Saturday, December 5, 2009

Empat warga Afrika ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan satu lagi sindiket pengedaran wang palsu didalangi warga Afrika dengan menahan empat lelaki dalam operasi khas di sini, Isnin lalu.

Sindiket itu dipercayai memperdayakan mangsa dengan membuat pertukaran mata wang sebelum merompak mereka.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman, berkata pihaknya juga merampas 540 keping wang palsu dengan nilai RM50 setiap satu dalam serbuan di Lanson Place, Jalan Ampang di sini, jam 5.10 petang.

"Wang itu ditemui dalam sebuah peti besi di bonet kereta dinaiki anggota sindiket terbabit. Selain itu, kami juga menemui tiga pucuk pistol mainan dan dua pisau pemotong daging.

"Kita masih menyiasat lanjut kegiatan sindiket ini dan latar belakang keempat-empat suspek warga Afrika berusia 26 hingga 44 tahun itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya percaya modus operandi sindiket berkenaan ialah memperdayakan individu tertentu dengan wang palsu sebelum merompak mangsa.

"Mereka mengaturkan satu pertemuan dengan mangsa kononnya untuk membeli mata wang asing dengan harga lebih tinggi daripada yang ditawarkan pengurup wang.

"Ketika mangsa membawa mata wang asing itu untuk ditukar, kumpulan terbabit akan menunjukkan wang palsu sebelum mengeluarkan senjata untuk merompak mangsa," katanya.

Beliau berkata, kualiti wang palsu itu sangat rendah dan polis percaya ia dicetak menggunakan pencetak komputer dan tidak disasarkan untuk diedarkan kepada orang ramai melalui urus niaga.

Katanya, polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 489(c) Kanun Keseksaan, Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata berbahaya 1958. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...