Monday, November 9, 2009

Malaysia tetap ideal untuk pekerja Indonesia

Oleh AHMAD FUAD YAHYA

PERSAMAAN budaya dan bahasa selain faktor kedekatan geografi menjadikan Malaysia kekal sebagai antara pilihan ideal bagi rakyat Indonesia untuk datang mencari pekerjaan.

Dengan persamaan budaya dan bahasa ini, kehadiran kira-kira dua juta pekerja Indonesia di negara ini bukanlah sesuatu yang asing bagi masyarakat Malaysia, lebih-lebih lagi kerana mereka mudah mengasimilasikan diri dalam masyarakat Melayu yang merupakan bangsa serumpun.

Pengarah Kajian Sosiologi Indonesia, Khairudin Harahap berkata persamaan itu menjadi faktor penarik kepada rakyat Indonesia, terutamanya mereka daripada kumpulan berpendidikan rendah, untuk datang ke Malaysia mencari pekerjaan bagi mengubah kehidupan mereka kepada yang lebih baik.

Kalau mereka ini ke Amerika Syarikat atau ke Hong Kong, mereka menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, katanya.

"Oleh itu Malaysia merupakan salah satu tempat ideal bagi orang seperti ini, lebih-lebih lagi dengan adanya toleransi daripada kerajaan dan rakyat Malaysia untuk menerima mereka di negara ini, dengan syarat mereka harus mengikut undang-undang Malaysia dan tidak menimbulkan masalah sosial," katanya.

Khairudin, seorang warganegara Indonesia yang menjadi pemastautin negara ini dan telah menetap di Malaysia selama kira-kira 28 tahun berkata, ada lebih 200,000 pembantu rumah Indonesia di negara ini, manakala selebihnya adalah pekerja binaan, pekerja ladang dan tukang cuci. Selain itu terdapat kira-kira 3,000 tenaga profesional Indonesia yang bekerja kebanyakannya bekerja di syarikat minyak Petronas, syarikat penerbangan MAS dan AirAsia serta institusi perbankan.

Mengenai beberapa masalah yang dihadapi oleh pembantu rumah Indonesia di negara ini, Khairudin berkata perkara itu tidak dapat dielakkan kerana jumlah pekerja Indonesia yang begitu ramai di negara ini.

"Sebenarnya rakyat Indonesia ada dua juta di Malaysia, ini hampir sebuah provinsi di Indonesia atau sebuah negeri di Malaysia.

"Jika dua juta manusia hidup di satu negeri, tak mungkin tak ada masalah. Apa yang berlaku di Malaysia hanyalah tragedi kemanusiaan yang kebetulan melibatkan pihak-pihak yang berlainan kewarganegaraan," katanya.

Oleh kerana kes seperti itu melibatkan pihak-pihak yang berlainan warganegara, ia lebih dibesar-besarkan oleh media, sedangkan kes serupa juga berlaku di negara lain di mana pekerja Indonesia berada malah turut berlaku di Indonesia, katanya lagi.

"Apa yang kita mahu lihat ialah majikan yang melakukan kesalahan terhadap pekerjanya dihukum dengan betul, individu yang bersalah dihukum," katanya.

Indonesia baru-baru ini mengenakan moratorium terhadap penghantaran pembantu rumah ke Malaysia dan kedua-dua negara sedang dalam proses perbincangan mengenai beberapa persefahaman baru termasuk soal gaji minimum untuk pekerja berkenaan.

Peningkatan kerjasama dalam bidang tenaga kerja Indonesia akan menjadi antara isu yang dibincangkan pada mesyuarat dua hala sempena lawatan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono ke Malaysia pada 11 dan 12 Nov ini.

Susilo, yang mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia bagi penggal keduanya iaitu tahun 2009 hingga 2014, telah memilih Malaysia sebagai negara pertama untuk dilawati beliau.

Khairudin menyifatkan lawatan Presiden Susilo sebagai amat bermakna kerana ia melambangkan betapa beliau mahu melihat hubungan dua hala antara Malaysia-Indonesia dapat dipertingkatkan untuk faedah bersama.

"Jika Malaysia dan Indonesia memperkukuhkan hubungan ekonomi, budaya dan pertahanan, ini suatu kekuatan yang amat dahsyat di Asia.

"Banyak negara-negara di Asia sangat takut realiti ini dan oleh itu ada banyak percubaan bagi merenggangkan hubungan Malaysia-Indonesia," katanya.

Khairudin berkata hubungan baik Indonesia-Malaysia telah memberi keuntungan kepada rakyat kedua-dua negara itu dalam situasi menang-menang dan telah membawa kemakmuran kepada Malaysia dan Indonesia.

Mengenai dakwaan kononnya berlaku diskriminasi terhadap rakyat Indonesia di Malaysia seperti pesalah rakyat Indonesia dikatakan segera menerima hukuman atas kesalahan yang mereka lakukan sedangkan pesalah rakyat Malaysia mengambil masa bertahun-tahun untuk dikenakan hukuman, beliau berkata perkara ini berlaku kerana pihak terbabit kurang memahami proses undangundang di negara ini.

"Contoh majikan Nirmala Bonat (pembantu rumah Indonesia), Yim Pek Ha telah dijatuhi hukuman penjara 18 tahun oleh mahkamah, tetapi proses undang-undang membenarkan dia melalui proses rayuan dan hukuman itu telah ditangguhkan," katanya.

Yim, katanya perlu membayar yuran guaman yang besar untuk melalui proses itu tetapi pekerja Indonesia di Malaysia tidak mampu untuk berbuat demikian bagi membolehkan mereka melalui proses rayuan dan menangguhkan hukuman, oleh itu mereka lebih cepat menjalani hukuman.

"Saya mencadangkan supaya pemerintah Indonesia memperuntukkan wang yuran guaman kepada pekerja Indonesia bagi membolehkan mereka juga dapat melalui proses tersebut.

"Inilah kedudukannya, bukannya berlaku diskriminasi terhadap pekerja Indonesia, ini semua proses-proses yang mengikut lunas undang-undang.

"Tetapi ada sebahagian orang Indonesia yang berfikiran sempit dan beremosi.Saya menyarankan kepada kawan-kawan di Indonesia supaya jangan meneropong keadaan di Malaysia dari Jakarta, sebaliknya datang ke sini, periksa dan buat kajian, baru buat komentar," katanya.

Khairudin juga berharap dapat berjumpa dengan Presiden Susilo dalam lawatannya kali ini jika diberikan kesempatan, bagi mendapatkan penyelesaian daripada pihak kerajaan Indonesia terhadap beberapa masalah yang dihadapi oleh rakyat Indonesia di negara ini.

Bagi pihak rakyat Indonesia di Malaysia, beliau mengucapkan tahniah kepada Susilo kerana dipilih semula sebagai Presiden republik itu selain berikrar memberi sokongan terhadap Susilo.

"Selamat datang kami ucapkan kepada Bapak Presiden untuk menjalinkan hubungan mesra dengan Malaysia.

"Kami berdoa semoga hubungan Bapak Presiden dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak terus akrab," katanya. -Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...