Wednesday, November 25, 2009

Banteras jenayah: 50 buah rumah PATI diroboh


Anggota penguat kuasa MPAJ merobohkan salah sebuah rumah yang didirikan oleh pendatang tanpa izin dalam operasi merobohkan penempatan haram warga asing di Ukay Perdana, Hulu Klang, semalam.

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Ekoran empat kejadian samun di sekitar Ukay Perdana, polis dengan kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bertindak merobohkan 50 buah rumah kongsi milik warga asing di dalam sebuah hutan berhampiran.

Tindakan susulan itu dimulakan pada pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari melibatkan 142 anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, MPAJ dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, operasi itu diadakan berikutan empat kejadian samun rumah yang berlaku di Ukay Perdana sejak awal November lalu.

"Siasatan polis mendapati, penjenayah yang terdiri daripada tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia itu tinggal di sekitar kawasan ini.

"Ini berikutan, sekatan jalan raya di lapan lokasi yang dilakukan tidak menemui sebarang barangan yang disamun dikeluarkan dari kawasan ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, modus operasi penjenayah itu hampir sama dalam setiap kejadian samun iaitu mengikat mangsa sebelum menggeledah rumah tersebut.

Berikutan itu, katanya, polis telah menyerbu kawasan rumah kongsi tersebut kelmarin sebelum merobohkan semua rumah-rumah itu hari ini.

"Selain menghapuskan kawasan yang dipercayai menjadi tempat berlindung penjenayah, operasi itu juga membantu MPAJ membanteras rumah yang dibina secara haram.

"Dalam operasi tersebut, kita juga menahan dua lelaki yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri," ujarnya.

Abdul Jalil memberitahu, ketika kerja merobohkan rumah itu dilakukan, seorang anggota polis iaitu Konstabel Mohd. Fadirul Alimi Ramzi mengalami kecederaan kerana dihempap atap zink.

Bagaimanapun, menurutnya, anggota terbabit tidak mengalami kecederaan serius apabila hanya menerima rawatan pesakit luar di Hospital Ampang. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...