Thursday, November 5, 2009

Imigresen Johor Tahan 306 Pati Di Tapak Pembinaan Ibu Pejabat Polis

JOHOR BAHARU, 5 Nov (Bernama) -- Jabatan Imigresen Johor menahan seramai 306 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja sebagai buruh di tapak pembinaan Ibu Pejabat Polis (IPD) Seri Alam, di Jalan Rimba dekat Masai, di sini, hari Khamis.

Dalam serbuan "Ops Kutip" selama dua jam mulai 10.30 pagi itu, mereka yang ditahan merupakan warga Indonesia, Myanmar, Nepal dan Bangladesh.

Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Johor (Bahagian Penguatkuasaan) Masri Adul berkata buruh binaan berkenaan telah melakukan pelbagai kesalahan termasuk memiliki dokumen perjalanan palsu, menyalahgunakan pas lawatan dan tiada dokumen pengenalan diri.

Serbuan di tapak pembinaan itu yang membabitkan 128 anggota jabatan itu, adalah pertama sejak projek pembinaan IPD itu dimulakan setahun lepas, katanya ketika dihubungi di sini.

Masri berkata adalah antara buruh tersebut cuba menggunakan batang kayu untuk menakutkan anggota Imigresen yang cuba menahan mereka tetapi tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Katanya kesemua PATI itu dihantar ke Depoh Tahanan Pekan Nenas, Pontian, untuk proses penghantaran balik ke negara asal masing-masing. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...