Wednesday, December 9, 2009

Bila saling menghormati : Amah cekal terima anugerah

IPOH: Kecekalan dan kesetiaannya menjaga majikan yang menghidap penyakit angin ahmar walaupun tiada tali persaudaraan serta berbeza agama dan budaya sangat mengagumkan.

Bagi Watinem Yuswanto, 23, tugas yang diamanahkan untuk menjaga majikannya, Liew Tap, 61, cuba dipikul sebaiknya meskipun pada mulanya timbul rasa putus asa.

Katanya, dia sedar kehidupan dan adat majikan berbeza dengan dirinya yang beragama Islam, namun perbezaan itu ditolak tepi dan atas dasar perikemanusiaan, dia terus bertahan dan melakukan tugasnya.

“Pada mulanya agak sukar untuk menjaga insan yang tergolong dalam kumpulan orang kurang upaya (OKU).

“Bagaimanapun, saya dapat memikul tugas ini, malah sudah lima tahun saya menjaganya dan kini keadaannya tidak seteruk dulu,” katanya.

Watinem berkata, keadaan majikannya ketika dia mula bekerja dengannya tidak seperti sekarang kerana Liew Tap masih lagi boleh berjalan, namun sejak terbabit dalam kemalangan setahun lalu, keadaannya bertambah teruk.

“Akibat kemalangan itu, majikan saya koma seminggu. Selepas sedar, emosi serta sikapnya berubah apabila kerap marah dan sensitif sehingga saya sering menjadi tempatnya untuk meluahkan kemarahan.

“Ketika dimarah dan diherdik, terlintas di hati saya untuk berhenti kerja namun layanan baik anak-anaknya membuatkan saya terus bertahan,” katanya.

Kesabarannya membuahkan hasil apabila dia bersama empat individu lain diberikan Anugerah Penjaga Terbaik 2009 oleh Pusat Pemulihan Sultan Azlan Shah (PPSAS), Bercham yang julung kali diadakan sempena Hari Orang Kelainan Upaya Sedunia, semalam. - Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...