Saturday, November 7, 2009

Amah dakwa dirogol abang majikan

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu rumah warga Indonesia mendakwa dirogol abang majikannya selepas dia menolak ajakan untuk mengadakan hubungan seks dengan lelaki itu, baru-baru ini.

Sumber berkata, lelaki terbabit ‘meminjam’ pembantu rumah berusia 25 tahun itu daripada adiknya kononnya bagi membantu membuat persediaan kenduri di rumahnya pada 23 September lalu.

“Suspek berusia 40-an didakwa beberapa kali mengajak wanita itu mengadakan hubungan seks ketika dalam perjalanan dari rumah adiknya di Wangsa Maju ke rumahnya di Bangi.

“Bagaimanapun, mangsa enggan dan suspek didakwa memberhentikan kenderaan di satu kawasan sunyi lalu merogol wanita itu di tempat duduk belakang keretanya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sumber itu berkata, mangsa turut mendakwa dirogol beberapa kali lagi di rumah suspek sebelum diserahkan kembali kepada majikannya beberapa hari kemudian.

Mangsa kemudian dikatakan mengadu kepada majikan mengenai perbuatan lelaki terbabit tetapi tidak dilayan, sebaliknya dituduh membuat cerita palsu.

“Dia akhirnya menghubungi agensi pembantu rumah yang kemudian membuat laporan polis dan lelaki itu ditahan beberapa hari lalu untuk disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Shakaruddin Che Mood, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.

“Mangsa diberi rawatan dan diserahkan kepada Kedutaan Besar Indonesia bagi tindakan lanjut,” katanya. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...