Wednesday, December 16, 2009

Kemasukan Warga Afrika Dipantau Imigresen - Jelaing


KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Kemasukan warga Afrika dipantau oleh pihak Imigresen untuk memastikan mereka masuk ke negara ini benar-benar pelancong, Timbalan Menteri Dalam Negeri Jelaing Mersat memberitahu Dewan Negara Selasa.

Beliau berkata statistik Imigresen menunjukkan seramai 99,769 warga Afrika datang ke Malaysia antara Jan dan Okt tahun ini.

"Sehingga 31 Okt 2009, operasi penguatkuasaan yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mencatatkan 153 jumlah tangkapan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002," katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Rizuan Abd Hamid pada Persidangan Dewan Negara di sini Selasa.

Katanya antara yang ditangkap pihak Imigresen adalah 69 warga Nigeria, 25 warga Sudan, 16 warga Bostwana, 14 warga Algeria dan 10 warga Zimbabwe.

Jelaing berkata 76 peratus yang ditangkap atas kesalahan tinggal melebihi tempoh. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...