Wednesday, October 21, 2009

Saipa yang akan bela Majikan? : Majikan menyorok lihat amah amuk

KUALA LUMPUR: Hanya kerana diarah memotong epal, seorang pembantu rumah warga Indonesia naik minyak apabila mengugut mencederakan sepasang suami isteri dengan pisau pemotong daging sehingga memaksa mereka menyorok dalam bilik, semalam.

Lebih menakutkan, selain menjerit dan marah, pembantu rumah terbabit yang berusia lingkungan 30-an dikatakan seolah-olah hilang akal apabila menunggu majikannya keluar dipercayai untuk diserang di ruang tamu kondominium milik pasangan terbabit di Taman Midah, Cheras.

Pasangan terbabit terpaksa meminta bantuan sebelum tiga pengawal keselamatan kondominium tiba dan menenangkan pembantu rumah terbabit selepas 15 minit memujuknya.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, wanita yang bekerja sebagai ejen insurans bersiap pergi bekerja itu terkejut terdengar bunyi bising dari arah dapur rumahnya.

Menurut sumber, mangsa mengesyaki perkara buruk berlaku bertindak memanggil suaminya.

“Apabila kedua-duanya masuk ke dapur, mereka mendapati pembantu rumahnya itu sedang membaling epal ke arah ibu wanita terbabit,” katanya.

Si suami meleraikan keadaan dan meminta pembantu rumah supaya memotong epal berkenaan, sementara mentuanya masuk ke bilik.

Sumber itu berkata, ejen insurans dan suaminya meninggalkan pembantu rumahnya yang menangis teresak-esak sebelum duduk di sofa ruang tamu.

“Ketika itu, wanita terbabit terdengar bunyi pisau dihentak kuat ke atas meja beberapa kali sebelum mengetahui yang pembantu rumahnya memotong epal dalam keadaan marah.

“Mangsa bertindak merakam gambar pembantu rumahnya dalam keadaan marah untuk ditunjukkan kepada ejen pembantu rumah itu sebagai bukti tingkah laku wanita berkenaan,” katanya.

Pada masa sama, pembantu rumah terbabit dikatakan menyedari perbuatan majikannya sebelum memarahi dan berlari mengejarnya untuk menghentikan rakaman berkenaan.

Menurut sumber, mangsa sempat masuk ke dalam bilik tidur bersama suaminya sebelum menekan interkom bagi meminta bantuan daripada pengawal keselamatan kondominium itu.

“Beberapa minit kemudian, pengawal keselamatan di kondominium berkenaan datang ke rumah mereka, namun kedua-duanya gagal keluar kerana pembantu rumahnya itu masih berada di ruang tamu,” katanya.

Pengawal keselamatan terbabit cuba menenangkan pembantu rumah berkenaan sebelum membawanya turun ke tingkat bawah.

Mangsa menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan selain tindakan lanjut ke atas pembantu rumah mereka.

Difahamkan, sebelum ini, pembantu rumah terbabit memang pernah berkelakuan sama termasuk memberontak. Malah, pasangan berkenaan pernah menghubungi ejennya untuk memulangkan semula wanita itu. - Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...