Monday, November 9, 2009

47 rakyat asing ditahan : Asyik PATI yang ditahan, penggalak PATI bagaimana pula?

Oleh NURUL HUDA HASSAN

ANGGOTA polis memeriksa dokumen pendatang asing yang ditahan dalam Ops Rantau yang diadakan di Flat Bagan Dalam, Butterworth, Pulau Pinang, semalam. - utusan / Rizam Zakariya.


PULAU PINANG 8 Nov. - Seramai 47 orang warga asing termasuk tujuh wanita ditahan dalam Ops Rantau bersepadu di Flat Bagan Dalam di Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini hari ini.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, Supritendan Wan Aziz Wan Husin berkata, mereka ditahan dalam operasi lebih dua jam itu yang bermula pada pukul 10 pagi.

Katanya, operasi itu dilakukan ekoran aduan penduduk setempat tentang kegiatan sesetengah rakyat asing itu yang mengganggu keselesaan penduduk.

Tambahnya, daripada jumlah itu, seramai 24 warga asing dari pelbagai negara ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan.

"Kesemua mereka yang terdiri daripada rakyat Indonesia, India dan Myanmar itu berusia dalam lingkungan 20 hingga 40-an dan ditahan atas pelbagai kesalahan berdasarkan Akta Imigresen 1959/1963.

"Kita terima banyak aduan mengenai tingkah laku rakyat asing ini antaranya membuat bising, minum minuman keras, berjudi, bergaduh dan melakukan kecurian sehingga menimbulkan ketidakselesaan penduduk tempatan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Operasi yang berakhir pada pukul 2 petang itu melibatkan kira-kira 150 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi penguat kuasa termasuk polis trafik, Pasukan Gerakan Am (PGA), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Imigresen.

Menurut beliau, seramai sembilan orang lagi ditahan atas kesalahan menetap di negara ini melebihi tempoh yang dibenarkan dan 14 orang lagi ditahan atas kesalahan melanggar syarat permit.

"Semua mereka yang ditahan itu juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan akan didakwa mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/1963, Seksyen 15 (1) dan Seksyen 39(b) akta yang sama," ujarnya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...