Tuesday, November 24, 2009

10 pelajar asing ditahan, dadah bernilai RM63,000 dirampas

SHAH ALAM: Sepuluh pelajar rakyat asing yang disyaki mengedar dadah jenis heroin dan ganja, ditahan dan polis merampas 1,280 gram dadah yang dianggar bernilai RM63,000 dalam dua operasi di sekitar Lembah Klang, semalam.

Dalam operasi pertama, polis menahan empat lelaki rakyat Nigeria serta merampas dua bungkusan plastik mengandungi dadah jenis heroin seberat 925 gram ketika membuat pemeriksaan di hadapan sebuah hotel di Subang Jaya, jam 8.45 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir, berkata keempat-empat suspek berusia dalam lingkungan 23 dan 28 tahun itu dan menuntut di kolej berasingan sekitar Lembah Klang itu, disyaki mengedar dadah untuk pasaran luar negara.

"Mereka direman sehingga 28 November dan kami juga telah menghantar surat kepada kolej terbabit bagi mengetahui maklumat lanjut mengenai penuntut terbabit," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.

Nordin berkata dadah yang dirampas daripada keempat-empat penunut itu dianggar bernilai RM60,000 dan polis turut merampas wang tunai RM4,740 dan AS$5,000 daripada mereka.

Sementara itu, dalam satu lagi operasi polis menahan enam penuntut, iaitu tiga rakyat Nigeria dan masing-masing seorang rakyat Arab Saudi, Yemen dan Somalia di sebuah pangsapuri di Taman Desa Millenium, Puchong.

Dalam serbuan itu, polis merampas sebuah beg berwarna hitam mengandungi daun kering mampat disyaki ganja seberat 355 gram yang dianggar bernilai RM3,000 serta wang tunai RM3,000.

"Mereka yang berusia antara 20 dan 23 tahun kini direman sehingga 30 November bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata ujian air kencing yang dijalankan terhadap keenam-enam mereka mendapati tiga daripadanya positif dadah jenis ganja.

Nordin berkata polis mendapati ramai penuntut asing terutama rakyat Nigeria terlibat dalam pengedaran dadah dan sejak awal tahun ini, polis mengesan lebih 20 kes seumpama itu. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...