Tuesday, November 17, 2009

Warga Indonesia sebabkan kematian rakan dipenjara 13 tahun

KUALA LUMPUR: Seorang pemotong daging warga Indonesia dihukum penjara 13 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana menyebabkan kematian rakan senegaranya dari Sumatera Utara selepas pertengkaran tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Ghazali Cha memerintahkan Shahrul Efendi, 30, menjalani hukuman bermula tarikh tangkapan pada 3 Disember 2006 selepas beliau mengaku bersalah ke atas tuduhan pilihan menyebabkan kematian buruh pasar, Adi Syaputra, 31.

Shahrul dituduh melakukan kesalahan itu di rumah No 28, Jalan Raja Alang, Kampung Baru di sini, kira-kira jam 9 malam pada 3 Disember 2006.

Mengikut fakta kes, kedua-dua mereka yang bekerja di Pasar Chow Kit mula bertengkar ketika sedang minum di sebuah warung tetapi dileraikan oleh rakan-rakan senegaranya.

Sepuluh minit kemudian, Shahrul dikatakan mengekori mangsa ke satu lorong berhampiran sebelum kembali dengan sebilah pisau yang berlumuran darah serta kesan darah di bajunya.

Adi yang ditikam sekali di bahagian dada, dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur dan meninggal dunia beberapa jam selepas itu.

Shahrul ditahan polis pada hari sama berhampiran tempat kejadian.

Terdahulu, peguam Rozal Azimin Ahmad yang mewakili Shahrul memberitahu mahkamah tertuduh tidak berniat untuk mencederakan Adi tetapi ia lebih berpunca daripada perasaan marah selepas dia diserang Adi dengan sebiji gelas dan menerima lima jahitan di kepalanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Naziah Mokhtar, berhujah bahawa mahkamah harus menjatuhkan hukuman berat kerana tertuduh bukan saja memasuki negara ini secara haram tetapi telah melakukan satu kesalahan yang serius. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...