Saturday, November 7, 2009

4 jual tubuh dekat kandang babi ditahan

Oleh Noor Hazwan Hariz Mohd
bhnews@bharian.com.my

EMPAT warga China ditahan polis dalam serbuan di Banting, malam kelmarin.

Polis kepung sebelum cekup pelacur warga China yang cuba larikan diri ke hutan

BANTING: Kegiatan pelacuran membabitkan wanita warga asing yang berselindung di sebalik perniagaan makanan dan minuman keras di sebelah pusat ternakan babi berhampiran Kampung Endah, dekat sini, terbongkar selepas diserbu sepasukan pegawai dan anggota polis dari Cawangan Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Kuala Langat, malam kelmarin.

Dalam serbuan hasil maklumat orang awam itu di pusat yang pernah ditutup sebelum ini kerana kesalahan sama, polis menahan empat wanita warga China berumur antara 22 hingga 24 tahun dan seorang lelaki tempatan, dipercayai penjaga wanita berkenaan.

Berita Harian difahamkan, wanita di kedai makan itu menyamar sebagai penghidang makanan dan minuman keras sebelum dibawa ke lokasi lain oleh pelanggan untuk memuaskan nafsu.

Bagi memastikan kejayaan operasi, seramai 12 anggota polis terlebih dulu meredah kawasan ladang kelapa sawit dari sebuah kampung berhampiran seawal jam 7 petang dan mengepung pusat pelacuran terbabit.

Selepas pasti mengenai kewujudan aktiviti tidak bermoral itu, lapan anggota polis menyerbu lokasi itu pada jam 8.20 malam dengan memecut dua kenderaan dari arah pintu hadapan.

Operasi itu turut dibantu anggota trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.

Wartawan akhbar ini yang menyertai operasi terbabit melihat kecekapan anggota polis mengepung dan menangkap wanita itu yang cuba melarikan diri ke arah hutan berhampiran sejurus mendengar jeritan amaran daripada penjaga mereka.

Operasi berakhir 35 minit kemudian dengan kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Banting bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohamad Radzi Ishak, ketika dihubungi berkata, empat wanita warga China dan seorang lelaki warga tempatan yang ditahan itu kini disiasat mengikut Akta Imigresen.

Katanya, polis akan menghubungi Jabatan Imigresen untuk menyemak butiran wanita warga China itu sama ada memiliki permit kerja dan bagaimana mereka memasuki negara ini, manakala penjaga yang berusia 60-an itu disiasat mengikut Akta Imigresen kerana melindungi warga asing.

"Selain empat wanita warga China dan lelaki tempatan itu, kami turut merakamkan keterangan 11 lelaki tempatan yang juga pelanggan di tempat itu. Kesemua mereka sudah dilepaskan selepas keterangan direkodkan," katanya.

Katanya, walaupun tiada bukti menunjukkan kawasan berkenaan dijadikan tempat pelacuran, perkara itu akan dirujuk kepada Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) supaya tindakan dapat diambil termasuk merobohkan struktur yang dibina di situ.

Siasatan awal menunjukkan premis itu tiada permit bagi menjual minuman keras.

Semalam edisi Sentral akhbar ini melaporkan sebuah ladang ayam dan babi yang tidak lagi beroperasi di Tanjung Layang terus digunakan 'ayam hidup' wanita warga asing menawarkan perkhidmatan seks. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...