Sunday, December 6, 2009

41 GRO warga asing dicekup

JOHOR BAHRU 5 Dis. - Seramai 41 wanita warga asing yang bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) ditahan dalam serbuan di sebuah restoran di Stulang Laut, di sini semalam.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa, Jabatan Imigresen Johor, Masri Adul berkata, mereka adalah 32 warga China, tujuh Thailand dan dua wanita Indonesia yang ditahan atas pelbagai kesalahan antaranya tidak memiliki permit dan dokumen pengenalan diri yang sah.

Beliau berkata, semua wanita berusia antara 28 hingga 56 tahun itu ditahan dalam serbuan pada pukul 6.55 petang.

"Berdasarkan maklumat yang diterima, wanita warga asing tersebut akan datang ke restoran itu sebelum menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan.

"Sekiranya pelanggan bersetuju, mereka seterusnya akan meneruskan urusan 'perniagaan' di tempat lain pula," katanya di sini hari ini.

Ketika serbuan, katanya, terdapat kira-kira 300 pelanggan yang kebanyakannya sudah berusia berada di dalam restoran berkenaan.

Tambah Masri, siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan Peraturan 39 (b) akta yang sama kerana melanggar syarat permit.

Sebahagian daripada mereka juga, katanya akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (C) akta yang sama kerana tinggal di negara ini melebihi tempoh dibenarkan.

"Kesemua wanita ini kini ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nanas, Pontian dan direman selama 14 hari mengikut Akta Imigresen untuk siasatan lanjut," katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...