Tuesday, November 3, 2009

Hati-hati pilih isteri kalangan warga asing

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Hati-hati memilih pasangan dari kalangan warga asing. Itu nasihat kepada lelaki di negara ini yang ghairah mencari wanita cantik dari kalangan warga asing.

Ini kerana ada yang menjadikan kecantikan itu sebagai alat untuk mengikis sebanyak mungkin wang daripada lelaki negara ini sebelum melarikan diri ke negara asal masing-masing.

Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, ini dibuktikan apabila pihaknya menerima lima aduan berhubung perkara itu pada tahun ini.

Katanya, beliau percaya jumlahnya lebih banyak tetapi tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Beliau yang bimbang mengenai fenomena itu berkata, sesuatu perlu dilakukan supaya bilangan mangsa tidak terus meningkat.

"Kita sering mendapat aduan kejadian seumpama itu yang melibatkan wanita warga China, Vietnam, Thailand dan Indonesia.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 40 peratus aduan melibatkan wanita warga China," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Jalan Ampang di sini.

Malah, katanya, golongan lelaki itu juga akan 'dikikis' sehingga pokai sebelum ditinggalkan sebagai bapa tunggal bagi menyara anak-anak hasil perkongsian hidup mereka.

Menurutnya, antara alasan untuk 'mengikis' wang suami mereka ialah perlu memperbaharui pasport dan beberapa dokumen penting lain selain perbelanjaan harian.

Michael memberitahu, berdasarkan maklumat daripada pihak imigresen, wanita asing itu tidak dianggap bersalah kerana mereka meninggalkan negara ini sebelum tamat tempoh pasport.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan supaya golongan lelaki tidak terlalu gopoh dalam memilih calon isteri yang terdiri daripada warga asing bagi mengelakkan perkara seumpama itu berlaku ke atas diri mereka. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...