Saturday, November 14, 2009

Gaji Tinggi Kilang-Kilang Berjaya Tarik Minat Pekerja Tempatan

SHAH ALAM, 14 Nov (Bernama) -- Terdapat tanda-tanda awal yang menunjukkan bahawa kecenderungan banyak kilang menawarkan skala gaji yang tinggi buat pekerja ketika ini berjaya menarik minat ramai pekerja tempatan untuk bekerja di kilang, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam.

Katanya dari semasa ke semasa skop kerja petugas di kilang-kilang berkenaan ditingkatkan, dan gaji yang ditawarkan juga ditambah selaras dengan kenaikan skop kerja.

"Pendekatan ini dilihat menggalakkan pekerja-pekerja tempatan untuk bekerja di kilang-kilang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang satu pertandingan di sini pada hari Sabtu.

Beliau berkata langkah itu akan membantu usaha kerajaan mengurangkan penggantungan terhadap tenaga kerja asing secara perlahan, sekaligus memastikan sumber kewangan tidak mengalir keluar dari negara.

Subramaniam seterusnya berkata keadaan ketika ini memperlihatkan terdapat kekurangan sumber dalam pasaran tenaga kerja terutama semasa ekonomi negara mulai semakin rancak, dan Kementerian Sumber Manusia sedang mengkaji usaha menangani masalah itu.

"Walaupun bidang industri dilihat semakin meningkat, respons dari kalangan pekerja tempatan didapati kurang menggalakkan," katanya. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...