Saturday, November 28, 2009

Aidiladha: Warga asing banjiri ibu negara


Warga asing mengambil kesempatan pada cuti umum Hari Raya Aidiladha beriadah di Menara Berkembar Petronas, semalam.

KUALA LUMPUR 27 Nov. - Ketika jutaan umat Islam negara ini merayakan Aidiladha di kampung halaman masing-masing, warga asing pula memenuhi lokasi tumpuan awam di ibu negara.

Tinjauan Utusan Malaysia di Menara Berkembar Petronas (KLCC) hari ini mendapati, rata-rata mereka adalah warga Indonesia dan Bangladesh yang mengambil kesempatan sempena cuti umum Hari Raya Aidiladha untuk mengunjungi tempat-tempat menarik di sini bersama rakan-rakan atau keluarga.

Dengan pelbagai gelagat, ada yang dilihat begitu leka mengambil gambar dan ada pula menikmati makanan secara berkumpulan di taman rekreasi menara tersebut.

Seorang pekerja buruh warga Indonesia, yang hanya mahu dikenali sebagai Jayadi, 32, memberitahu, dia tidak pernah melepaskan peluang untuk bersiar-siar bersama keluarga pada cuti umum walaupun hanya sehari.

"Hanya dengan cuti umum, saya dapat bersama keluarga, hari lain sibuk dengan kerja.

"Sebab itu cuti Aidiladha ini saya gunakan dengan membawa keluarga melihat KLCC," katanya yang mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga tahun.

Sementara itu, Ater Rossain, 23, yang berasal dari Bangladesh juga berkongsi pendapat yang sama.

Dia mengambil peluang sempena cuti umum ini untuk mengunjungi tempat-tempat menarik di sini bersama rakan-rakan.

"Saya tidak mempunyai saudara-mara di sini untuk menyambut hari raya bersama-sama. Sebab itu saya bersiar-siar bersama rakan-rakan sekerja," katanya yang bekerja di sebuah restoran di ibu negara.

Surao, 21, yang berasal dari Makasar, Indonesia, pula berkata, dia dan rakan-rakan mengambil peluang berkunjung ke KLCC kerana ingin melihat keunikan bangunan itu dari dekat.

"Saya bekerja di Putrajaya sebagai buruh, sebab itu saya belum pernah berpeluang melihat menara ini dari dekat.

"Sebagai pekerja buruh asing yang berjauhan dari keluarga, beginilah cara kami menyambut hari raya," katanya yang kali pertama menyambut Aidiladha di sini.

Sementara itu, seorang warga tempatan yang ditemui, Sakinah Mohamad, 26, berkata, kebanjiran warga asing di ibu negara ketika cuti umum sudah menjadi kelaziman.

"Namun pihak berkuasa perlu meningkatkan aspek keselamatan kerana dikhuatiri berlaku perkara yang tidak diingini apabila mereka berkumpul beramai-ramai," katanya yang tidak pulang berhari raya di kampungnya di Terengganu kerana banjir. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...