Tuesday, November 10, 2009

Wujudkan Akta Hukum Peniaga Tempatan Ambil Pendatang Berniaga

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Satu akta perlu diwujudkan bagi menghukum peniaga tempatan yang memberi peluang kepada pendatang asing menjadi peniaga di premis perniagaan mereka.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah berkata penubuhan akta itu dilihat mampu menyelesaikan masalah pendatang asing yang semakin berani berniaga seperti yang terdapat di pasar-pasar borong.

"Kalau dahulu mereka diambil untuk membantu peniaga tempatan tetapi kini mereka pula menjadi tauke dengan dikenakan bayaran sewa oleh pemilik gerai untuk berniaga.

"Jadi saya cadangkan agar akta itu diwujudkan supaya dapat menghukum peniaga kita yang mengambil pendatang asing termasuk yang tanpa izin (PATI)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Dialog Mengenai Masalah Pendatang Asing Berniaga di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan dekat sini Isnin.

Murugiah berkata beliau sering mendapat aduan dan laporan mengenai masalah itu dan kewujudan akta itu dilihat dapat membantu peniaga tempatan (yang tidak mengambil pendatang asing) kembali menjalankan perniagaan seperti biasa.

Katanya masalah pendatang asing berniaga ini perlu segera diatasi kerana kelak apabila timbulnya masalah lain seperti jenayah, ia akan lebih memburukkan suasana dan keadaan perniagaan dan persekitaran.

"Kita tidak mahu berlaku kes membabitkan urusan diplomatik apabila berlakunya sesuatu perkara seperti pergaduhan membabitkan orang tempatan dan pendatang asing ini.

"Maka kami meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Jabatan Imigresen, Polis, Rela dan persatuan peniaga untuk turut terlibat dalam usaha mengatasi masalah ini," katanya.

Murugiah berkata ketika ini 60 peratus peniaga di Pasar Borong Selangor merupakan pendatang dan beliau telah memberikan tempoh selama seminggu kepada semua pihak terbabit agar memastikan tiada lagi pendatang asing berniaga di kawasan berkenaan.

"Selepas ini kita akan tinjau pula Pasar Borong Selayang dan kemudian jelajah ke seluruh negara bagi menyelesaikan masalah ini. Bukan tidak boleh mengambil mereka tetapi ada sektor lain yang lebih sesuai untuk mengambil pendatang asing dengan izin ini," katanya. -- BERNAMA

1 comment:

  1. Harga permit terlalu mahal sebagai contoh permit general worker harga hampir rm4000 kalau tak silap...maka ini akan menyebabkan gaji pekerja asing ini memerlukan gaji yang tinggi ini akan membebankan majikan..maka pekerja ini akan cuba mencari kerja tambahan untuk meringankan beban mereka..
    jika dikaji pekerja memerlukan rm 400 sebulan dan sekira gajipekerja tersebut rm1000 tinggal lagi 600 makan minum sewa rumah..jadi apa yang tinggal...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...