Friday, October 16, 2009

Petanda pemulihan ekonomi : Krisis hilang kerja berakhir

PUTRAJAYA 15 Okt. - Krisis hilang kerja yang melanda negara ini berikutan kegawatan ekonomi global telah berakhir dengan jumlah pekerja yang diberhentikan kembali ke tahap normal.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, rekod terkini menunjukkan hanya terdapat 1,000 hingga 1,200 pekerja yang diberhentikan pada setiap bulan.

Beliau berkata, banyak kilang di negara ini telah meningkatkan pengeluaran mereka dan memerlukan jumlah pekerja yang ramai.

''Krisis hilang kerja tidak wujud lagi, bilangan pekerja yang diberhentikan pada bulan lalu dan bulan ini ialah 1,000 hingga 1,200 orang sahaja.

''Jumlah ini adalah normal dan sama dengan keadaan sebelum krisis, terdapat ramai majikan yang berdaftar dengan kita untuk mendapatkan pekerja," katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Aidilfitri Kementerian Sumber Manusia di sini hari ini.

Subramaniam berkata, jumlah pekerja yang diberhentikan ekoran krisis ekonomi global ialah kira-kira 37,000 orang.

''Tetapi kerajaan melalui pakej rangsangan ekonomi turut menyediakan 37,000 peluang pekerjaan baru.

''Jadi jumlah pekerja yang kehilangan kerja adalah sama dengan peluang pekerjaan baru yang diwujudkan," katanya.

Dalam pada itu, Subramaniam menggalakkan golongan pekerja memperlengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran serta meningkatkan tahap produktiviti masing-masing.

''Kajian mendapati produktiviti pekerja kita adalah kurang berbanding negara-negara lain.

''Produktiviti kita perlu dipertingkatkan untuk bersaing dengan kuasa ekonomi baru seperti China dan India. Kita juga perlu berdepan dengan negara industri baru di Asia Tenggara termasuk Kemboja dan Vietnam," katanya.

Menjawab soalan pemberita, beliau menafikan dakwaan bahawa pekerja sektor perladangan tempatan dibayar gaji yang rendah berbanding pekerja asing. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...