Saturday, September 19, 2009

Kementerian cadang kurangkan yuran pengambilan amah

KLUANG: Kementerian Sumber Manusia bercadang mengurangkan yuran pengambilan pembantu rumah Indonesia yang disifatkan sesetengah majikan negara ini sebagai terlalu tinggi dan membebankan, kata Menterinya, Datuk S Subramaniam, hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah pengurangan yuran yang dicadangkan oleh kementeriannya, selagi perkara mengenainya belum dibincang dengan rakan sejawatan di Indonesia.

"Kita akan berunding dengan pihak Indonesia tentang cadangan untuk mengurangkan yuran pengambilan pembantu rumah daripada negara terbabit," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya 2009 di sini.

Beliau berkata, kementeriannya akan mengemukakan cadangan pengurangan yuran pengambilan pembantu rumah Indonesia itu ketika rundingan bersama kedua-dua negara bulan depan atau bulan berikutnya.

Terdapat majikan di negara ini yang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tinggi di antara RM6,000 hingga RM7,000 untuk membayar yuran bagi mendapatkan perkhidmatan pembantu rumah warga Indonesia.

Mengenai cadangan supaya gaji minimum pembantu rumah Indonesia dinaikkan sehingga RM800 sebulan, Subramaniam berkata cadangan itu tidak pernah disuarakan secara rasmi pihak berkuasa republik itu.

"Ia tidak pernah disuarakan secara rasmi oleh pihak berkuasa Indonesia. Cadangan terbabit hanya datang daripada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan negara itu," katanya.

Menurutnya, Kementerian Sumber Manusia akan hanya menangani isu gaji minimum pembantu rumah Indonesia itu jika ia dikemukakan secara rasmi oleh pihak berkuasa negara itu.

Sementara itu, Subramaniam berkata kementeriannya bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Perladangan dan Komoditi telah mengadakan dialog dengan persatuan majikan pelbagai industri baru-baru ini.

Katanya, Persatuan majikan terbabit memaklumkan kesukaran mereka untuk mendapatkan pekerja tempatan ketika syarikat-syarikat sedang berhadapan dengan peningkatan pesanan daripada pelanggan berikutan pemulihan ekonomi antarabangsa ketika ini.

Kerajaan, katanya, mahukan syarikat terbabit mementingkan pekerja tempatan untuk mengelak kebanjiran tenaga pekerja asing di negara ini, tetapi pada masa yang sama tidak mahu menjejaskan operasi syarikat. - Berita Harian

Arrests avert clash among Indonesians

By V. Shuman

KUALA LUMPUR: Police may have averted a clash between Indonesian immigrants from Madura and Flores with the arrest of 56 men and the seizure of 200 home-made weapons.

Brickfields police chief Assistant Commissioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid said the Indonesians, all illegals, had been rounded up in four separate operations at 'kongsi' settlements in the district, recently.

"The suspects have been handed to the Immigration Department for further action," said Bari.

Among the weapons seized were swords that were hidden in PVC pipes, knives and machetes that had been carved out of steel sheets, knuckle-dusters and nunchucks (two wooden sticks connected with a chain).

Bari said all the men arrested were construction workers.

"They were capable of making the weapons from steel taken from doors and even rubbish bins."

Immigrants from the Madura and Flores clans are known to have clashed on several occasions here.

Bari said the operations were conducted following the discovery of an assortment of weapons, including plastic explosives and detonators, at an illegal settlement in Bukit Kiara View in Sri Hartamas on Aug 21.

Three suspects, including a woman, were picked up during the raid but were eventually freed.

The four operations -- the latest of which was on Tuesday, involved police and Rela personnel. - NST

Warga Indonesia balik kampung


SEBAHAGIAN warga Indonesia beratur menunggu giliran menaiki Express Indomal untuk balik berhari raya ke kampung halaman masing-masing di Jeti Pelabuhan Melaka, semalam.

MELAKA 18 Sept. - Tiada apa yang lebih menggembirakan bagi golongan perantau apabila tiba musim perayaan, selain dapat pulang ke kampung halaman mereka untuk berhari raya bersama keluarga tercinta.

Bagi mereka, menyambut 1 Syawal di tempat sendiri tentu lebih bermakna selepas meninggalkan keluarga di kampung untuk sekian lama bagi mencari rezeki di perantauan.

Sesungguhnya berhari raya di kampung halaman sememangnya mempunyai keistimewaan tersendiri yang jauh berbeza jika dibandingkan dengan sambutan di bandar raya.

Tinjauan Utusan Malaysia di Jeti Shahbandar, Banda Hilir di sini hari ini mendapati suasana itu tidak terkecuali bagi warganegara Indonesia yang bekerja di negara ini khususnya di Melaka.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, jeti ini menjadi tumpuan rakyat Indonesia untuk pulang ke negara mereka memandangkan kedudukannya paling dekat dengan sempadan negara berkenaan.

Salah seorang daripada mereka, Shahrul Awaludin, 30, berkata, dia mendapat cuti selama seminggu daripada majikannya untuk pulang berhari raya di kampungnya di Bengkalis.

"Memang setiap tahun, saya pasti akan pulang berhari raya di kampung halaman berkumpul bersama seluruh ahli keluarga," katanya yang bekerja sebagai pekerja kontrak bangunan di Batu Pahat, Johor.

Mokhtar Surip, 29, dari Bengkalis pula memberitahu, dia bernasib baik kerana kebetulan mendapat cuti selama 45 hari pada Aidilfitri tahun ini.

"Sebenarnya, kalau tidak dapat cuti lama pun saya mesti pulang kerana inilah masanya untuk kita melawat dan bermaaf-maafan dengan seluruh ahli keluarga.

"Tak kisahlah, terpaksa belanja tambang feri lebih sedikit, asalkan tradisi pulang ke kampung dapat diteruskan," katanya.

Walaupun telah bekerja lebih 20 tahun di Johor Bahru, ia bukan bererti jiwa Nasir Hassan sudah sepenuhnya berada di Malaysia.

Bapa kepada dua anak ini berkata, walaupun Malaysia dan Indonesia mempunyai budaya yang hampir sama, dia tetap merindui kampung halamannya di Bengkalis.

"Selain anak dan isteri yang berada di sana, saya rasa bersalah jika tidak dapat pulang berhari raya di kampung," katanya.

Pendapat yang sama turut dikongsi pekerja ladang, Mohne Kaderi, 30, yang menyifatkan Aidilfitri sebagai waktu terbaik melawat saudara mara dan sahabat handai untuk memohon kemaafan. - Utusan

60 PATI terselamat


Pendatang asing tanpa izin Indonesia terbaring keletihan di Pelabuhan Klang, selepas diselamatkan dari sebuah bot yang hampir karam di Selat Rawa, semalam.

PELABUHAN KLANG 18 Sept. - Tragedi 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia maut setelah bot mereka karam di Pintu Gedong di sini sehari sebelum Aidilfitri tahun lalu, hampir berulang hari ini.

Semuanya gara-gara sekumpulan 60 PATI dari negara itu cuba menyusup keluar dari kawasan Selat Rawa di Pulau Ketam dekat ini awal pagi ini.

Namun, ketika bot yang dinaiki hampir karam dan mereka nyaris lemas, Pasukan Gerakan Marin (PGM) tiba memberi bantuan.

Menurut Pemangku Pegawai Pemerintah PGM Pelabuhan Klang, Asisten Komisioner Nordin Osman, pihaknya sudah mendapat maklumat bahawa sebuah bot membawa pendatang Indonesia cuba menyusup keluar dari negara ini beberapa hari lalu.

Katanya, hasil risikan itu rondaan dipertingkatkan yang membawa kepada penemuan bot tersebut di kawasan berkenaan sekitar pukul 6.50 pagi ini.

"Ketika tiba di situ, bot yang dipercayai mula belayar pukul 2 pagi sudah hampir tenggelam kerana kiri dan kanan bot dimasuki air.

"Tetapi tindakan pantas anggota marin memindahkan mereka ke atas bot peronda RH10 berjaya mengelak kejadian tidak diingini berlaku," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam kejadian sebuah bot karam sebelum Aidilfitri tahun lalu, 12 warga Indonesia maut manakala 91 lagi terselamat dan kejadian itu juga berlaku di perairan Pelabuhan Klang.

Nordin berkata, kesemua 60 PATI itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah. Mereka terdiri daripada 36 lelaki, 17 perempuan berumur bawah 45 tahun dan lapan kanak-kanak berusia antara satu bulan hingga 4 tahun. - Utusan

Friday, September 18, 2009

60 PATI Indonesia terselamat dalam kejadian bot hampir karam

PELABUHAN KLANG 18 Sept — Pasukan Gerakan Marin (PGM) telah berjaya menyelamatkan 60 pendatang tanpa izin (PATI) warga Indonesia selepas bot yang mereka naiki hampir karam di Laut Selat Rawa, Pulau Ketam, di sini, pagi ini.

Dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu, kesemua mangsa iaitu 35 lelaki, 17 wanita dan lapan kanak-kanak, berusia antara sebulan dan 50 tahun, sedang dalam perjalanan dari jeti Pulau Ketam ke Dumai, Indonesia, untuk pulang menyambut Aidilfitri.

Pemangku Pegawai Pemerintah PGM Pelabuhan Klang ASP Nordin Osman berkata berdasarkan maklumat, empat anggotanya yang sedang menjalankan rondaan, menemui sebuah bot tidak bernombor yang sarat dengan penumpang dan hampir tenggelam kerana dimasuki air.

“Siasatan mendapati mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam sidang akhbar di pangkalan Gerakan Marin di sini.

Nordin berkata kesemua PATI terbabit ditahan di bawah Seksyen 6 (1)© Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) iaitu bagi kesalahan masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.

Katanya mereka turut menahan seorang tekong dan dua awak-awak berusia antara 35 dan 45 tahun yang dipercayai anggota kumpulan sindiket yang membawa keluar PATI secara haram.

“Bot itu sepatutnya hanya boleh memuatkan kira-kira 15 penumpang dan setiap seorang dipercayai membayar kira-kira RM700 sebagai tambang,” katanya.

Seorang mangsa, Sisila Kardiman, 25, yang memangku anak lelakinya berusia sebulan, Mohamad Firdaus, ketika menceritakan pengalamannya kesal dengan tekong yang mungkir janji untuk membawa mereka pulang ke Indonesia menaiki sebuah feri.

“Tekong kata feri dah habis dan kami terpaksa naik bot itu. Kira-kira pukul enam pagi enjin bot yang kami naiki tiba-tiba rosak dan ketika itu hujan, cuaca gelap, angin kuat dan laut bergelora.

“Bila air mula masuk ke dalam bot kami semua panik dan ada yang mula menangis. Syukur Alhamdulillah apabila kami diselamatkan daripada mati lemas,” katanya.

Suami Sisila, Shahril Masud, 31, berkata selama tiga tahun bekerja di Malaysia, baru tahun ini dia ingin pulang beraya di Indonesia tetapi hasratnya tidak kesampaian berikutan kejadian itu. - Utusan

Malaysia tumpuan pelabur baru

KUALA LUMPUR 17 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia secara agresif telah melaksanakan beberapa polisi yang berjaya menguatkan persaingan negara di peringkat global.

Perdana Menteri berkata, antaranya ialah langkah kerajaan memperkenalkan liberalisasi dalam sektor tertentu yang bertujuan menarik lebih ramai pelabur asing supaya terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Dalam masa sama, beliau yakin ia dapat mengekalkan momentum persaingan negara di peringkat global.

''Saya amat gembira dengan pengiktirafan yang diberi oleh rakan niaga kita iaitu United Kingdom (UK) bahawa Malaysia destinasi tumpuan bagi pelabur baru luar negara.

''Kita sebenarnya melakukan satu lonjakan sebaik saja kita memperkenalkan polisi lebih terbuka yang secara khususnya dalam sektor perkhidmatan kewangan,'' katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan yang dikeluarkan UK Trade & Investment (UKTI) di sini hari ini.

UKTI merupakan salah sebuah organisasi kerajaan UK yang berperanan membantu syarikat-syarikat negara itu untuk berjaya di peringkat ekonomi global.

Berdasarkan laporan itu, UKTI mengenal pasti Malaysia sebagai salah sebuah negara yang menjadi tumpuan kepada pelabur antarabangsa.

Malaysia kini berada pada kedudukan kelima dalam konteks negara yang menjadi tumpuan pelabur berbanding tempat ke-13 tahun lalu.

Dalam pada itu, Najib berkata, apa yang dicapai Malaysia turut disokong tenaga kerja yang berbakat serta berbilang bangsa.

''Ini antara pemangkin usaha kita melakukan pembaharuan kepada struktur ekonomi negara selain komitmen kerajaan mempertahankan kedaulatan undang-undang negara.

''Apa yang penting saya yakin dengan kemampuan Malaysia untuk muncul sebagai pesaing utama di peringkat ekonomi global dan sekali gus muncul sebagai destinasi utama bagi pelabur antarabangsa," katanya. - Utusan

PGM Sabah catat 1,064 tangkapan

KOTA KINABALU 17 Sept. - Pasukan Gerakan Marin (PGM) Sabah menangkap seramai 1,064 individu yang terlibat dalam pelbagai kesalahan di perairan negeri sepanjang tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Komander PGM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Abdul Manaf Othman berkata, kebanyakan kes yang direkodkan melibatkan kesalahan Ordinan Perkapalan Saudagar, Akta Imigresen, Akta Kastam dan Akta Perikanan.

"Sepanjang tahun lalu, keseluruhan kes yang kita rekodkan ialah sebanyak 1,482 kes. Bagi tahun ini setakat Ogos, kita telah merekodkan 1,064 kes yang melibatkan pelbagai kesalahan.

"Bagaimanapun, memandangkan Sabah mempunyai kawasan perairan yang luas kes yang paling banyak direkodkan melibatkan Ordinan Perkapalan Saudagar sebanyak 447 kes diikuti dengan Akta Imigresen sebanyak 221 kes," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut beliau, sebanyak 109 kes lagi telah direkodkan melibatkan Akta Perikanan dan 37 kes melibatkan Akta Polis.

Dalam pada itu, beliau berkata, dengan pemantauan yang berterusan dan kelengkapan yang ada pihaknya yakin dapat mengawal keselamatan perairan dengan baik.

Tambahnya, dengan kehadiran bot laju baru jenis 'Watercat M14' yang diperoleh pada Julai lalu, PGM juga yakin dapat menjalankan tugasnya dengan lebih berkesan.

Abdul Manaf memberitahu, sejak bot laju yang boleh memecut selaju 40 knot itu berada di negeri ini, pihaknya telah berjaya membuat rampasan melebihi RM1 juta.

Sementara itu, katanya, PGM akan terus menjalankan pemantauan dan kawalan seperti biasa pada musim perayaan bagi meningkatkan keselamatan perairan negeri.

Justeru, katanya, beliau berharap orang ramai akan terus bekerjasama memberikan maklumat kepada pihak polis mengenai kegiatan jenayah yang berlaku. - Utusan

Pelajar asing cagar pasport pinjam ah long

PUTRAJAYA 17 Sept. - Kegiatan ah long dikesan semakin berleluasa di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dengan menjadikan pelajar luar negara sebagai sasaran.

Terbaru, Biro Pengaduan Awam (BPA) menerima aduan daripada pengurusan IPT swasta di Cyberjaya membabitkan pelajarnya yang mencagarkan pasport antarabangsa kepada 'lintah darat' itu untuk membuat pinjaman.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah berkata, golongan itu dikesan aktif menjalankan kegiatan menjerat pelajar luar negara untuk membuat pinjaman dengan mereka di luar kawasan kampus.

''Pihak universiti merayu kepada kerajaan supaya menghalang sindiket ini daripada mendekati pelajar kerana perbuatan tersebut ternyata menyusahkan pelajar.

''Kebanyakan pelajar ini masih muda dan seronok dapat pegang banyak duit, jadi kita perlu lakukan sesuatu untuk membanteras gejala ini kerana tujuan mereka ke sini adalah untuk belajar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Murugiah menambah, terdapat kes pelajar yang gagal membayar balik pinjaman telah ditahan oleh ah long termasuk dikurung sehingga gagal dikesan oleh pihak pengurusan universiti.

Pelajar itu juga katanya, tidak dapat pulang ke negara asal selepas tamat pengajian ekoran pasport antarabangsa mereka telah dirampas.

Dalam perkembangan berkaitan, BPA akan mengadakan mesyuarat tergempar bersama Jabatan Imigresen, polis, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Kementerian Pengajian Tinggi dan universiti terbabit esok untuk membincangkan beberapa isu berbangkit membabitkan pelajar asing. - Utusan

Thursday, September 17, 2009

Warga asing dipantau sepanjang musim perayaan

KUALA LUMPUR 16 Sept. - Ingatan kepada warga asing yang tidak pulang ke negara asal pada musim perayaan ini; polis akan mengawasi tingkah laku mereka.

Polis Kuala Lumpur menegaskan bahawa pasukan khas akan dihantar ke lokasi-lokasi yang sering menjadi tempat pekerja asing berkumpul.

Lokasi terbabit termasuk di sekitar Hentian Puduraya, Pasar Seni, Sogo dan Masjid Jamek.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman memberitahu, pasukan yang terlibat akan memantau pergerakan pendatang asing terbabit bagi mengelakkan sebarang kejadian jenayah.

"Jika mereka tidak mendatangkan masalah kepada negara dan tiada niat untuk mengganggu gugat keamanan, tidak ada masalah. Kita tidak mahu mereka mengambil kesempatan musim perayaan ini untuk terlibat dalam jenayah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bungkusan kuih raya dan sumbangan wang tunai kepada anak-anak yatim, balu anggota polis, pesara polis dan bekas polis tambahan yang pernah berkhidmat dalam Kontinjen Kuala Lumpur.

Muhammad Sabtu mengulas persediaan kontinjen itu bagi menghadapi segala kemungkinan warga kota meninggal ibu kota menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Muhammad Sabtu berkata, sejak operasi pemantauan di lokasi panas dilancarkan, sebanyak 2.5 peratus kes jenayah menurun di 11 kawasan panas terbabit. - Utusan

PDRM rancang guna satelit cegah penyeludupan manusia

KUALA LUMPUR: Malaysia sering dilabel sebagai negara persinggahan bagi kegiatan pemerdagangan dan penyeludupan manusia selain didakwa kurang bersungguh menangani jenayah merentas sempadan itu.

Hakikatnya daya tarikan Malaysia sebagai negara yang dijadikan transit bukanlah kerana kelemahan kawalan dan penguatkuasaan oleh pasukan keselamatan tetapi kerana kedudukan Malaysia yang mempunyai sempadan laut dan darat yang luas hingga negara ini menghadapi kesan limpahan jika berlaku masalah ekonomi di negara jiran.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, memberitahu Bernama bahawa tiada negara termasuk Malaysia yang mahu atau rela terbabit dalam kancah menyeludup, menjual dan memperdagangkan manusia, kerana jenayah ini dipandang jijik dan bertentangan dengan hak kebebasan manusia.

Namun, katanya, di negara tertentu kegiatan penyeludupan manusia tetap berlaku disebabkan kedudukan geografi dan kemakmuran ekonomi yang menjadi tumpuan rakyat asing hingga Malaysia menjadi mangsa keadaan dengan dijadikan transit kegiatan haram itu.

Musa berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah komited untuk menangani kegiatan haram itu dengan merangka beberapa usaha serta kerjasama komprehensif agar kegiatan memperdagangkan manusia dihapuskan sepenuhnya.

Antaranya Malaysia kini menggiatkan lagi jalinan kerjasama dengan Australia bagi bertukar-tukar dan berkongsi maklumat, pengalaman dan kepakaran masing-masing.

Musa berkata, PDRM kini dalam perancangan untuk mengaplikasikan secara total penggunaan teknologi canggih seperti satelit bagi mengesan dan memantau kedudukan kapal-kapal yang melalui perairan negara terutamanya yang cuba menyeludup manusia keluar ke negara ketiga.

"Jenayah tersebut kemungkinan dapat dikekang dengan menggunakan satelit untuk mengesan dan memantau mana-mana kapal yang mencurigakan. Bagaimanapun kita akan bincang terlebih dahulu cadangan tersebut termasuk penambahan bot untuk kawalan marin kerana ia memerlukan kos yang tinggi," katanya.

Musa berkata, PDRM telah membuktikan komitmennya dalam membanteras jenayah itu apabila memberkas 199 individu yang didapati cuba menyeludup keluar manusia dari negara ini ke negara ketiga sama ada menggunakan jalan laut atau udara dalam tempoh 4 Januari hingga 9 Ogos lalu.

"Kita menangkap 108 warga Afghanistan, tujuh daripadanya cuba keluar secara haram melalui udara, selebihnya melalui perairan, warga Pakistan 47 orang melalui laut dan 10 udara. Yang lain-lain warga Iran, India dan juga Iraq," katanya.

Dalam tempoh itu, 21 orang tekong, 15 daripadanya warga Indonesia dan enam warga tempatan, telah ditahan manakala seramai 14 ketua sindiket, lima dari Iraq, empat dari Iran dan negara lain seperti Pakistan, Sudan, Myanmar turut diberkas.

"Hakikatnya PDRM tidak pernah memejam sebelah mata dalam masalah serius ini dan kita semua tahu bahawa pemerdangan manusia menyebabkan kehidupan normal bertukar kepada mimpi ngeri.

"Justeru kita bersama-sama negara luar khususnya Australia sentiasa berusaha menjejaki dalang yang berada di belakang kegiatan ini, sama ada wujud sindiket di negara hos seperti Pakistan dan Afghanistan, juga bagaimana mereka boleh melalui Indonesia untuk ke Australia dan negara ketiga lain dan siapa yang membantu mereka," katanya.

Beliau berkata, PDRM tidak akan teragak-agak untuk mendakwa pihak yang mendapat manfaat dari mengeksploitasi orang yang diperdagangkan dan pihaknya juga tidak akan berkompromi jika didapati wujud penglibatan oleh penguatkuasa sendiri termasuk mereka yang membuat, mendapatkan, memberi dan menjual dokumen perjalanan atau dokumen pengenalan yang bertujuan membantu kegiatan penyeludupan.

Musa berkata, PDRM bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sentiasa berada dalam keadaan siapsiaga sepenuhnya dan turut memperhebatkan lagi kawalan keselamatan dan rondaan bersepadu di sepanjang perairan negara.

Buktinya, Polis Gerakan Marin (PGM) banyak kali berjaya menumpaskan pelbagai jenayah di perairan hinggakan jenayah lanun dan rompakan laut di Selat Melaka berkurangan dan diharapkan indeks jenayah pemerdagangan manusia juga akan diturunkan hasil rondaan dan pemantauan yang koodinasi dan optimistik.

Beliau berkata, jika kegiatan haram itu mahu dicegah, perlu ada kesepakatan antara negara-negara berkenaan khususnya dalam aspek pertukaran maklumat, perkongsian kepakaran dan pembentukan undang-undang seragam untuk memastikan aktiviti memasuki negara secara tidak sah itu dapat dibendung di peringkat akar umbi.

"Kita punya kemampuan untuk membuat pemantauan sendiri tanpa bantuan lain tetapi jika ia sudah terkeluar dari sempadan negara kita, takkan kita nak ceroboh. Inilah pentingnya kerjasama bersama negara luar seperti Australia" katanya.

Beliau berkata, Malaysia bukan sahaja dilihat sebagai negara transit malahan juga negara destinasi apabila warga negara lain masuk ke negara ini untuk mencari kerja atau menggunakan negara ini sebagai perlindungan apabila negara mereka terlibat dalam peperangan.

"Kita mahukan pelancong bagi menggalakkan sektor pelancongan dan ekonomi negara tetapi mereka ini yang datang secara halal kemudiannya tidak mahu balik ke negara masing-masing atau menyeludup ke luar ke negara ketiga. Pelarian yang datang secara haram juga kita terpaksa tanggung, jadi beban kepada kita," katanya. - Berita Harian

Wednesday, September 16, 2009

MEF, MTUC Support Creche Idea

KUALA LUMPUR, Sept 16 (Bernama) -- In principle, employers are supportive of the government's proposal to set up creches and nurseries, provided a suitable and reliable system be put in place, the Malaysian Employers Federation (MEF) said Wednesday.

Executive director Shamsuddin Bardan said the system should be operated by the government with fully-equipped creches run by qualified and well-trained local teachers and minders.

The system should also ensure affordable fees and provide employers proper incentives to encourage them to subsidies the employees.

He was commenting on the government's call to employers to provide subsidised creches for their employees' children.

Shamsuddin told Bernama that a well-run system would encourage more women to enter the labour market, thus helping to reduce dependency on foreigners.

He said it was not practical for individual employers to set up creches and nurseries as it would be too expensive and not economical.

According to him, local women currently comprised only 46.7 per cent or approximately three million of the total workforce.

"With a proper system, this could be increased to 60 per cent or 4.2 million women workers in the country's labour force," he said.

Currently, there are more than 300,000 foreign maids in the country.

Shamsuddin said fees for creches should be capped at RM150 per month and employers should be given double tax deductions.

What this means is that if employers provide a RM300 subsidy, they should be given RM600 in tax deductions.

If the government was serious about the proposal, it could include the double tax deduction in the forthcoming budget next month so that planning for setting up of creche and nurseries could begin by early next year, he said.

Meanwhile, the Malaysian Trades Union Congress (MTUC) said it was always supportive of the proposal and suggested that to kick-start the programme, such nurseries be set up within existing schools.

"What could be done is to allocate a special area within the school compound to set up these nurseries," said its general secretary, G. Rajasegaran, adding that unemployed graduates could be roped in and trained to be teachers. -- BERNAMA

Amah perompak

SUBANG JAYA: Jatuh cinta dengan koleksi set pinggan mangkuk berjenama dan barangan perhiasan mewah milik majikannya mendorong seorang amah warga Indonesia bertekad menyewa lori satu tan bagi mengangkut semua set berkenaan sebelum menghilangkan diri.

Pembantu rumah berusia 38 tahun terbabit hanya memilih set pinggan mangkuk buatan luar negara selain permaidani dan langsir milik majikannya selepas merancang perbuatan jenayah itu sejak lebih tiga bulan lalu.

Majikan suspek yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 52, berkata dia langsung tidak percaya kejadian terbabit menimpanya berikutan pembantu rumah yang dikenali Lindawati atau Leni dianggap seperti adik kandung.

Menurutnya, Leni yang berasal dari Medan mula bekerja dengannya sejak tiga tahun lalu selepas dia membayar lebih RM3,000 kepada ejen pembantu rumah tempatan.

“Sejak mula bekerja di rumah saya, Leni menunjukkan sikap lemah-lembut dan rajin menguruskan rumah kami walaupun saya suri rumah tangga sepenuh masa.

“Sukar untuk percaya Leni sanggup melakukan perbuatan jenayah terancang itu berikutan dia kerap menunaikan solat lima waktu selain membaca al-Quran hampir setiap malam,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tembelang sebenar pembantu rumahnya itu hanya terbongkar Ahad lalu apabila tuan rumah berkenaan dan suami keluar untuk mengambil anak lelaki mereka berusia 11 tahun yang tamat menghadiri perkhemahan di sekolah.

“Saya dan suami keluar rumah kira-kira jam 10 pagi sebelum pulang semula tiga jam kemudian.

“Bagaimanapun, perasaan curiga timbul apabila mendapati Leni tidak muncul untuk membuka pintu seperti kebiasaannya. Akibatnya saya yang puas memanggil namanya dari pintu pagar terpaksa menggunakan kunci pendua untuk masuk ke rumah,” katanya.

Menurutnya, dia dan suami bagaimanapun terkejut apabila mendapati pintu jeriji besi di belakang rumah terbuka dengan kunci dicampak ke lantai dapur.

“Ketika itu baru saya menyedari pelbagai set pinggan mangkuk dan barang perhiasan hilang. Malah, semua beg pakaian milik Leni turut tiada dalam biliknya.

“Beberapa jiran berhampiran mendakwa sempat melihat pembantu rumah saya itu keluar dan membuat panggilan telefon di pondok telefon berdekatan,” katanya.

Menurutnya, tidak lama kemudian, sebuah lori satu tan muncul dan masuk ke lorong di belakang rumah teres didiami sebelum berhenti tidak jauh dari pintu belakang rumahnya.

“Ketika itu, pembantu rumah saya mengusung keluar puluhan kotak berisi barang curi yang dimuatkan dalam lori berkenaan. Apabila beberapa jiran bertanya, Leni dengan selamba memberitahu kononnya tuan rumah mahu berpindah.

“Dia terus cabut lari bersama perkakas dapur, koleksi pinggan mangkuk dibeli dari United Kingdom, permaidani, langsir, baju serta basikal milik suami saya yang dianggarkan semuanya bernilai lebih RM10,000,” katanya.

Menurutnya, dia tidak sangka segala kebaikannya selama ini dibalas ‘racun’ oleh pembantu rumah terbabit sedangkan dia tidak pernah berkasar apatah lagi meninggikan suara.

“Selain gaji RM450 sebulan yang dibayar tetap, makan dan pakaiannya turut disediakan. Perbuatannya itu sekali gus membuktikan kehilangan misteri wang tunai dalam rumah sebelum ini turut dilakukan Leni.

“Sebelum ini, kerap kali wang saya atau suami hampir RM3,000 lesap, namun kami menyangka ia disorokkan makhluk halus tanpa mengesyaki ia perbuatan Leni,” katanya.

Susulan itu, mangsa yang masih menyimpan pasport milik suspek membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya di sini.

“Saya percaya dia masih berada di negara ini dan orang ramai yang mengenalinya diminta menghubungi polis supaya dia dapat diberkas dan dihukum,” katanya. - Harian Metro

2 warga Bangladesh dibunuh

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my


SEREMBAN 15 Sept. - Seorang pekerja warga Bangladesh yang bangun untuk bersahur di sebuah asrama pekerja, terkejut apabila menemui mayat dua rakannya yang dibunuh dengan kejam.

Mayat Abdul Kader Fazer Ali, 22, dan Shahin Md. Amir Hossai, 24, ditemui dengan beberapa kesan kelaran di leher dan tikaman pada badan.

Kejadian berlaku di asrama pekerja sebuah kilang di Taman Kemuning Senawang, di sini awal pagi ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, kedua-dua mangsa dipercayai mati di tempat kejadian.

Kejadian itu, katanya, dipercayai berlaku sekitar pukul 2 pagi. Namun, ia hanya disedari oleh pengawal keselamatan di asrama tersebut pukul 4.10 pagi ketika salah seorang penghuni asrama terbabit bangun untuk bersahur.

''Sebaik sahaja menerima laporan, polis terus bergegas ke asrama itu yang menempatkan pekerja Bangladesh di kilang Pertanian Pertiwi Sdn. Bhd. di Senawang,'' kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di sini hari ini.

Kata beliau, berdasarkan pemeriksaan awal, polis menemui seorang mangsa di tempat tidur, manakala seorang lagi ditemui di dapur asrama berkenaan, di mana kedua-duanya terdapat kesan kelar pada leher dan tikaman di beberapa bahagian badan.

''Kita juga menemui seorang lagi mangsa dalam keadaan cedera. Dia yang berusia lingkungan 20-an dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk rawatan kecemasan. Keadaannya kini stabil,'' jelas beliau.

Polis mengklasifikasikan kes ini sebagai kes bunuh dan kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

''Polis juga menemui dua bilah pisau dan dua garpu dengan kesan darah yang dipercayai digunakan seorang suspek.

''Di luar kawasan asrama itu, polis menemui satu helai baju dan seluar jeans yang mempunyai kesan darah, dipercayai milik suspek,'' tegas beliau.

Osman menjelaskan, asrama berkenaan menempatkan 17 pekerja warga Bangladesh dengan permit kerja sah. Ketika kejadian, terdapat empat orang pekerja berada di kilang, sementara sembilan lagi tidur dan tidak menyedari dua rakan mereka dibunuh dan seorang dicederakan.

''Sehingga kini, cuma seorang sahaja yang masih gagal dikesan dan telah menghilangkan diri. Kes ini tiada kena mengena dengan samun kerana tidak ada kesan pecah masuk dalam bilik asrama tersebut,'' tegas beliau.

Sehubungan itu, polis sedang mencari seorang lelaki Bangladesh, Olier Sheikh, 26, yang juga pekerja di kilang berkenaan bagi membantu siasatan kes ini.

Osman berkata, kesemua sembilan pekerja yang berada dalam asrama ketika kejadian itu kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban untuk diambil percakapan, sementara polis menunggu mangsa yang cedera itu pulih untuk diambil keterangannya. - Utusan

Tuesday, September 15, 2009

Tiga sekeluarga, ibu tunggal minta bicara kes dagang manusia

KOTA BAHARU: Tiga sekeluarga dan seorang ibu tunggal hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan terhadap dua pertuduhan memperdagangkan 12 warga Myanmar pada 9 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan pertama, kesemua tertuduh, Sahaidi Salleh, 46; Siti Rashidah Razali, 25, seorang ibu tunggal, Mohammad Hafizan Sahaidi, 19, dan Mohd Hazwan Sahaidi, 21 mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memperdagangkan tiga kanak-kanak warga Myanmar iaitu Rahina, 12, Suabidah, sembilan, dan Solihah, dua tahun, bagi maksud mengeksploitasi.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah di Kampung Kubang Panjang, Lemal, Pasir Mas, kira-kira jam 7.20 malam.

Kesemua tertuduh meminta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Anti Memperdagangkan Orang 2007 dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara minimum tiga tahun dan maksimum 20 tahun serta boleh didenda.

Di hadapan Hakim Rofiah Mohammad pula, keempat-empat tertuduh mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan untuk pertuduhan kedua, iaitu memperdagangkan sembilan warga Myanmar berumur antara 20 sehingga 41 tahun bagi maksud mengeksploitasi, pada tarikh, tempat dan masa yang sama.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 12 Akta yang sama, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan boleh juga didenda.

Pada prosiding hari ini, Sahaidi, yang merupakan tertuduh keempat, juga menukar pengakuan dan meminta untuk dibicarakan terhadap kedua-dua pertuduhan selepas ia dibacakan. Sebelum ini beliau mengaku bersalah atas dua tuduhan ketika sebutan kes itu pada 20 Ogos lalu.

Keempat-empat tertuduh diwakili peguam Ahmad Nizam Mohamed dan Muhammad Hasif Hassan sementara pendakwaan pula dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nooriah Osman.

Terdahulu, Nooriah memohon satu tarikh baru untuk sebutan semula kes bagi mengambil keterangan orang yang diperdagangkan. Menurutnya, pihak pendakwaan dan pembelaan sepakat supaya keterangan mangsa dalam kes ini direkodkan di hadapan Majistret Pasir Mas pada 30 September dan 1 Oktober ini.

Hakim Wan Fadhilah dan Rofiah menetapkan 15 November depan untuk sebutan semula kes.- Harian Metro

Polis siasat dakwaan bantu PATI dapat MyKad

KOTA KINABALU 14 Sept. - Polis Sabah masih menjalankan siasatan terhadap dakwaan kononnya terdapat pihak tertentu di negeri ini membantu pendatang asing tanpa izin (PATI) mendapatkan MyKad.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, polis menganggap dakwaan itu amat serius dan akan melakukan siasatan secara menyeluruh.

"Kami akan meneliti laporan tersebut dan jika ianya benar berlaku, kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka yang terbabit.

"Bagaimanapun, pada masa ini kami sedang menjalankan penyiasatan secara terperinci," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan kuih raya kepada semua ketua polis daerah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Timbalan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Kong Hong Ming baru-baru ini mengenai wujudnya usaha mendaftarkan PATI di Kampung Kalabakan Tengah, Tawau bagi mendapatkan MyKad.

Hong Ming dalam kenyataan itu mendakwa, kira-kira 200 PATI dibawa ke kampung terbabit oleh kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara untuk mendaftar bagi mendapatkan MyKad.

Menurut Noor Rashid, kes ini disiasat mengikut Peraturan 25 (1) (e), Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

"Pada masa ini, belum ada sebarang tangkapan dan kes ini masih disiasat sama ada ia benar atau sebaliknya kerana ianya hanya dakwaan sahaja.

"Kami juga meminta kerjasama semua pihak supaya memandang serius perkara tersebut dan segera membuat laporan jika berlaku pemalsuan MyKad," ujarnya. - Utusan

Monday, September 14, 2009

RM600 memadai

Oleh Kamarulzaman Pid
amar@hmetro.com.my


PUTRAJAYA: Gaji RM600 sebulan yang dibayar majikan negara ini kepada pembantu rumah warga Indonesia adalah kadar paling setimpal dan mengikut kemampuan rakyat Malaysia.

Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa), Datuk Raja Zulkepley Dahalan, berkata pemberian gaji itu tidak boleh dibandingkan dengan negara lain seperti Taiwan dan Timur Tengah berikutan perbezaan ketara daripada segi pertumbuhan ekonomi negara dan pendapatan per kapita penduduk.

“Jika di Taiwan, pembantu rumah dibayar gaji sekitar RM1,300 sebulan dan di Timur Tengah, sekitar RM800 sebulan, tetapi di negara ini, gaji sebanyak RM600 sebulan adalah amat berbaloi sekali kepada majikan dan pembantu rumah.

“Di Taiwan dan Timur Tengah, pendapatan majikan di sana berlipat kali ganda jika dibanding majikan di negara ini dan berikutan itu perbandingan dengan negara luar dalam soal pemberian gaji kepada pembantu rumah ini kurang sesuai dilakukan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Raja Zulkepley berkata, permintaan kerajaan Indonesia supaya pembantu rumah mereka diberikan gaji sebanyak RM800 sebulan terlalu tinggi jika dibandingkan dengan pendapatan majikan di negara ini.

“Apa yang kita mahu supaya gaji yang diberikan setimpal dengan perkhidmatan yang diberikan pembantu rumah.

“Gaji RM600 sebulan yang diberikan kepada mereka adalah pada kadar kemampuan majikan di Malaysia dan sesuai dengan perkhidmatan yang diberikan pembantu rumah dari Indonesia berdasarkan tahap pendidikan dan latihan yang diterima sebelum berkhidmat di sini,” katanya.

Beliau berkata, dalam soal gaji bulanan pembantu rumah ini, majikan diharap memahami dengan jelas bahawa jika mereka membayar gaji yang murah, mereka tidak boleh mengharapkan perkhidmatan terbaik daripada pembantu rumah.

“Cara yang paling baik ialah mendapatkan pembantu rumah melalui agensi yang berdaftar dengan Papa kerana kita akan pastikan gaji yang perlu dibayar adalah standard dan di samping itu, apa yang paling penting, mereka memasuki negara ini secara sah.

“Banyak masalah timbul apabila pembantu rumah diambil daripada sindiket dan mereka memasuki negara ini secara tidak sah,” katanya. - Harian Metro

Buru amah kebas RM10,000

SUBANG JAYA: Polis memburu seorang wanita warga Indonesia yang dikenali sebagai Safitri, 27, berhubung kes dakwaan menghilangkan diri selepas mencuri barangan berharga milik majikannya di Subang Jaya, baru-baru ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah, Balai Polis Subang Jaya, Sarjan Salehhuddin Shaari di talian 03-56332222 atau Adam Fitri di talian 016-2444516.

Harian Metro Jumaat lalu melaporkan seorang amah warga Indonesia sanggup menggunakan kemenyan diukir umpama manusia tanpa kepala bagi tujuan menundukkan majikannya.

Pembantu rumah itu menghilangkan diri bulan lalu selepas melesapkan wang tunai, telefon bimbit dan barang kemas berjumlah RM10,000. - Harian Metro

NGO landasan terbaik cipta kedamaian


RAJA Dr. Nazrin Shah menyampaikan kurniaan kepada Francis Yap dari Persatuan Kebajikan Orang-orang Kurang Upaya (OKU) Ipoh di Majlis Penyampaian Kurniaan Yayasan Sultan Azlan Shah di Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh, semalam.

IPOH 13 Sept. - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, badan-badan amal dan kebajikan adalah platform yang baik untuk menyatukan hasrat dan usaha membina negara Malaysia yang aman damai.

Titah baginda, ini kerana badan itu dapat mempertemukan hati warga Malaysia yang ingin mencari kebaikan dan melaksanakan kebajikan.

"Pelbagai agama dan kumpulan etnik, dari pelbagai strata sosial dan status ekonomi dapat menggabungkan sumber, tenaga, fikiran dan usaha secara produktif lagi konstruktif melakukan kerja-kerja murni," titah baginda di sini hari ini.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Penyampaian Kurniaan Yayasan Sultan Azlan Shah di Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini hari ini.

Sebanyak 71 pertubuhan sukarela, badan amal dan kebajikan dari pelbagai agama dan kumpulan etnik di negeri ini menerima bantuan berjumlah RM1.42 juta.

Tahun lalu, yayasan itu menyampaikan bantuan berjumlah RM1.18 juta kepada 59 organisasi.

Raja Nazrin bertitah, organisasi tersebut dapat memperlihatkan semangat pengorbanan tinggi di samping menyemai semangat ingin memberi daripada menerima di kalangan warga Malaysia.

"Adalah menjadi harapan agar kurniaan ini dapat terus memberikan inspirasi, semangat dan tenaga kepada pelbagai badan amal untuk terus melaksanakan usaha-usaha murni demi manfaat dan kebaikan rakyat jelata," titah baginda.

Baginda bertitah, setiap organisasi yang menerima bantuan perlu mengemukakan akaun tentang kaedah wang tersebut dibelanjakan.

"Laporan kewangan yang dikemukakan itu akan dapat membantu urus setia yayasan membuat penilaian sebelum memperakukan apa-apa kurniaan di masa depan," titah baginda.

Raja Nazrin bertitah, al-Quran menyeru manusia mengerjakan ibadah dan melakukan amal jariah.

Baginda bertitah, segala peristiwa dan setiap kejadian merupakan ujian terhadap tahap keimanan dan ketakwaan, serta sifat sabar, tabah, yakin dan bersyukur.

Titah baginda, kejayaan adalah anugerah Ilahi dan ia wajib diurus dengan baik kerana kejayaan tidak kekal selamanya jika disalah urus.

"Kejayaan yang berjaya diuruskan secara amanah dan cekap akan membina kejayaan yang lebih gemilang.

"Manusia tidak harus alpa malah wajib mencerminkan sifat kesyukuran dan mengamalkan budaya berterima kasih setelah mencapai atau dikurniakan kejayaan," titah Raja Nazrin. - Utusan

Indonesia perlu bertindak

IPOH 13 Sept. - Kerajaan Indonesia digesa mengambil tindakan tegas dan segera membendung penularan 'anasir-anasir jahat' yang cuba merenggangkan hubungan antara kedua-dua negara kebelakangan ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (gambar) berkata, beliau bimbang sekiranya situasi seumpama itu dibiarkan, ia akan menyebabkan keadaan bertambah buruk.

''Saya minta kerajaan Indonesia mengambil tindakan yang tegas dan cepat supaya jangan biarkan mereka yang membuat angkara ini merebak.

''Malaysia juga mesti berhati-hati kerana apabila punca yang berlaku ini jika tidak ditangani nanti, saya bimbang risikonya akan lebih besar," katanya kepada pemberita selepas hadir pada program Nur Hidayah di Masjid Ar-Rahman di Kampung Sungai Tapah di sini hari ini.

Beliau mengulas pendapat Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia hari ini yang menyentuh tentang sentimen kebencian yang disemarakkan oleh pihak-pihak tertentu di Indonesia terhadap Malaysia.

Antara yang dibangkit dan dipertikaikan oleh pihak anti Malaysia tersebut termasuklah soal tarian Pendet Bali, lagu Negaraku dan tuntutan gaji minimum pembantu rumah negara itu sebanyak RM800 sebulan.

Mengulas lanjut, katanya, ramai pekerja asing termasuk dari Indonesia terutamanya pembantu-pembantu rumah datang ke Malaysia kerana mereka menerima layanan yang baik daripada para majikan masing-masing.

Sehubungan itu, ujar beliau, hubungan yang terjalin secara tidak langsung antara rakyat kedua-dua negara wajar dipelihara dengan baik.

''Jangan terguris hati orang Malaysia sebab kita sayang 'keluarga' kita daripada Indonesia. Saya bercakap sebagai seorang ibu dan orang (majikan) yang mempunyai pembantu rumah," katanya.

Shahrizat juga berharap, pihak berkuasa di negara ini akan melakukan tindakan sama terhadap pihak-pihak tertentu yang cuba mengeruhkan hubungan yang telah terjalin dengan negara jiran itu sejak sekian lama. - Utusan

Sunday, September 13, 2009

Warga Bangladesh maut dihempap karung beras

PENDANG 12 Sept. - Malang tidak berbau. Seorang lelaki warga Bangladesh yang sedang menampal sebuah karung beras bocor, maut setelah tiba-tiba dihempap karung berkenaan.

Karung besar mengandungi beras seberat satu tan tersebut menghempap mangsa yang dikenali sebagai Nuru Nabi, 33, bersama sebuah lagi karung mengakibatkan dia cedera parah.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi di sebuah kilang beras di Bukit Raya ketika mangsa sedang menampal sebuah karung beras yang bocor.

Bagaimanapun ketika dia memanjat, para menyimpan karung itu runtuh lalu menghempapnya.

Rakan sekerjanya, Mohd. Fadzli Amir Ramli, 31, memberitahu, dia bersama mangsa sedang memunggah karung-karung beras dari sebuah lori dengan menggunakan trak angkut susun.

"Ketika saya mengambil karung beras dari sebuah lori yang terletak kira-kira 25 meter dari tempat kejadian, tiba-tiba saya terdengar ada benda terjatuh.

"Mula-mula saya ingat, hanya karung beras itu terjatuh tetapi terkejut rupanya ia menimpa mangsa," ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Supritendan Abdul Aziz Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.

"Siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut," katanya. - Utusan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...