Monday, November 30, 2009

Ugut tuan rumah

AMPANG: Teguran ikhlas seorang wanita kepada penyewa bilik rumahnya di Taman Bukit Teratai, di sini yang membawa pulang teman lelaki sebulan lalu mengundang padah apabila dia diugut bunuh sebelum diekori beberapa lelaki yang cuba menakutkannya, Jumaat lalu.

Berikutan kebimbangan itu, mangsa yang kini mengandung anak kembar menghubungi polis apabila dia teringatkan perbualan telefon penyewa bilik rumahnya dengan seseorang yang cuba melakukan perbuatan buruk terhadapnya.

Difahamkan, penyewa bilik terbabit, seorang wanita warga Indonesia pada mulanya membawa pulang teman lelaki dan tidur semalaman di rumah itu, bulan lalu menyebabkan mangsa tidak berpuas hati.

Mangsa kemudian menegur wanita terbabit secara baik kerana perbuatannya itu dilihat jiran, namun suspek berang dan membalas nasihat itu dengan menghamburkan kata-kata cacian.

Menurut sumber polis, suspek turut memberitahu dia boleh melakukan apa saja termasuk membunuh mangsa.

“Mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit dan sentiasa hidup dalam ketakutan kerana suspek masih menyewa di rumahnya.

“Sejak itu, mereka hanya bermasam muka dan mangsa sudah tidak berani menegur kerana setiap nasihat yang diberikan itu pasti akan dibalas kata cacian dan maki hamun selain ugutan bunuh daripada suspek,” katanya.

Bagaimanapun, pada malam Jumaat lalu, mangsa mula berasa takut apabila dia terdengar perbualan telefon antara suspek dengan rakannya.

“Dalam perbualan itu, mangsa terdengar suspek mengajak seseorang datang ke rumah itu dan seperti merancang sesuatu membuatkan dia ketakutan dan teringat akan ugutan yang diterimanya sebelum ini.

“Kerisauan itu ditambah lagi dengan ketiadaan suaminya yang bekerja pada malam berkenaan,” katanya.

Menurut sumber, mangsa yang risau keselamatannya keluar dari rumah menuju ke telefon awam untuk menghubungi polis, namun ketika itu tiga lelaki dipercayai warga asing mengekorinya.

“Bagaimanapun, mangsa sempat menghubungi polis memaklumkan kejadian itu,” katanya.

Menurutnya, susulan laporan itu, polis bergegas ke lokasi dan menahan suspek untuk siasatan lanjut.

Difahamkan, suspek tinggal menyewa di rumah mangsa sejak setahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan mengesahkan menerima laporan dan tangkapan yang dibuat.

“Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya. - Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...