Friday, December 4, 2009

Geng Nepal tunjuk kuasa

KUALA LUMPUR: Tidak sampai 24 jam menyarung cincin pertunangan, sepasang kekasih mengalami pengalaman menakutkan apabila dibelasah dan dipijak kepala oleh sekumpulan samseng ganas warga Nepal yang cuba menunjuk kuasa.

Difahamkan mangsa, Idzwan Othman, 27, dan tunangnya, Nur Farahani Misnan, 25, diterajang dan ditumbuk berpuluh kali oleh kumpulan suspek warga asing berkenaan hanya kerana mangsa enggan mengalihkan kenderaan di kawasan meletak kenderaan sebuah pusat membeli-belah terkemuka di Seri Kembangan, di sini.

Lebih menyayat hati apabila bapa mangsa turut dipaut kumpulan samseng terbabit sebelum dipaksa menyaksikan anak kandungnya dan bakal menantu dipukul beramai-ramai di hadapan matanya sendiri.

Idzwan yang ditemui semalam berkata, kejadian kira-kira jam 4.20 petang Ahad lalu itu berlaku ketika dia bersama tunangnya pergi ke pusat membeli-belah itu untuk membeli telefon bimbit.

Menurutnya, bapanya Othman Mohd Derus, 62, dan ibunya, Abidah Md Shah, 58, turut sama mengikut dengan menaiki kereta berasingan.

“Sebaik memasuki pusat beli-belah itu, saya terpaksa berpusing berulang kali untuk mencari petak meletak kenderaan berikutan keadaan ketika itu penuh sesak dengan kereta pengunjung.

“Selepas puas berpusing di kawasan meletak kenderaan itu saya akhirnya menemui satu lokasi sesuai untuk meletakkan kereta tanpa menghalang laluan kenderaan lalu,” katanya.

Mangsa berkata, tunangnya, Nur Farahani yang keluar terlebih dahulu dari kenderaan terkejut apabila dua lelaki warga Nepal yang memakai pakaian seragam kuning tiba-tiba muncul menghampirinya.

Dengan lagak samseng katanya, seorang lelaki Nepal terbabit terus menengking tunangnya sambil menyuruh mengalihkan kereta dengan segera.

“Tindakan lelaki terbabit menyebabkan tunang saya benar-benar terkejut dan mempersoalkan tindakannya meninggikan suara. Malah tindakannya memarahi kami sebagai masyarakat tempatan seolah-olah satu penghinaan sedangkan dia adalah kaum pendatang di negara ini.

“Pada masa sama tunang saya cuba mempertikaikan arahan terbabit berikutan tiada tanda amaran atau larangan meletak kenderaan diletakkan di kawasan terbabit,” katanya.

Menurutnya, lelaki Nepal berkenaan bertindak luar batasan dengan mencengkam lengan tunang saya sebelum cuba bertindak kasar.

“Saya yang terkejut dengan tindakan itu kemudian memegang bahu pengawal keselamatan terbabit namun dia tiba menghayun penumbuk ke arah saya.

“Pada masa sama, seorang lagi rakannya bertindak menggunakan alat perhubungan ‘walkie-talkie’ untuk menghubungi rakan lain kononnya mendakwa diserang,” katanya.

Tidak sampai seminit, kira-kira lima lelaki Nepal lain muncul di kawasan terbabit sebelum menyerang mangsa beramai-ramai.

“Saya ditumbuk lebih 50 kali selain disepak oleh samseng Nepal itu yang tidak menghiraukan jeritan tunang saya meminta kami dilepaskan.

“Ketika itu saya hanya mampu melindungi muka dengan tangan dalam keadaan tubuh terlentang di atas jalan sambil diterajang dan dipijak berulang kali oleh tujuh lelaki Nepal terbabit,” katanya.

Idzwan berkata, semua samseng Nepal itu bagaikan berniat untuk membunuhnya apabila menumpukan serangan terhadap muka dan kepalanya.

“Ketika itu saya merasa dilayan seperti ‘anjing’ apabila dipijak di kepala berulang kali. Malah tunang saya yang cuba membantu turut ditolak sehingga jatuh.

“Apa yang lebih membuatkan saya geram, mereka turut memegang ayah dan ibu seolah-olah sengaja untuk menyaksikan saya dibelasah,” katanya yang bertunang sehari sebelum kejadian itu.

Tujuan Idzwan ke pusat belah-belah itu ialah untuk membeli telefon bimbit sebagai hadiah tunangnya, Nur Farahani juga mempunyai tujuan sama membeli telefon bimbit untuk diberi kepadanya.

Satu laporan sudah dibuat di Balai Polis Serdang, di sini, berhubung kejadian itu.

“Ayah saya dan kami sekeluarga termasuk tunang juga bercadang untuk menyaman pihak syarikat kawalan keselamatan dan pusat beli belah itu,” katanya.

yang mengatakan kejadian hanya berakhir selepas pegawai pentadbiran pusat membeli-belah terbabit campur tangan. - Harian Metro

1 comment:

  1. siotnye org nepal..bgsa aku ko buat mcm 2..ngra aku ko buat mcm ni ngra ko..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...