Friday, November 13, 2009

Susilo puas hati langkah penambaikan tenaga kerja Indonesia


Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono (enam dari kiri) bersama delegasi kedua-dua negara sebelum mengadakan rundingan dua hala di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 12 Nov. - Indonesia berpuas hati dengan pelbagai langkah penambahbaikan yang dilakukan oleh Malaysia membabitkan layanan terhadap tenaga kerja dari republik itu.

Ini termasuk tindakan ke atas para majikan dalam kes penderaan terhadap pekerja Indonesia dengan memastikan mereka ditangani mengikut lunas undang-undang.

Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono berkata, berdasarkan penilaiannya, langkah yang dilakukan oleh kedua-dua negara saban tahun semakin positif.

''Perkembangannya cukup signifikan berbanding pengalaman kita pada masa lalu, ini satu pencapaian yang perlu kita menyatakan terima kasih atas semua itu.

''Apabila ada kes, kita tangani bersama sehingga ia tidak menjadi isu baru yang mungkin disalah ertikan oleh orang lain seolah-olah tidak ada tindakan cepat, tepat dan adil sehingga ia merugikan hubungan kita," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mengadakan mesyuarat delegasi di sini hari ini.

Susilo dalam rangka lawatan ke luar negara kali pertama sejak dilantik sebagai Presiden republik itu bagi penggal kedua 20 Oktober lalu.

Susilo mengakui sekali-sekala akan terdapat kes membabitkan tenaga kerja dari republik itu.

Namun, tegas beliau, kedua-dua negara tidak mengambil mudah dengan sentiasa berusaha melakukan penambahbaikan.

''Jika ada masalah tenaga kerja Indonesia, maka hukum dan keadilan ditegakkan, siapa pun yang bersalah tentu harus mendapatkan saksi, dengan ketelusan yang tinggi tentu akan mengurangkan salah faham berkaitan perkara itu," katanya.

Dalam hal ini, beliau memahami sekiranya terdapat warga republik itu melakukan kesalahan di Malaysia, mereka harus diadili berdasarkan undang-undang negara ini.

Begitu juga sebaliknya, jelas Susilo, rakyat Malaysia yang melakukan kesalahan di Indonesia akan diadili berdasarkan undang-undang republik itu.

''Pada satu sisi, pekerja Indonesia menjadi sebahagian daripada proses pembangunan ekonomi Malaysia manakala pada sisi lain, mereka perlu dipastikan mendapat layanan yang baik," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri menegaskan, Malaysia akan memberikan layanan adil dan saksama ke atas rakyat Indonesia yang bekerja di negara ini.

Kata Najib, kerajaan akan memastikan majikan yang melakukan kekasaran terhadap pekerja Indonesia seperti kes penderaan pembantu rumah diambil tindakan.

''Banyak kes yang telah kita selesaikan termasuk membabitkan kes berprofil tinggi.

''Kita juga berharap tenaga kerja Indonesia juga tidak melakukan kesalahan, kalau ada, layanan yang sama juga diberikan, ini amat difahami oleh Presiden Susilo dalam pertemuan kami tadi,'' katanya.

Sehubungan itu Perdana Menteri berharap, warganegara Indonesia yang memasuki negara ini perlu memastikan status mereka pekerja asing yang sah.

"Ini bagi memastikan hak mereka lebih terjamin kerana kemasukan secara tidak sah memudahkan mereka dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...