Saturday, December 5, 2009

Rumah urut ‘geli-geli’

GOMBAK: Popular dengan jolokan rumah urut ‘geli-geli’ menyebabkan ramai lelaki berstatus suami sanggup berhabis duit ratusan ringgit hampir setiap minggu semata-mata melampiaskan nafsu bersama gadis urut yang kebanyakannya wanita seberang.

Kebanyakan gadis urut seks yang beroperasi di sekitar Gombak itu dikesan menggunakan rumah persendirian yang disewa atau milik penghuni tempatan untuk menjalankan kegiatan itu yang mampu memberi keuntungan sehingga RM500 sehari.

Kegiatan terbabit, bagaimanapun dilumpuhkan selepas sepasukan 63 anggota Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dibantu lapan pegawai Imigresen dan lima anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak melakukan operasi di dua lokasi berasingan.

Dalam operasi pertama kira-kira jam 6 petang, pegawai MPS menyerbu sebuah rumah di tingkat tiga bangunan rumah kedai di Sentral Point, Batu Caves.

Pegawai Bahagian Penguat Kuasa MPS, Ahmad Faisal Badiuzaman, berkata dalam serbuan pertama itu, seorang wanita tukang urut kelam-kabut menyarungkan baju yang berselerakan di lantai bilik tidur.

Menurutnya, wanita Indonesia berusia 30-an ketika itu dalam keadaan separuh bogel bersama seorang lelaki tempatan yang dipercayai berasmara dalam bilik tidur terbabit.

“Hasil pemeriksaan di rumah itu, MPS mendapati tiga bilik tidur diubah suai menjadi bilik rawatan batin dan urutan tradisional dilengkapi tilam dan kipas angin.

“Pemeriksaan mendapati dua wanita asing yang menawarkan perkhidmatan istimewa di rumah itu dengan harga RM50 hingga RM80 bagi setiap kali sesi rawatan,” katanya.

Dalam serbuan kedua di satu lagi lokasi berasingan, MPS terpaksa menggunakan alat umpil selepas usaha meminta penghuninya membuka pintu gagal.

“Penguat kuasa MPS yang yakin terdapat penghuni di dalamnya mengetuk pintu berkenaan hampir 15 minit namun penghuni ‘mematikan’ diri dalam rumah.

“Namun selepas tiga anggota MPS mula mengumpil jeriji besi pintu, seorang wanita muncul sebelum membuka pintu. Siasatan menemui seorang wanita berusia 20-an bersama seorang lagi rakannya,” katanya.

Menurutnya, dua wanita terbabit dipercayai bekerja sebagai tukang urut di rumah berkenaan yang dimiliki seorang wanita tempatan.

Menurutnya, MPS akan mengambil tindakan Akta Undang-undang kecil (UUK3) Pusat Kesihatan dan Kecantikan MPS 2007 dengan mengenakan kompaun RM1,000 kepada pemilik rumah terbabit.

Pada masa sama, penguat kuasa MPS turut menyita semua tilam dan peralatan digunakan di kedua-dua rumah terbabit. - Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...