Saturday, December 12, 2009

Isu Pembekuan Pembantu Rumah Dibincang Di Jakarta Pada Januari

MUADZAM SHAH, 11 Dis (Bernama) -- Malaysia berharap mesyuarat keempat Jawatankuasa Kerja bagi Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia yang akan diadakan di Jakarta pada Januari ini bakal membawa satu keputusan muktamad.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan, berkata mesyuarat berkenaan dijangka membincang dan membuat keputusan mengenai beberapa isu tertangguh termasuk mengenai gaji pembantu rumah dan struktur kos yang melibatkan bayaran yang perlu ditanggung majikan bagi menamatkan isu pembekuan pembantu rumah asing oleh kerajaan Indonesia.

"Kita sedang melihat kepentingan terhadap kedua-dua pihak iaitu pekerja dan majikan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Bumi Hijau Universiti Tenaga Nasional Kampus Sultan Ahmad Shah di sini Jumaat.

Maznah berkata bahawa pada pertemuan lepas, Malaysia mengemukakan modul program latihan untuk dipatuhi setiap agensi pembantu rumah Indonesia dalam membantu daripada segi penyediaan mental dan praktikal pembantu rumah berkenaan.

"Kita kerap mendapat aduan daripada majikan yang mengatakan ada antara mereka (pembantu rumah) tidak tahu apa-apa dalam menjalankan tugas," katanya.

Maznah berkata modul latihan itu juga menjelaskan mengenai perbezaan budaya antara kedua-dua negara selain mengenai pengurusan masa dan kerja.

Indonesia membekukan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia mulai 25 Jun lepas disebabkan banyak aduan mengenai pembantu rumah didera oleh majikan. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...