Wednesday, December 9, 2009

Suami miang tergoda ‘gadis kacang’

MANJUNG: Menyelam sambil minum air adalah ungkapan tepat menggambarkan sikap sesetengah suami miang di daerah ini menggunakan alasan keluar minum bersama rakan untuk menggatal dengan wanita warga asing yang majoritinya berusia sebaya atau lebih muda daripada anak gadis mereka.

Taktik mengupah wanita warga asing yang cantik dan seksi untuk menggoda dan membelai mesra pelanggan ‘berusia’ bukan perkara baru, tapi dilihat semakin menjadi-jadi di daerah ini dan menular hingga ke kawasan ladang kelapa sawit sehingga Manjung kini dilabel sebagai pusat hiburan alternatif kedua di Perak selepas Ipoh.

Namun, rasa hairan mula bermain di benak fikiran isteri sejak beberapa bulan kebelakangan ini melihatkan perubahan ketara suami semakin jarang menggayakan baju pagoda dan seluar pendek sebaliknya digantikan dengan gaya pemakaian kemas serta semburan minyak wangi, seolah-olah mahu keluar bermesyuarat.

Memikirkan isteri tidak kisah dengan perubahan penampilan diri, suami semakin leka dan hanyut dalam dunia fantasi mereka akibat tergoda serta termakan pujuk rayu pelayan wanita warga asing yang turut digelar gadis kacang.

Akibatnya, suami semakin lewat pulang ke rumah, ada masanya hanya balik keesokan hari dan mengabaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Beberapa isteri hilang sabar dan pelik dengan perubahan sikap suami mereka, bersepakat menyiasat aktiviti dilakukan suami setiap kali keluar minum teh bersama rakan.

Mereka terkejut mendapati suami bukan saja meneguk minuman keras, malah memeluk ghairah wanita warga asing.

Pendedahan eksklusif dibuat hasil tinjauan wartawan Harian Metro selama beberapa hari di daerah ini, membongkar kewujudan semakin banyak premis menyediakan khidmat gadis kacang.

Perkara itu diakui Ketua Jabatan Imigresen cawangan Lumut, Zaidi Dali mendakwa menerima aduan wanita tempatan di sekitar daerah ini yang menemui pegawainya atau menghubungi mereka mengenai kehadiran wanita warga asing di kawasan mereka.

“Mereka mengadu kehadiran wanita warga asing di premis seperti di warung minuman atau restoran berhampiran tempat tinggal sehingga menjejaskan rumah tangga,” katanya. - Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...