Wednesday, November 4, 2009

Suri rumah mengaku tidak bersalah memperdagang manusia

PETALING JAYA: Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap dua pertuduhan memperdagangkan manusia, September lalu.

Anita Nordin, 43, dari Petaling Jaya didakwa memperdagangkan seorang lelaki warga Indonesia, Deden Firman, 27, bagi tujuan mengeksploitasinya di sebuah rumah bernombor 5 PJS/7/15D Bandar Sunway, jam 2 petang, 29 September lalu.

Ibu kepada tiga anak itu juga didakwa melakukan kesalahan yang sama ke atas seorang wanita Indonesia, Patimah, 36, pada tempat, tarikh dan waktu yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Anita yang diwakili peguam bela T Mishant, didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Fatimah Zahari, tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan ini tidak boleh dijamin bagaimana pun beliau tidak membantah sekiranya mahkamah memberikan jaminan dengan menawarkan RM50,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

"Selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan dan rayuan dari peguam bela dan mengambil kira faktor kesihatan kamu (tertuduh) mahkamah membenarkan kamu diikat jamin RM12,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin," kata Hakim Balqis Aini Mohd Ali.

"Dari segi undang-undang kamu tidak bersalah selagi kesalahan itu belum dibuktikan tetapi ini tidak bermakna kamu boleh mengambil ringan perkara ini di samping kamu perlu menjaga kesihatan kamu," kata Balqis Aini.

Mahkamah menetapkan 12 Januari tahun depan untuk sebutan semula. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...