Thursday, November 19, 2009

Jenayah 'Awang Hitam' berleluasa di Terengganu

KUALA TERENGGANU 18 Nov. - Kegiatan jenayah membabitkan warga Afrika atau 'Awang Hitam' bukan sahaja berleluasa di Lembah Klang, namun turut berlaku di negeri ini.

Sehingga kini, sebanyak tujuh kes penipuan warga Afrika dilaporkan berlaku di sini, dalam tempoh beberapa bulan lalu dengan kerugian kira-kira RM146,000.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Shukri Dahlan sehubungan itu mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dengan taktik warga negara berkenaan.

Katanya, siasatan mendapati warga Afrika itu menggunakan Internet untuk memperdaya mangsa dengan menawarkan hadiah loteri, malah ada yang mengajak berkahwin.

"Sehingga kini terdapat lima suspek termasuk empat wanita berusia antara 30 dan 40 tahun ditahan kerana dipercayai terlibat dalam sindiket tersebut.

"Mereka terdiri daripada tiga warga Afrika dan dua rakyat tempatan," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Shukri turut memaklumkan terdapat 21 kes penipuan melibatkan penerimaan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menawarkan hadiah lumayan.

Ujarnya, setakat ini kira-kira RM135,000 kerugian yang telah dilaporkan melibatkan mangsa berusia di antara 20 dan 50 tahun.

"Kebanyakan yang terlibat mempunyai pekerjaan dan terpelajar serta golongan baru pencen.

"Polis berharap orang ramai berwaspada dan merujuk kepada pihak berkenaan atau polis untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang SMS diterima," ujarnya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...