Monday, December 7, 2009

Johor: Pekerja asing tampung buruh tempatan

KEKURANGAN pekerja tempatan bagi mengisi kekosongan jawatan yang didaftarkan majikan melalui portal perkhidmatan JobsMalaysia untuk negeri ini mengakibatkan pihak majikan terpaksa menggajikan pekerja asing dari beberapa negara sumber.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, M Asojan, berkata menerusi tawaran jawatan kosong di portal berkenaan menyaksikan 31,740 ditawarkan bagi mengisi jawatan terutama dalam sektor pembuatan untuk pekerjaan pekerja asas dan operator mesin.

"Pengambilan pekerja asing ini adalah berpunca daripada kurangnya pekerja tempatan yang dapat mengisi kekosongan jawatan yang ada dan bagi memastikan tahap kelicinan operasi dapat dikekalkan.

"Begitupun, penggajian pekerja asing ini adalah langkah sementara bagi mengisi kekosongan jawatan di beberapa sektor yang memerlukan termasuk pembuatan, pembinaan dan pertanian," katanya ketika sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Negeri Johor ke-12 di sini, Jumaat lalu.

Asojan berkata, walaupun kehadiran pekerja asing ini secara tidak langsung membantu pembangunan negara, namun ia tetap memberi kesan kepada masyarakat setempat apabila terdapat majikan bertindak menempatkan mereka di asrama kilang yang terletak di taman perumahan berdekatan tempat kerja mereka.

Katanya, tindakan itu sedikit sebanyak mewujudkan masalah sosial dan keselamatan apabila ada di kalangan penduduk tempatan berasa tergugat dengan kehadiran mereka dalam jumlah yang ramai selain mereka turut dipercayai tidak memahami adat resam dan budaya di negara ini.

"Sehubungan itu, kerajaan mewajibkan setiap pekerja asing menghadiri Kursus Induksi di mana modulnya termasuk mempelajari adat resam, budaya dan agama di negara ini walaupun masih terdapat ramai daripada mereka yang gagal menyesuaikan diri dengan budaya tempatan.

Asojan berkata, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda) juga bekerjasama dengan unit Perancang Ekonomi Negeri Johor, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa serta beberapa agensi lain termasuk pihak berkuasa tempatan bagi menempatkan pekerja asing ini. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...