Saturday, November 7, 2009

100 krew bot diperiksa dalam ops cegah dadah

PELABUHAN KLANG: Kira-kira 100 krew bot tukar barang di Kompleks Barter Trade di sini, diperiksa dalam operasi pencegahan dadah oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor bersama Pasukan Gerakan Marin (PGM) negeri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir, berkata hasil pemeriksaan itu, seramai 14 lelaki iaitu 11 warga Indonesia dan tiga warga Bangladesh ditahan kerana gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah.

"Kesemua mereka (krew bot terbabit) ditahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah," katanya selepas operasi pencegahan dadah yang berakhir pada 12 tengah hari di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesemua 100 lelaki yang diperiksa itu berumur antara 20 hingga 45 tahun di mana 10 daripada mereka termasuk seorang rakyat tempatan pula diarah menjalani ujian air kencing kerana disyaki di bawah pengaruh dadah.

"Namun selepas menjalani pemeriksaan kita dapati mereka negatif," katanya.

Nordin berkata, ketika serbuan dimulakan pada jam 10.30 pagi, enam pekerja di kompleks itu bertindak nekad terjun ke laut sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa kerana dipercayai tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah termasuk pasport dan pas kelasi.

Beliau berkata, pemeriksaan turut dilakukan terhadap enam bot tukar barang yang membawa sayur-sayuran dan buah-buahan dari Indonesia bagi memastikan tiada cubaan menyeludup barangan terlarang seperti dadah.

"Kita tidak menemui sebarang barangan terlarang dalam operasi kali ini dan pihak kami akan sentiasa memantau dan menjalankan serbuan serta pemeriksaan bagi memerangi sebarang usaha membawa masuk dadah ke negara ini," katanya. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...