Tuesday, November 10, 2009

Lawatan Susilo Dijangka Perkukuh Hubungan Malaysia-Indonesia

PUTRAJAYA, 9 Nov (Bernama) -- Hubungan dua hala Malaysia-Indonesia dalam tempoh enam bulan lepas telah diuji dengan pelbagai tindakan provokasi oleh media dan sekumpulan kecil penduduk di Indonesia serta kes penderaan pembantu rumah Indonesia oleh segelintir majikan di Malaysia.

Ujian pertama timbul pada Jun apabila laporan berita dari Indonesia mendakwa kapal Tentera Laut Diraja Malaysia mencerobohi kawasan perairan Ambalat yang terbabit dalam pertikaian antara Malaysia-Indonesia, dan laporan itu dinafikan oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia Tan Sri Abdul Aziz Zainal.

Kemudiannya, pada September, kumpulan aktivis yang menggelar diri mereka sebagai Benteng Demokratik Rakyat (Bendera) mengadakan demonstrasi di Jakarta dan mahu "bersihkan" rakyat Malaysia di sana.

Mereka mendakwa tarian Bali iaitu Pendet dicuri oleh Malaysia, yang dipaparkan secara tidak sengaja dalam klip video promosi pelancongan di saluran Discovery Channel. Pihak Discovery Channel telah meminta maaf bagi kesilapan itu.

Tindakan provoksi itu tidak terhenti di situ apabila kumpulan yang sama mengisytiharkan yang mereka akan menyerang Malaysia pada awal Oktober dengan pedang dan buluh runcing untuk menuntut bela terhadap perbuatan salah yang didakwa telah dilakukan terhadap rakyat Indonesia di negara ini.

Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono mahupun Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak tidak memberikan sebarang respons terhadap provokasi berkenaan ekoran kedua-dua pemimpin sedar bahawa semua itu tidak mewakili suara majoriti rakyat atau pendirian kerajaan masing-masing berhubung isu itu.

Mengenai isu Ambalat, kedua-dua negara percaya ia dapat diselesaikan melalui saluran diplomatik berdasarkan Konvensyen Undang-undang Laut 1982 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Ambalat, terletak di timur Kalimantan dan tenggara Sabah, dikatakan kaya dengan minyak mentah dan telah dituntut oleh Malaysia dan Indonesia sejak 1960-an.

Di sebalik semua tindakan provokasi itu, Malaysia berjaya menghadapi keadaan dan menghulurkan bantuan apabila Indonesia dilanda gempa bumi pada awal Oktober, menyalurkan tiga bentuk bantuan -- mencari dan menyelamat, bantuan perubatan dan bantuan kemanusiaan.

Isyarat pertama yang dihantar oleh pihak berkuasa Indonesia dalam tempoh enam bulan lepas ialah pembekuan sementara penghantaran pembantu rumah ke Malaysia dari 25 Jun ekoran laporan penderaan pembantu rumah oleh beberapa majikan Malaysia. Kedua-dua negara sedang berusaha menyelesaikan isu itu melalui rundingan.

Malaysia membantu dalam perkara itu dengan memasukkan peruntukan satu hari cuti wajib dalam seminggu bagi pembantu rumah, semakan terhadap kos untuk membawa masuk pembantu rumah yang akan memberi faedah kepada majikan dan bukannya ejen, serta perlindungan di bawah Akta Kerja, peruntukannya akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat yang sedang bersidang sekarang.

Walaupun kes-kes penderaan pembantu rumah Indonesia serta perbuatan mudarat yang dilakukan oleh pembantu rumah terhadap majikan Malaysia masih kecil berbanding 300,000 pembantu rumah Indonesia yang bekerja di negara ini, pemimpin kedua-dua negara memandang serius perkara itu.

Kedua-dua negara sedar undang-undang Malaysia tidak mendiskriminasi warganegara lain atau status pekerja-majikan dalam mengendalikan jenayah yang dilakukan.

Hubungan Malaysia-Indonesia membabitkan tiga aspek -- kerajaan dengan kerajaan, kalangan ahli perniagaan dan rakyat dengan rakyat.

Najib dan Susilo bersalaman erat setiap kali mereka berjumpa kerana mereka sedar hubungan mereka dan juga hubungan dua hala antara kedua-dua negara tidak harus dijejaskan oleh isu-isu tidak penting.

Sepertimana kata Najib: "Malaysia dan Indonesia menjalin hubungan yang rapat dan kedua-dua negara boleh bekerjasama untuk memainkan peranan lebih besar di rantau ini."

Hubungan antara kedua-dua pemimpin amat rapat, sehingga ke tahap mereka boleh hubungi antara satu sama lain dengan telefon dan berbincang.

Najib pernah berkata bahawa kedua-dua negara boleh bergabung tenaga untuk memainkan peranan lebih besar dalam bidang seperti ekonomi, perubahan iklim, pengurusan bencana alam dan keselamatan serantau.

Keakraban mereka akan memberikan isyarat jelas kepada mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kekacauan.

Sehubungan itu, lawatan dua hari Susilo ke Malaysia bermula Rabu dijangka memperkukuhkan lagi hubungan mesra yang sedia terjalin antara kedua-dua pemimpin dan negara. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...