Wednesday, October 21, 2009

Penyeludupan manusia : Malaysia-Australia bincang

JAKARTA 20 Okt. - Malaysia akan mengkaji langkah yang boleh diambil terhadap permintaan Australia supaya diperketatkan kawalan imigresen dan pemberian visa bagi mengelak perdagangan manusia dan insiden manusia perahu yang menjadikan Malaysia sebagai pusat transit.

Perdana Menteri. Datuk Seri Najib Tun Razak. berkata, permintaan Australia itu disampaikan kepada beliau oleh rakan sejawatannya, Kevin Rudd pada perjumpaan hubungan dua halanya di sini, selepas mereka menghadiri majlis pemasyhuran dan angkat sumpah Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono hari ini.

"Pertemuan itu diadakan atas permintaan Rudd, yang menyatakan puas hati dengan hubungan dua hala yang baik antara kedua-dua negara," kata Najib kepada wartawan Malaysia di akhir lawatannya ke sini.

Najib berkata, secara spesifik Rudd membangkitkan beberapa hal termasuk kekhuatiran Australia mengenai masalah manusia perahu yang menjadikan Malaysia negara transit dan kemudiannya mencuba masuk secara haram ke Australia.

Satu contoh terbaru ialah sekumpulan penduduk Tamil Sri Lanka yang masuk ke Malaysia kemudiannya menaiki perahu di Melaka ke Australia sebagai destinasi akhir mereka tetapi telah ditahan terlebih dahulu oleh pihak berkuasa Indonesia.

Perdana Menteri berkata, antara langkah yang boleh dipertimbangkan oleh Malaysia ialah menambah bilangan pegawai imigresen di negara-negara tertentu untuk menapis dengan lebih ketat permohonan masuk ke Malaysia supaya dapat dibezakan antara pelancong tulen dan pemerdagangan manusia.

"Hal ini juga terkait dengan pemberian visa kepada mereka," katanya.

Najib menjelaskan, dalam pemerdagangan manusia, keuntungannya agak lumayan dengan kos dikenakan bagi seorang dari Sri Lanka untuk masuk ke Australia ialah antara AS$15,000 dan AS$20,000 yang menyebabkan kegiatan sindiket orang tengah itu masih berterusan.

"Ini juga berkaitan kestabilan dalaman di Sri Lanka. Kalau kerajaan Sri Lanka dapat menjamin keturunan Tamil dapat sepadu dalam pembangunan Sri Lanka kemungkinan mereka menjadi manusia perahu akan dapat dikurangkan," katanya.

Turut dibincangkan dengan Rudd ialah tawaran Australia untuk membantu Malaysia meningkatkan keupayaan pendidikan vokasional di Malaysia, iaitu satu bidang kepakaran yang dimiliki oleh negara itu.

"Perdana Menteri Rudd akan menghantar para pegawainya ke Kuala Lumpur yang pakar untuk membincangkan tawaran itu dengan lebih lanjut tidak lama lagi," katanya.

Najib berkata, latihan kemahiran vokasional itu ialah untuk pelajar sekolah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selain itu, kata Perdana Menteri, mereka juga menyentuh bentuk yang relevan bagi Sidang Kemuncak Asia Timur dan persidangan khas perubahan iklim di Copenhagen, Denmark.

Najib yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor berlepas pulang ke Kuala Lumpur malam ini. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...