Wednesday, November 18, 2009

KDN, KPT bekerjasama pantau penggunaan pas pelajar

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan mengadakan perbincangan mewujudkan jawatankuasa khas bagi mengkaji semula proses penyaringan dan pemantauan pengambilan pelajar asing ke negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata ini membabitkan aspek prosedur dan syarat kemasukan meliputi penetapan kelayakan akademik minimum dan kesesuaian pencapaian akademik dengan bidang pengkhususan yang dipohon di institusi pengajian tinggi di negara ini.

Katanya, kerjasama pemantauan mereka yang memasuki Malaysia menggunakan pas pelajar bertujuan mengelakkan penyalahgunaan pas itu serta mengatasi isu kebanjiran warga Afrika di sekitar Kuala Lumpur yang mengundang kerisauan dan rasa tidak selamat di kalangan penduduk tempatan.


"Sebahagian daripada mereka itu didapati masuk ke negara ini dengan menggunakan pas pelajar atau visa pelancong yang kemudiannya ditukar kepada pas pelajar, namun tujuan sebenarnya bukanlah untuk melanjutkan pelajaran," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata, kedua-dua kementerian juga akan bekerjasama untuk membuat semakan berkala terhadap pas pelajar yang dikeluarkan kerana didapati wujud segelintir yang memegang pas berkenaan tetapi sudah tidak menghadiri kuliah di institusi tempat mereka mendaftar.

Selain itu, katanya, KDN melalui agensi berkaitan akan memperkenalkan sistem biometrik di setiap pintu masuk negara, sebagai usaha penambahbaikan sistem kemasukan pelawat ke negara ini.

"Usaha penambahbaikan ini membolehkan identiti setiap pelawat ke negara ini direkodkan agar mereka yang dilarang memasuki negara ini dapat dikenal pasti," katanya.

Bagi menangani isu kebanjiran pendatang asing tanpa izin secara menyeluruh, Hishammuddin berkata, antara usaha yang sedang digerakkan adalah penghantaran pulang pendatang secara sukarela dan pengusiran pendatang yang ditahan melalui proses penguatkuasaan.

Rekod peribadi mereka yang pulang ini akan disimpan dan mereka sama sekali dilarang memasuki negara ini pada masa depan, katanya. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...