Wednesday, November 18, 2009

Kanak-kanak dilarikan amah

SHAH ALAM 17 Nov. - Kerana terlalu percayakan pembantu rumah, seorang tukang masak warga Myanmar, Aung Soe atau Abu Hussin, 38, kehilangan satu-satu anaknya, Siti Nurdiana Aung Soe, 2.

Siti Nurdiana dipercayai dilarikan pembantu rumah warga Indonesia dikenali sebagai Suparmi, 50, yang baru dua bulan bekerja di rumah Aung Soe di Apartment Brunsfields Riverview, Seksyen 13 di sini tengah hari ini.

Lebih malang lagi, Aung Soe tidak tahu di mana hendak menjejaki Suparmi kerana wanita itu tiada permit kerja yang sah dan merupakan pendatang tanpa izin.

Menurut Aung Soe yang telah 10 tahun bekerja sebagai tukang masak di sebuah syarikat sajian makanan di Glenmarie di sini, dia dan isterinya, Haslinda Damanik, 35, warga Indonesia menyedari kehilangan anaknya sewaktu pulang dari kerja kira-kira pukul 7.30 malam ini.

"Sampai di rumah, saya dah rasa lain macam kerana rumah saya gelap. Apabila masuk dan membuka lampu saya terkejut kerana rumah saya bersepah, kunci rumah di atas lantai dan anak serta orang gaji saya tiada.

"Isteri saya pula terus meraung apabila mendapati beberapa helai baju Siti Nurdiana telah tiada.

"Saya terus hubungi majikan saya dan dia kemudian membawa saya dan isteri membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Jelutong sebelum pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini untuk diambil keterangan," katanya di perkarangan IPD Shah Alam di sini malam ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Nor Azam Jamaluddin mengesahkan kejadian itu dan pihaknya sedang melancarkan gerakan memburu pembantu rumah tersebut. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...