Monday, December 14, 2009

KDN minta IPTS pantau pelajar asing

KOTA BHARU 13 Dis. - Beberapa institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) diselar kerana mengutamakan keuntungan semata-mata dan gagal memantau aktiviti pelajar asing yang melanjutkan pelajaran di institusi kelolaan mereka.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mahmood Adam berkata, IPTS sepatutnya melaporkan kepada Jabatan Imigresen jika ada pelajar tidak hadir ke kuliah melebih 40 peratus daripada jumlah kelas dalam setiap semester.

Menurutnya, ia perlu dilakukan bagi membendung kes penyalahgunaan visa pelajar.
"Kita memberi amaran kepada mereka supaya jangan mementingkan keuntungan semata-mata kerana ada pelajar asing ini menimbulkan masalah dengan menyalahgunakan pas pelajar.

"Kalau pelajar ini tidak hadir ke kuliah melebihi waktu yang ditetapkan, segera lapor kepada pihak berkuasa dan kita akan ambil tindakan termasuk membatalkan visa pelajar ini serta-merta," katanya kepada pemberita pada majlis Hari Bertemu Pelanggan KDN di sini hari ini.

Program itu dirasmikan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin. Hadir sama Ketua Polis Kelantan, Datuk Abd. Rahim Hanafi.

Mahmood berkata, kebanyakan kes salah guna pas pelajar disebabkan kegagalan beberapa IPTS untuk melaporkan aktiviti pelajar mereka kepada pihak berkuasa.

Jelasnya, walaupun beberapa prosedur penapisan diperketatkan, namun sukar untuk mengesan pelajar yang betul-betul berhasrat untuk meneruskan pelajaran.

"Sebab inilah IPTS perlu memainkan peranan mereka. Kalau di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tidak berlaku masalah ini kerana aktiviti pelajar dipantau dengan baik.

"Bagi pelajar IPTS, kementerian memang buat saringan keselamatan tetapi itu bukan bermaksud mereka boleh lepas tangan sebaliknya kita mahu kerjasama penuh pihak IPTS," tambahnya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...