Friday, December 11, 2009

Lelaki asing ditahan cuba ceroboh rumah jiran

SEREMBAN: Tindakan pantas seorang lelaki sebaik menerima panggilan telefon dari adik iparnya, berjaya menghalang seorang lelaki warga asing yang cuba menceroboh rumah mertuanya dalam satu kejadian 11 malam tadi di Taman Senawang Jaya.

Lelaki itu, Izwan Sadikin, 39, berkata beliau sedang berehat apabila menerima panggilan telefon dari adik ipar perempuannya yang berusia 19 tahun, meminta pertolongan.

"Adik ipar saya telefon. Katanya, 'bang ada orang nak masuk rumah'. Suara adik ipar saya benar-benar dalam ketakutan...ketika itu keluarganya tiada di rumah," katanya.

Selepas itu, beliau terus menuju ke rumah adik iparnya yang tinggal tidak jauh dari rumahnya.

Semasa beliau tiba, lelaki warga asing yang sedang memecahkan pintu depan rumah menggunakan besi itu terkejut dan terus melarikan diri apabila ternampak Izwan.

Suspek adalah jiran sebelah mangsa dan menetap bersama dengan 12 lelaki lain dipercayai warga asing.

Izwan kemudian menghubungi anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) di taman itu dan mereka berjaya menemui lelaki terbabit sedang bersembunyi di rumah sewa seorang rakannya tidak jauh dari situ.

Suspek kemudian ditahan dan diserahkan kepada polis.

Pengerusi SRS Taman Senawang Jaya, Datuk Rohani Shariff, berkata itu adalah kejadian pertama seumpama itu di taman berkenaan.

Beliau juga menasihatkan penduduk supaya lebih berhati-hati terhadap pekerja warga asing yang tinggal di taman itu. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...