Thursday, November 19, 2009

Cadang wujud jabatan khusus pantau pekerja asing

ROME 18 Nov. - Kerajaan bercadang mewujudkan satu jabatan khusus bagi menangani isu pekerja asing termasuk memantau kedudukan mereka semasa bekerja di negara ini selepas tamat tempoh visa.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jabatan berkenaan juga berfungsi untuk mengatasi lambakan pekerja asing di negara ini banyak didapati menimbulkan banyak masalah sosioekonomi kepada negara.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet mengenai pekerja asing berkata, dengan bilangan dua juta pekerja asing berdaftar yang bekerja di negara ini satu jabatan yang khusus perlu diwujudkan bagi menangani pelbagai isu melibatkan mereka.

"Kita kena buat kajian supaya kemasukan pekerja asing lebih tersusun kerana ia memberi kesan walaupun dari satu sudut ia membantu tetapi dalam jangka panjang (sumbangan) tidak sebesar itu," katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Muhyiddin yang berada di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Makanan Dunia, diminta mengulas mengenai lambakan pekerja asing, yang menimbulkan pelbagai masalah sosioekonomi kepada negara.

Muhyiddin berkata, pada masa ini, tiada jabatan khusus yang memantau kedudukan dan pergerakan pekerja asing terbabit apabila tempoh visa mereka tamat.

Sehubungan itu, beliau mahu pengurusan terhadap pekerja asing diperkemaskan kerana jika tiada sistem pemantauan yang rapi dan cekap, ia akan membawa kesan yang tidak baik kepada rakyat dan negara.

Sesetengah pekerja jelas beliau, sepatutnya pulang ke negara asal mereka apabila sampai waktu tetapi masih berada di dalam negara dan bekerja secara haram.

''Saya berpendapat, kita perlu ambil satu langkah komprehensif dan holistik dengan melihat dari segi kesan jangka panjang kepada ekonomi negara," katanya.

Muhyiddin berkata, warga asing yang ingin datang ke Malaysia, perlu menjalani proses saringan di negara asal masing-masing supaya tidak timbul masalah selepas mereka berada di negara ini.

Misalnya, beliau berkata terdapat warga asing yang menggunakan visa pelajar namun tidak berbuat demikian apabila berada di Malaysia.

"Siapa yang bertanggungjawab, adakah Jabatan Imigresen, majikan atau pemilik kolej," katanya..

Semalam, Muhyiddin mengadakan kunjung hormat ke atas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina dan membincangkan mengenai hubungan dua hala kedua-dua negara dan isu pekerja negara berkenaan.

Menurutnya, dalam pertemuan itu, pemimpin Bangladesh itu meminta Malaysia mempertimbangkan semula kemasukan pekerja negara tersebut ke negara ini selepas ia dibekukan tahun lepas.

Perkara tersebut, jelas Muhyiddin akan diteliti terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...