada masa ini selain daripada institusi kewangan dan bank, kebanyakan daripada institusi terutama industri kecil dan sederhana (IKS) menggajikan pesara yang telah berusia tanpa sebarang latihan sebagai pengawal.

Yang lebih buruknya ialah pengawal kselamatan ini hanya dibekalkan dengan wisel, cota dan lampu suluh yang hanya memberikan sedikit perlindungan atau tanpa perlindungan, katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Balasubramainiam berkata MTUC sangat prihatin dengan keadaan itu memandangkan banyak pengawal keselamatan terbunuh ketika menjalankan tugas sewaktu kejadian rompakan bersenjata.

“Baru-baru ini seorang pengawal keselamatan berumur 43 tahun terbunuh dalam satu percubaan merompak di Kapar, Klang dan bulan lepas seorang lagi maut di Telok Gong, Klang.

“Dalam kedua-dua kes ini, adalah didapati bahawa pengawal keselamatan ini tidak dilengkapkan peralatan secukupnya bagi melindungi diri mereka,” katanya. - Utusan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...